Thursday, October 20, 2011

Nilai vokal Forteen





EMPAT jejaka mempunyai minat yang sama iaitu seni dipertemukan oleh komposer terkenal Edry Abdul Halim yang merupakan trio kumpulan KRU untuk membentuk kumpulan vokal bernama Forteen.
Forteen yang membawa maksud untuk remaja dianggotai oleh empat jejaka iaitu Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 22, (Ariz); Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 22, (One); Mohamad Arif Ameerais Azhar, 21, (Ameer) dan Muhammad Izzul Islam Mazlan, 21 (Izzue Islam).
Mereka yang kini sedang hangat dengan lagu single pertama berjudul Berdua Bersatu bersyukur dengan penerimaan peminat terhadap buah tangan pertama mereka.
"Tidak sangka, lagu Berdua Bersatu diterima ramai, kami semua bersyukur sangat kerana kami sedar bukan mudah untuk sesebuah disukai oleh segenap lapisan masyarakat.
"Memang konsep untuk lagu-lagu kami adalah pop balada dan sebuah kumpulan vokal bukannya tarian, mungkin sebab itu ramai yang boleh layan lagu ini tidak kiralah remaja atau orang dewasa," tutur Ariz.
Meskipun bernaung di bawah payung KRU, itu tidak bermakna imej serta lagu-lagu mereka seperti KRU sebaliknya mereka berusaha keras untuk tampil dengan imej dan identiti sendiri bagi membezakan mereka dengan kumpulan nyanyian yang pernah wujud di Malaysia.
"Orang sering salah anggap kami kumpulan tarian, sebenarnya kami kumpulan yang mempertaruhkan vokal berharmoni bukannya tarian.
"Lagu-lagu kami juga bergenre balada, malah imej kami kemas seperti berkemeja dan bersut . Jika ada orang ingin menyamakan kami dengan kumpulan Korea terpulang pada mereka. Bagi kami fesyen sangat subjektif," jawab One.
Menceritakan perjalanan seni mereka, ujar One yang sebelum ini dikenali sebagai Rizu kerana penyertaannya dalam program realiti popular One In A Million (OIAM) musim ketiga, keempat-empat mereka mempunyai perjalanan seni masing-masing sebelum ini.

FORTEEN terdiri daripada Ariz (kiri), Izzue, Ameer dan One.


Sebaik tamat OIAM, One yang berasal dari Ipoh, Perak itu cuba untuk muncul sebagai penyanyi solo, bagaimanapun tuah tidak menyebelahinya.
"Ramai yang mempertikaikan keputusan saya untuk menyertai Forteen kerana sebelum ini saya telah dikenali. Tetapi mereka tidak tahu, kerjaya saya sebagai penyanyi solo kurang memberangsangkan.
"Jadi, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu tambahan kumpulan ini merupakan anak didik KRU, saya rasa keputusan yang saya ambil merupakan keputusan yang tepat," jawab One yang bersatu dengan Forteen pada Mac lalu.
Tambahnya lagi, peluang yang diberikan KRU kepadanya tidak akan datang buat kali kedua kerana hasratnya hanyalah untuk mengembangkan bakat seni yang dimiliki.
"Apa yang saya lihat sekarang ini sudah tidak ada kumpulan vokal seperti Forteen, jadi kemunculan kami pada waktu ini merupakan satu kelebihan dan diharap peminat akan menyokong kami," katanya.
Ameer yang merupakan pelajar semester akhir di Food Institute Of Malaysia sebelum ini aktif dengan band indie manakala Izzue Islam pula sebelum ini aktif dalam bidang seni sebagai pelakon sejak dua tahun yang lalu.
"Selepas habis sekolah saya berniaga burger di kampung, sebelum ke Kuala Lumpur dan kerja di kedai makan sebagai pembancuh air sebelum terjebak dalam bidang seni. Waktu itu saya hadir uji bakat drama Kampung Jaguh dan bermula dari situ saya bergiat aktif dalam lakonan," ujar Izzue.
Jelas Izzue yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu lagi dia menjadi salah seorang ahli Forteen selepas dia menghadiri uji bakat.
"Saya tidak sangka dapat bernaung dan mendapat tunjuk ajar daripada KRU kerana bagi saya nama mereka cukup besar dan pernah menghasilkan band-band pop yang popular," tuturnya yang pernah berlakon dalam drama Cita dan Cinta.
FORTEEN berharap agar kehadiran mereka sebagai grup vokal harmoni diterima baik.


Seorang lagi ahli mereka, Ariz pula dipanggil uji bakat selepas dia memuat turun video nyanyiannya di laman sosial video popular You Tube.
"Dalam kami berempat, saya yang paling tiada pengalaman dalam bidang seni, cuma saya memang minat menyanyi. Tidak sangka pula, daripada suka-suka kini nyanyian menjadi kerjaya yang serius buat saya," luah Ariz yang juga merupakan seorang jurugambar bebas.
Walaupun mereka masih baharu dan hanya mempunyai sebuah lagu single yang telah dirakamkan, Forteen mempunyai perancangan jangka panjang untuk meneruskan kelangsungan mereka dalam industri seni.
"Kalau boleh kami mahu nama Forteen dikenali ramai dan berjaya seperti mana kejayaan yang dikecapi oleh mentor kami iaitu KRU.
"Melihat kepada sambutan, mungkin kami akan merakam lagu single yang kedua. Tetapi buat masa ini kami memberi tumpuan yang sepenuhnya untuk mempromosikan lagu Berdua Bersatu.
"Kami sedar perjalanan masih panjang, tetapi untuk hari ini kami mengharapkan sokongan daripada peminat semua," luah One.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...