Thursday, October 27, 2011

Safee! 'Saya masih belum buat keputusan bila ke Cardiff'


PENGGEMPUR Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali telahpun 'khatam' menjalani sesi ujian pemilihan bersama kelab England yang berpangkalan di Wales, Cardiff City pada pertengahan September lalu.
Kini, tiba pula giliran bekas rakan sepasukannya di Selangor, Safiq Rahim untuk mencuba nasib sama ada berupaya memikat pengendali The Bluebirds, Malky Mackay ataupun tidak.
Sebaik Safiq gagal membantu Selangor mara ke final Piala Malaysia, ribuan penyokong fanatik bola sepak tempatan kini sudah mula berteka-teki bilakah Safiq akan berlepas ke bumi England.
Tambahan pula, Safiq yang 'tercicir' ke Australia bagi aksi persahabatan awal Oktober lalu, kini kembali mendapat kepercayaan Datuk K. Rajagobal bagi pertemuan menentang India pada pertengahan November depan.
Persoalannya, bila Safiq akan ke Cardiff? Tidak mustahil, ada 'kata-kata nakal' daripada segelintir peminat yang tidak menolak kemungkinan Safiq enggan menjalani ujian pemilihan tersebut, lantaran peluang Safee menyarung jersi kelab Divisyen Dua England itu juga masih samar-samar kerana masalah permit kerja.
"Sekali lagi saya tegaskan, saya memang teruja menjalani latihan bersama Cardiff, bukan semua orang dapat peluang sebegitu rupa.
"Namun, saya sendiri belum tahu bila akan ke sana, saya masih belum membuat keputusan," kata Safiq ketika dihubungi Kosmo!.
Safiq memberitahu, setakat ini masih belum ada perbincangan lanjut bersama pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee bagi mengenalpasti waktu yang sesuai untuk menjalani latihan di Cardiff nanti.
Ditanya sama ada dia khuatir dengan isu permit kerja seperti mana dialami Safee, Safiq tegas menafikannya.
"Semua kena faham, dapat menjalani ujian pemilihan pun sudah kira bertuah.
"Cuma buat masa sekarang, saya masih memerlukan rehat yang secukupnya sebelum membuat keputusan," katanya.
Kredibiliti Safiq selaku antara permata pasukan kebangsaan mula meniti di bibir peminat tempatan sejak beberapa tahun lalu lantaran kematangannya menguasai jentera tengah baik ketika bersama Selangor mahupun Malaysia.
Sinonim dengan jersi bernombor 8, kepakarannya mengambil sepakan percuma memang tidak dapat dinafikan dan antara jaringannya yang masih bertakhta di hati peminat termasuklah ketika menentang Liverpool pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Julai lalu.
Dia juga merupakan penjaring terbanyak Selangor pada aksi Liga Super musim ini dengan tujuh gol, selain turut menjaringkan empat gol buat Merah Kuning pada saingan Piala Malaysia.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...