![]() |
KEDUA-DUANYA hadir ke dunia seni dengan bakat yang disuntik melalui platform yang berjaya mengangkat nama mereka masing-masing. Mohd. Noor Murad, 26, atau Mamat Sepah yang memiliki humor yang mampu membuatkan orang ketawa lebih-lebih lagi apabila dia bergandingan dengan bekas-bekas rakannya dalam kumpulan Sepah iaitu Jep dan Shuib. Gandingan mantap ketiga-tiga pemuda berasal dari Kulai, Johor itu membuatkan kumpulan Sepah berjaya memenangi pertandingan Raja Lawak musim ketiga dan Maharaja Lawak (MRL) 2011 anjuran stesen Astro seterusnya menerima tawaran lakonan tak putus-putus.
Entah apa silap Mamat, selepas kumpulan Sepah berjaya menjuarai Maharaja Lawak dia ditinggalkan rakannya yang mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan itu pada penghujung Ogos lalu di saat umat Islam menyambut Syawal.
![]() |
MAMAT kini diheret kontroversi cinta dan dicicirkan daripada grup lawak Sepah. |
Atas alasan Mamat bermasalah, Jep dan Shuib keluar daripada Sepah dan menubuhkan kumpulan baharu iaitu Sepahtu. Kini, tinggal Mamat seorang diri memperjuangkan nasibnya dan membawa nama Sepah. Bukan sahaja berdepan dengan isu ditinggalkan rakan baik, Mamat juga menanggung kekecewaan akibat percintaannya bersama pelakon bertudung Rafidah Ibrahim atau Fida, 25, putus di tengah jalan.
Nama Nur Anzalna Nasir, 23, pula mula meniti di bibir peminat selepas kemunculan sulungnya dalam drama Suria Di Cordoba.
Walaupun diri bekas finalis Dewi Remaja 2010 itu pernah dicalit kontroversi akibat penyebaran gambar-gambar seksi dan intim bersama pemuda berbangsa Inggeris yang juga merupakan bekas kekasihnya di laman sosial Facebook, namun kepercayaan pengarah dan penerbit filem terhadapnya tidak pernah luntur.
Berbekalkan wajah mirip Rozita Che Wan, Anzalna banyak menerima tawaran lakonan termasuk yang terkini menjadi heroin dalam filem Sepah The Movie.
Mahu penjelasan Fida
Selepas heboh mengenai muat naik gambar Fida mendedahkan rambut di laman sosial Facebook Mamat ketika pelakon Kasih Alia itu mengikuti percutian bersama-sama keluarga pelakon komedi baru-baru ini, Fida akhirnya mengambil keputusan memutuskan hubungan cintanya bersama Mamat.

SEPAH THE MOVIE menampilkan kumpulan Sepah bersama dua 'bunga', Anzalna (kiri) dan Ramona.
Tiba-tiba sahaja hubungan percintaan yang terjalin hampir setengah tahun itu putus selepas Fida membuat kenyataan media mengenai perpisahan itu tanpa berbincang dan memberitahu Mamat terlebih dahulu.
Terkilan dengan tindakan Fida itu, Mamat mengambil keputusan untuk berjumpa bekas kekasihnya itu untuk dapat penjelasan.
"Sebenarnya saya belum lagi bersedia untuk komen mengenai hubungan saya dengan Fida. Memang saya akui saya salah sebab muat naik gambar Fida tak bertudung di Facebook. Tetapi terus terang saya tak berniat langsung nak aibkan dia.
"Saya akui tak cukup kuat nak dengar dan baca kata-kata yang dikeluarkan Fida di dada akhbar dan juga kata-kata kawan-kawan saya, Jep dan Shuib mengenai perpecahan Sepah," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran filem Sepah The Movie di Kuala Lumpur.
Mengaku tidak baca akhbar dalam tempoh yang lama kerana tidak kuat untuk menerima kata-kata yang dikeluarkan Fida mahupun kawan-kawannya, Mamat juga memberitahu, Fida meminta untuk tidak menghubunginya selepas penyebaran gambar tersebut.
![]() |
ANZALNA senang memberi fokus terhadap dunia lakonan yang baru diceburi. |
"Saya hormati keputusan Fida yang tidak mahu saya hubungi dia atau menghantar sebarang mesej selepas tersebarnya gambar tersebut. Tetapi saya tak sangka selepas itu Fida terus buat kenyataan di akhbar yang kami sudah putus.
"Kalau itu yang dia mahukan saya hormat keputusannya. Cuma, saya minta dia berjumpa saya dan memberitahu perkara itu sendiri. Tak manis buat ahli keluarga saya yang sudah mengenali dan rapat dengannya," katanya yang menyesal dengan apa yang berlaku.
Mula rapat dengan Fida ketika Maharaja Lawak, Mamat nekad berjumpa Fida walaupun bekas kekasihnya itu tidak mahu berjumpa dengannya.
Beralih soal filem Sepah The Movie pula, kata Mamat, walaupun mereka sudah tidak bersama dalam satu kumpulan, jika ada pihak yang menginginkan kerjasamanya bersama Jep dan Shuib, dia tidak ada masalah.

ANTARA karyawan filem Sepah The Movie bergambar sewaktu sidang akhbar filem tersebut pada minggu lalu.
Mamat juga diminta untuk mengulas isu perpisahannya bersama Jep dan Shuib yang kini dikenali sebagai Sepahtu.
"Kami pernah menangis dan gembira bersama. Apa yang berlaku saya hanya perlu kuatkan diri sahaja. Takkan bila dah jadi macam ini saya nak burukkan mereka. Saya tak mahu komen dan juga tak nak kata diri saya baik.
"Tanpa Shuib dan Jep, saya tidak akan cari pengganti baharu untuk Sepah. Biar saya seorang sahaja yang membawakan nama Sepah," katanya.
Bukan gadis liar
Bercerita tentang awal kemunculan Anzalna menerusi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011, beberapa keping gambar gadis jelita itu bersama bekas kekasih tersebar di laman sosial Facebook sehingga dia dilabelkan sebagai gadis liar.
Adat artis yang mula terjun dalam bidang seni apabila kehidupan peribadi dan lampau turut diselongkar peminat.
Tidak cepat melatah, pemegang Diploma Bahasa Inggeris dari Kolej Launceston, Tasmania, Australia itu mengaku gambar itu diambil ketika dia menetap di Australia, namun dia menafikan sekeras-kerasnya dia seorang gadis liar.
Sekalipun dia tidak memenangi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011 yang ketika itu dimenangi oleh Neelofa, Anzalna telah diberi peluang untuk berada dalam industri seni dengan tawaran yang melimpah ruah. Tidak cukup dengan tawaran lakonan, gadis berasal dari Pulau Pinang itu juga pernah ditawarkan sebagai pembaca berita dan pengacara. Namun, bidang lakonan menjadi pilihannya.

SEPAH yang kini telah menjadi Sepahtu dianggotai Jep dan Shuib (kiri dan tengah) bersama bekas anggota mereka, Mamat berganding dalam filem sulung mereka, Sepah The Movie.
Berbekalkan tiga buah drama iaitu Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu, akhirnya watak heroin berjaya dipegang Anzalna dalam filem sulungnya, Sepah The Movie.
"Sejak berlakon dalam Suria Di Cordoba ramai yang nampak bakat lakonan saya. Sejak itu tawaran datang mencurah-curah.
"Alhamdulillah, saya memang minat berlakon sejak dulu lagi dan diberi peluang dalam bidang ini. Memang saya kurang dapat peranan utama tetapi tak apa sebab saya mahu belajar dulu dan terima watak sampingan," katanya yang bersyukur kerana akhirnya diberi peluang memegang peranan penting buat pertama kalinya di layar perak.
Memegang watak Ayu Sofea di dalam filem sulungnya itu, menurut Anzalna, watak Ayu sangat dekat dengan dirinya iaitu berperwatakkan sopan dan lemah-lembut.



No comments:
Post a Comment