
AZRAAI (tengah) bersama barisan pemainnya meraikan kejayaan Negeri Sembilan mara ke final Piala Malaysia 2011 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.
"KAMI memang layak beraksi di pentas final."
Itulah yang mampu diungkapkan oleh pengendali Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas menyaksikan anak-anak buahnya melangkah kaki ke pentas final Piala Malaysia 2011 buat kali ketiga berturut-turut selepas menyingkirkan T-Team.
Skuad Hoben Jang Hoben terpaksa berhempas pulas menundukkan T-Team 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin, sekali gus menempah tiket ke final dengan agregat 6-3.
Bagi Azraai, Negeri Sembilan memang layak beraksi di pentas final menentang Terengganu di Stadium Shah Alam pada 29 Oktober ini berdasarkan pretasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya.
Azraai berkata, prestasi anak-anak buahnya sentiasa meningkat dalam setiap aksi kempen Piala Malaysia dan merupakan antara pasukan paling konsisten dalam edisi kali ini.
"Saya berasa syukur kerana kita layak ke pentas final sekali lagi, tetapi semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa perit jerih semua pihak terutama para pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kempen kali ini.
"Berdasarkan prestasi dan corak permainan anak-anak buah saya, tidak syak lagi Negeri Sembilan sememangnya layak untuk beraksi di pentas final sekali lagi," kata Azraai semalam.
Menjelang aksi final, Azraai memberitahu, tempoh kira-kira seminggu ini akan digunakan untuk memperbaiki beberapa kelemahan yang ada.
"Walaupun kita sudah layak ke final, tetapi masih ada beberapa kelemahan yang dikenal pasti dan semua itu saya mahu perbaiki menjelang perlawanan akhir nanti," jelasnya.
Azraai berkata, perhitungan terakhir dengan Terengganu itu nanti sudah pasti menarik kerana kedua-dua pasukan sudah empat kali bertemu musim ini.
"Negeri Sembilan dan Terengganu juga berada dalam kumpulan yang sama dalam kempen Piala Malaysia 2011 dan boleh dikatakan kedua-dua pasukan tahu kekuatan serta kelemahan masing-masing.
"Apa yang pasti perlawanan terakhir ini sudah pasti menjanjikan aksi istimewa berbanding pertemuan terdahulu," katanya.
No comments:
Post a Comment