Thursday, October 6, 2011

Chong Wei Tidak Letak Harapan Besar Raih Juara


Chong Wei Tidak Letak Harapan Besar Raih Juara
KUALA LUMPUR – Perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak meletakkan harapan besar untuk meraih kejuaraan pada Kejohanan Siri Super Terbuka Denmark minggu depan.
Sebaliknya, pemain nombor satu dunia itu kini memberi tumpuan dalam mengumpul mata bagi kelayakan Olimpik di London, Julai tahun depan.
“Untuk saya tiada target apa-apa (bagi Terbuka Denmark), apa yang penting ialah mengumpul mata dan mencapai ranking yang baik untuk layak ke Olimpik,” katanya kepada Bernama di sini Rabu.
Chong Wei dijangka menghadapi laluan sukar pada kejohanan tersebut yang akan berlangsung 18 hingga 23 Okt ini di Odense, Denmark.
Pilihan nombor satu kejohanan itu diundi dalam kumpulan yang sama dengan dua bekas juara dunia iaitu Chen Jin dari China dan jaguh Indonesia Taufik Hidayat.
“Mereka berdua adalah pemain yang hebat. Saya tidak mempunyai masalah untuk bertemu dengan mereka tapi ia bergantung juga pada keadaan pada hari perlawanan,” katanya.
Chong Wei dijadualkan bertemu Parupalli Kashyap dari India pada perlawanan pertama dan sekiranya layak ke perlawanan akhir, Chong Wei menghadapi kemungkinan bertemu pemain China sama ada Lin Dan atau Chen Long.
Kedua-dua pemain itu pastinya bukan calang-calang lawan bagi beliau, memandangkan Lin Dan pernah menewaskannya dua kali tahun ini iaitu pada Terbuka Korea dan Kejohanan Dunia, manakala rakan senegaranya Chen Long menundukkan Chong Wei di Jepun.
Meskipun gagal pada dua perlawanan akhir kejohanan baru-baru ini, iaitu Kejohanan Dunia dan Terbuka Jepun, Chong Wei berkata beliau tidak patah semangat dan berjanji untuk melakukan yang terbaik.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu mencatatkan rekod cemerlang dengan pencapaian ke perlawanan akhir dalam kesemua lapan kejohanan individu yang disertainya tahun ini dan hanya gagal meraih kejuaraan dalam tiga kejohanan.
Selain itu, beregu lelaki nombor satu negara Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong serta beregu wanita negara Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, yang memenangi Terbuka Indonesia Ahad lepas, akan turut beraksi dalam kejohanan tersebut. – BERNAMA

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...