Friday, October 7, 2011

Puteri Gambus Bongawan





PETIKAN indah gambus dan kelunakan suara wanita muda itu mencuri tumpuan orang ramai yang lalu lalang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada petang itu.
Solekan nipis dan dres merah paras lutut menyerlahkan keanggunan pemilik bakat istimewa itu yang turut dibantu lima jejaka berpakaian serba hitam dengan gabungan alat muzik tradisional dan moden.
Meskipun ia sekadar sesi fotografi dan wawancara biasa, wanita bernama Fauziah Suhaili, 23, itu tidak menolak permintaan orang awam terutama pelancong asing yang mahu bergambar kenangan dengannya.
Bagi anak kelahiran Bongawan, Papar, Sabah itu, budaya serta adat masyarakat Melayu Brunei yang diajar datuk dan neneknya perlu dipelihara sebaik mungkin dan dipraktikkan tidak kira di mana jua dia berada.
Ia bukan sahaja merangkumi keperibadian diri malah tanpa disedari, wanita yang lebih intim dengan gelaran Fauziah Gambus itu, dianugerahkan kemahiran bermain gambus dan keupayaan vokal berlenggok untuk membawakan lagu-lagu berentak tradisional.
Walaupun pada awalnya ramai yang tidak biasa menyaksikan seorang wanita bermain gambus, lama-kelamaan kehadiran Fauziah bersama usaha menyuntik kembali kesegaran dunia muzik tradisional tanah air, semakin diterima ramai.

KUMPULAN Fucia terdiri daripada anak-anak muda iaitu (belakang, dari kiri) Mohd. Nazrin, Abdillah Firlany Abdul Malik, (duduk, dari kiri) Muhammad Afiq, Fauziah, Ahmad Haziq Ramli dan Azmir Zin.


Benar, selama ini kita memiliki nama-nama besar yang sering memartabatkan gambus di pentas industri seni tempatan seperti Allahyarham Fadzil Ahmad, Ramli Sarip dan M. Nasir, namun kesemua mereka merupakan golongan Adam dan legasi mereka juga dilihat seperti tiada penyambungnya.
Kemunculan Fauziah diibaratkan ramai pihak sebagai srikandi moden yang layak menggalas tugas legenda-legenda sebelum dirinya bagi membawa muzik gambus ke persada global.
“Dahulu, masyarakat terutama orang-orang tua melarang golongan wanita bermain gambus kerana dikatakan alat muzik itu hanya boleh dimainkan golongan lelaki.
“Memandangkan datuk saya juga seorang pemain dan pembuat gambus, saya mengambil kesempatan itu dengan bermain alat muzik itu secara rahsia.
“Saya akan mengamati cara datuk dan kumpulannya, Panca Irama, bermain setiap kali mereka membuat persembahan. Kemudiannya saya akan berlatih sendirian di rumah tanpa pengetahuan datuk,” ujar cucu kepada Ismail Matusin itu.
Menyamar lelaki

FAUZIAH pernah menyamar sebagai lelaki bagi menyertai pertandingan bermain gambus.


Kesungguhan Fauziah mendalami muzik gambus bermula ketika dia menyertai satu pertandingan bermain gambus di daerahnya pada usia 13 tahun.
Bagi mengelakkan tentangan datuknya, Fauziah tekad menyamar sebagai seorang peserta lelaki lengkap berbaju Melayu dan menggunakan nama Fauzi sahaja.
“Mujur pertandingan itu tidak menuntut saya untuk menyanyi, jika tidak pasti awal-awal rahsia terbongkar, tetapi akhirnya ia diketahui semua orang apabila saya diumumkan sebagai pemenang pertama.
“Pada awalnya saya khuatir datuk akan marah namun dia turut tumpang gembira dan semenjak itu dia mula mengajar saya bermain gambus secara terbuka,” imbau Fauziah.
Dalam keghairahan gadis-gadis lain menyanjungi kehebatan muzik semasa dan barat, Fauziah lebih selesa mendendangkan lagu-lagu ghazal serta setia memetik gambus pemberian datuknya.
Minat mendalam dan jerih-perih Fauziah terbayar akhirnya apabila bakatnya itu sampai ke pengetahuan penyanyi serta pemuzik popular negeri di bawah bayu, Abu Bakar Ellah, yang menjadi individu pertama menerbitkan album solo Fauziah pada 2007.

NAMA Fauziah disebut-sebut ketika mengadakan persembahan khas di Indonesia.


Mengambil elemen masyarakat Melayu Brunei sebagai taruhan untuk album sulungnya, Fauziah sememangnya mahir dengan bahasa dan adat masyarakat tersebut memandangkan dirinya berasal dari rumpun yang sama.
Dalam meniti pengalaman dan merangkul kejayaan, impian Fauziah untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik menjadi kenyataan apabila diterima masuk ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur sejurus selepas album pertamanya dilancarkan.
Jika dahulu Fauziah banyak bergerak solo, namun selepas bertemu pelajar-pelajar sealiran di Aswara, tertubuh pula kumpulan Fucia yang dianggotai enam anak muda termasuk Fauziah yang menyuntik elemen segar dalam muzik tradisional.
“Memang sukar hendak menarik minat orang muda khususnya remaja mendengar dan menghayati keindahan muzik tradisional tetapi jika kena dengan cara ia tidak mustahil dicapai.
“Disebabkan itu, kumpulan saya banyak menyampaikan lagu-lagu moden diiringi muzik tradisional, jadi ia akan tampak lebih menarik dan remaja juga akan mudah menerima pembaharuan itu,” ujar Fauziah yang turut menjadi penyanyi utama kumpulannya.
Fauziah tidak menafikan bahawa muzik tradisional seperti gambus sering menarik perhatian golongan berusia. Namun kini katanya, selepas inisiatif kumpulannya membawakan elemen kontemporari dalam persembahan, semakin ramai anak-anak muda mula menunjukkan minat.
Bawa kelainan

FUCIA mengakui bahawa peminat muzik luar negara lebih menghargai muzik tradisional tempatan.


Ahli kumpulan Fucia, Mohd. Nazrin Ahmad Zabidi, 22, menyatakan kelainan yang dibawa kumpulan mereka adalah mengetengahkan muzik tradisional dalam bentuk moden.
“Kalau dinilai berdasarkan audiens, orang luar negara lebih menunjukkan apresiasi terhadap muzik tradisional yang benar-benar asli,” jelas pelajar tahun akhir Aswara itu.
Pemain gitar kumpulan itu, Muhammad Afiq Rosli, 22, sedar akan kebangkitan band indie yang sudah terbiasa dalam mata masyarakat lantas membuatkan genre yang dibawa mereka kurang diberi perhatian.
Kelahiran band-band yang diibaratkan bak cendawan tumbuh selepas hujan bagaimanapun tidak menjejaskan usaha kumpulan mereka untuk terus memperjuangkan muzik tradisional kontemporari.
“Walau apapun, kami mempunyai kelebihan yang tidak terdapat pada pemuzik-pemuzik yang hanya bermain muzik moden. Kami mampu membawakan kedua-dua genre moden dan tradisional,” kata Afiq.
Nama Fauziah dan Fucia mungkin masih belum mekar sepenuhnya di tanah air ini, namun Fauziah sendiri telah menjadi fenomena di Riau, Indonesia selepas menjayakan beberapa siri persembahan di sana dan sambutan luar biasa yang diterima membuka jalannya mengadakan konsert buat peminatnya di sana.
Selain kebolehan bermain gambus, Fauziah juga berkemampuan membuat gambus sama seperti datuknya. Ketelitian dan kemahiran amat dititikberatkan dalam menghasilkan instrumen klasik itu.
“Terdapat pelbagai jenis gambus sebenarnya di dunia ini dan orang tempatan pula sering menganggap gambus hanya berasal dari Johor.
“Ada gambus dari Arab, Brunei dan Turki. Kesemuanya berbeza mengikut ketebalan bunyi dan daripada segi talinya.
“Jadi proses pembuatan bagi setiap jenis itu juga berbeza dan paling sukar adalah pemilihan kayu. Pembuatan gambus memakan masa selama dua bulan dan paling cepat ia dapat disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja,” jelas Fauziah.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...