Saturday, October 29, 2011

Mengharap gua terus hidup






KESEMPATAN untuk meneroka Gua Tempurung, Kampar baru-baru ini sememangnya sukar untuk ditolak, apatah lagi pelawaan itu datang daripada rakan lama. Kami sebenarnya sudah sekian lama tidak melakukan aktiviti rekreasi bersama secara berkumpulan. Masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri.
Sebenarnya, kira-kira 18 tahun dulu saya pernah meneroka gua ini, jadi keinginan untuk melihat semula perkembangan dan perubahan yang berlaku di situ menjadi sangat tinggi.
Dulu tiada sebarang kemudahan tersedia di situ, semuanya dalam keadaan yang sangat asli dan terpelihara kecuali terdapat beberapa kesan tinggalan komunis yang kekal di situ seperti sebahagian pagar besi yang masih terlekat di beberapa bahagian dinding gua.
Dulu juga, chamber (kubah), stream (sungai kecil), shawl/curtain (kelihatan seperti kain langsir), stalagtit, stalagmit, column/pillar (tiang seri atau percantuman antara stalagtit dan stalagmit), kolam kecil, cave coral (kelihatan seperti batu karang) dan cave pearl (berkilauan seperti permata) mudah dilihat, menjadikan gua ini sangat segar dan menarik untuk diteroka.
Tidak diselia dengan baik
Malangnya pada kunjungan saya bersama Putrajaya Adventure Team (PAT) mendapati terdapat banyak perubahan di luar dan dalam gua ini.
Saya rasa terkilan kerana gua ini tidak diselia dengan baik terutamanya yang melibatkan kebebasan pengunjung yang sewenang-wenangnya menyentuh permukaan gua ini. Akibat sentuhan itulah yang akan ‘membunuh’ gua ini secara perlahan-lahan.
Perlu diingatkan bahawa gua ini mengambil ribuan tahun untuk matang. Setiap formasi yang dilihat di dalam dan di luar gua, sama ada kecil atau besar tidak akan terbentuk dalam tempoh singkat. Jadi, dengan kehadiran pengunjung yang tidak diselia dengan baik menyebabkan gua itu kelihatan semakin ‘nazak’.
Tidak dinafikan pihak pengurusan telah menyediakan laluan pada sebahagian besar gua ini untuk kemudahan pengunjung, tetapi ada pakej lawatan yang membenarkan pengunjung melepasi beberapa bahagian gua yang masih ‘hidup’.


Peserta perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal dalam penerokaan di Gua Tempurung.



Peserta seharusnya diberi garis panduan dengan tegas oleh jurupandu yang bertugas agar tidak menyentuh dan mengganggu keaslian gua.
Terdapat empat pakej ditawarkan di Gua Tempurung iaitu Golden Flowstone (40 minit), Top of the World (1 jam 45 minit), Top of the World & Short River Adventure (2 1/2 jam) dan Grand Tour (3 1/2 jam).
PAT memilih pakej Grand Tour yang merupakan pakej paling panjang, bermula dari platform satu hingga platform 10. Trek ini akan melalui laluan mencabar yang pasti akan membuatkan peserta tak sempat kering peluh kerana di sebahagian laluan ini peserta akan dipaksa merangkak ke dalam sungai cetek yang sejuk.
Kemudian mereka akan dibawa menggelongsor di dalam gelap setinggi (6.1 meter) 20 kaki. Aktiviti kami sebenarnya bermula sejak malam lagi dengan aktiviti ikatan dan simpulan.
Menurut pengerusinya Saiful Kadir: “Ikatan dan simpulan yang diajar kepada mereka adalah beberapa ikatan wajib yang mudah, tetapi ramai peminat rekreasi yang tidak ambil peduli.
“Jadi, kesempatan ini PAT melatih mereka semua agar kemahiran tali ini dapat dikembangkan kerana terdapat banyak jenis ikatan yang perlu dipelajari bagi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran mereka,” ujarnya.
Antara ikatan dan simpulan yang sempat dipelajari malam itu ialah buku sila, double dan single of eight, bowline, stopper, fisherman dan italian hitch.
Pada awal pagi keesokannya, kami sudah bersedia untuk meneroka Gua Tempurung ini. Selepas sarapan kami memulakan senaman ringan sambil bersiap dengan lampu suluh masing-masing. Kumpulan kami dipandu oleh jurupandu muda yang berpengalaman, Mohd. Sufi Abdul Manan.
Gua Tempurung yang berusia lebih 400 juta tahun itu adalah yang terbesar di Perak, manakala trek guanya memanjang sehingga 1.9 kilometer sehala. Terdapat lima kubah yang besar di sini dan dari situlah nama gua ini diambil iaitu sempena kubahnya yang kelihatan seperti bawah tempurung kelapa.
Laluan trek ke Golden Flowstone telah disimen, manakala di tempat tempat yang curam dan bertebing telah dipasang tangga dengan dihiasi lampu-lampu yang berwarna-warni.
Ia bertujuan untuk menimbulkan mood di beberapa kawasan permukaan gua ini agar menarik dilihat dari jauh. Pakej itu merupakan pengenalan kepada Gua Tempurung.
Di sini terdapat banyak formasi batu kapur yang besar terbentuk daripada larutan air batu kapur termasuk juga batu-batu marbel yang terdapat di kawasan sungai.
Formasi-formasi di sini terbentuk seakan-akan menyerupai rupa binatang antaranya seperti kucing, lembu dan ayam. Najis-najis kelawar yang bercampur dengan air kencingnya akan menghasilkan lukisan-lukisan abstrak secara semula jadi pada bumbung dan dinding gua ini. Kelawar boleh kelihatan pada bulan Mac hingga Mei kerana bulan tersebut adalah musim mengawan haiwan itu di sini.
Mood warna keemasan


PESERTA tertarik dengan formasi stalagmit semasa meneroka Gua Tempurung.



Golden Flowstone dikenali kerana dinding-dinding gua yang terdapat di sini terdiri daripada pasir-pasir halus seperti kristal. Sebahagian dinding gua ini yang basah dan berair akan berkilauan apabila terkena suluhan lampu suluh. Suasana itu akan memberi mood keemasan di sekitarnya.
Platform empat pula yang setinggi 90 meter dari aras laut merupakan laluan angin. Situasi itu memberikan suasana nyaman kepada pengunjung kerana angin yang menerusi terowong sangat sejuk dan nyaman. Angin tersebut datang dari dua arah bertentangan iaitu melalui pintu masuk dan pintu keluar gua.
Pertembungan itu akan memberi suasana angin pelbagai arah. Walau bagaimanapun kelajuan angin banyak bergantung dari cuaca di luar. Jika hujan angin di sini menjadi lebih kuat dan sejuk.
Oleh itu lokasi ini menjadi lokasi popular untuk berehat bagi semua pengunjung.
Platform lima pula adalah kawasan tertinggi di sini. Dikenali sebagai Top of the World. Dengan ketinggian 125 meter dari aras laut ia merupakan lokasi tertinggi buat pengunjung. Bagi menjamin keselamatan sebanyak 640 anak tangga disediakan.
Tambah menarik, terdapat beberapa lampu menghiasi beberapa kawasan gua menjadikannya sangat menarik jika dilihat dari jauh.
Aktiviti penerokaan gua sebenarnya bermula dari platform ini sehinggalah ke platform 10. Tiada kemudahan disediakan yang ada hanyalah trek yang kotor dan basah. Walaupun begitu, pakej ini adalah terbaik kepada pengunjung yang sukakan kelainan cabaran. Tiada lagi trek yang bersimen mahupun lampu-lampu di dinding gua.
Kembara bermula dengan pelbagai gaya dan aksi dipamer peserta. Mereka perlu merangkak, menggelungsur, menyusur dan meniarap di sungai dan menyusup kedalam lubang lubang kecil bagi meneruskan penerokaan ketahap seterusnya.


SAIFUL melatih peserta membuat beberapa jenis ikatan dan simpulan sebagai persediaan penerokaan Gua Tempurung oleh ahli PAT.



Keadaan kotor dan basah menjadi mainan sepanjang penerokaan bahagian terakhir gua ini. Walaupun kotor tapi ia paling digemari peserta. Hiruk-pikuk jeritan dan gurauan peserta memenuhi setiap ruang gua mengiringi setiap rentak aksi peserta.
Keseronokan ketika melakukan penerokaan di gua ini akan menjadi sia-sia jika anda tidak memberi perhatian kepada formasi-formasi yang masih ada di dalam gua kerana dibahagian inilah terdapatnya banyak kehidupan gua yang masih cuba meneruskan survivalnya.
Jangan terlepas peluang untuk menikmati dan memahami betapa sukarnya formasi kejadian fizikal gua dapat bertahan lama di sini.
Sayang sekali kerana sepanjang penerokaan, saya tidak melihat satupun kehidupan serangga mahupun mamalia di dalam gua ini selain kelawar. Ke mana perginya penghuni lain seperti ular gua, labah-labah dan lain-lain?
Gua Tempurung adalah antara gua terbaik untuk diteroka sama ada kembara bersama keluarga mahupun bersama rakan rakan rekreasi kerana empat pakej yang disediakan di sini telah dirancang dengan baik mengikut kelasakan pengunjung.
Pengunjung tidak perlu risau mengenai keselamatan diri semasa di sini kerana kemudahan yang disediakan di dalam gua ini memang memuaskan. Di sini juga disediakan calet-calet dan dewan untuk beraktiviti sepanjang hari.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...