Wednesday, October 5, 2011

Apek membara

Khairul Fahmi
Khairul Fahmi



TANPA pemain tengah berpengaruh, Tim Cahill pasukan gergasi Asia, Australia tetap akan tampil dengan pasukan terbaik apabila membuat perhitungan dengan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, Jumaat ini selepas kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Jakarta pada 1992.

Malah skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal harus bersedia menangkis serangan pasukan tuan rumah yang bakal membariskan jentera serangan terbaik mereka iaitu Joshua Kennedy, Alex Brosque, Brett Holman dan Robbie Kruse.

Sentuhan Kennedy yang beraksi bersama kelab Jepun, Nagoya Grampus tampak semakin menjadi-jadi apabila menyumbat satu gol ketika menewaskan Thailand 2-1 dan dua gol ketika membantu Australia mencatat kemenangan 3-1 ke atas Arab Saudi dalam saingan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Dan melihat kepada situasi ini, tidak hairanlah jika ketangkasan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat kembali ditagih untuk melindungi kubu negara daripada dibolosi anak buah Holger Osieck itu.

Khairul Fahmi yang baru pulih daripada kecederaan selepas beraksi bersama Kelantan dalam kempen Piala Malaysia dilihat calon terbaik untuk menggalas posisi itu berdasarkan aksinya ketika bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun biarpun Farizal Marlias turut merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya tak pasti lagi sama ada akan diturunkan dalam perlawanan menentang Australia nanti, jika dipilih saya akan cuba buat yang terbaik. Australia pasukan kuat, mereka akan menurunkan pasukan Piala Dunia. “Mereka mempunyai ramai pemain bintang dan beraksi dalam liga Australia dan juga EPL (Liga Perdana Inggeris) tapi bagi saya perlawanan ini bukan untuk pengalaman semata-mata tapi kita kena tunjukkan cara permainan kita kepada mereka,” katanya yang kini berada di Canberra bersama skuad 22 pemain Harimau Malaya.

Ketika ditanya mengenai tahap persediaannya untuk berdepan asakan Socceroos itu nanti, Khairul Fahmi yang turut dikenali dengan panggil Apek berkata, komunikasi antara pemain pertahanan amat mustahak dalam permainan.

Malah dia juga menyifatkan, kehadiran semula pemain senior Norhafiz Zamani Misbah menambah keyakinan benteng negara.

“Dia (Norhafiz) pemain berpengalaman. Dengan pengalaman yang ada, dia boleh membimbing pemain-pemain muda. Memang kehadirannya membuatkan kami bertambah yakin,” jelas Khairul Fahmi.

Pertemuan Australia dengan Malaysia adalah yang ketujuh dengan rekod memihak kepada naib juara Piala Asia itu dengan lima kemenangan manakala skuad negara menang 1-0 di Jakarta pada 1992.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...