
SELAIN merakamkan takziah buat Sultan, Rosli (tengah) bersama Ahmad (kiri) dan Muhammad berdoa agar Raja Abdullah dikurniakan kesejahteraan.
SEKADAR ucapan takziah yang mampu diucapkan oleh keluarga kembar Siam, Ahmad dan Muhammad kepada keluarga diraja Arab Saudi saat dimaklumkan mengenai berita kematian Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan Abdul Aziz Al-Saud yang meninggal dunia pagi Sabtu lalu.
Putera Mahkota Sultan merupakan adik kepada Raja Abdullah yang pernah membiayai pembedahan pemisahan Ahmad dan Muhammad yang menelan kos RM1.7 juta.
Pembedahan yang mengambil masa 22 jam 45 minit itu berlangsung pada 17 September 2002 akhirnya telah berjaya memisahkan pasangan kembar Ahmad dan Muhammad dengan selamat di Hospital King Fahd National Guard, Riyadh.
"Saya sentiasa mengikuti perkembangan keluarga diraja tersebut melalui akhbar dan maklum mengenai berita kematian Putera Mahkota Sultan.
"Keluarga diraja tersebut banyak berjasa pada keluarga saya yang tidak mampu dibalas sampai bila-bila. Kami sangat terhutang budi pada keluarga tersebut," kata bapa kembar Siam itu, Rosli Abdul Rahim, 40.
Pembedahan pada tahun 2002 itu diketuai Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang kini Menteri Kesihatan Arab Saudi.
Beliau bersama sepasukan 17 pakar bedah, sembilan jururawat dan 15 pakar sokongan terdiri daripada pelbagai bidang dan pegawai perubatan.
Tambah Rosli, saat terbaca berita tersebut, Rosli terus memaklumkan kepada kedua-dua anak kembarnya.
"Walaupun tidak pernah bertemu empat mata dengan Putera Mahkota Sultan sepanjang menjalani rawatan di Arab Saudi, saya pasti pemergian baginda merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat di sana.
"Sekalung takziah dari keluarga kami buat keluarga diraja tersebut. Diharapkan seluruh keluarga mereka peroleh kesejahteraan dan kesihatan yang baik lebih-lebih lagi kepada Raja Abdullah yang baru sahaja menjalani pembedahan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ujarnya, dia kini hanya bekerja sendiri di rumah dengan membuat kerja-kerja kimpalan supaya senang menjaga isterinya Asiah Kanda, 35, yang menderita kanser payudara.
Kini, pasangan kembar tersebut berusia 13 tahun. Selepas sembilan tahun dipisahkan mereka menjalani kehidupan seperti remaja seusia mereka.
Malah, kekurangan mereka tidak dijadikan alasan untuk tidak berjaya dalam pelajaran. Ahmad dan Muhammad kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, Subang Jaya, Selangor.
baca kisah Putera Mahkota yang pemurah di sini...
No comments:
Post a Comment