
BANGGA...Barisan pemain New Zealand meraikan kejayaan muncul juara Piala Dunia di Eden Park, Auckland semalam. New Zealand menang 8-7 ke atas Perancis.
AUCKLAND - New Zealand akhirnya berjaya menamatkan kemarau selama 24 tahun apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Ragbi Piala Dunia 2011.
Kejayaan itu hadir selepas skuad All Blacks mencatatkan kemenangan tipis 8-7 ke atas Perancis pada aksi final yang berlangsung di Eden Park semalam.
Kemenangan yang dilakarkan itu ternyata amat bermakna buat New Zealand apatah lagi beraksi di laman sendiri.
Sebagai rekod, ia merupakan kejuaraan kedua yang dirangkul All Blacks selepas kali terakhir melakukannya pada kempen Piala Dunia 1987.
Berjaya menewaskan Perancis juga merupakan detik paling bermakna buat jurulatih New Zealand, Graham Henry dan kapten, Richie McCaw.
Ini kerana mereka terpaksa akur dengan kekalahan All Blacks di tangan skuad Les Bleus itu pada aksi suku akhir kempen Piala Dunia di Cardiff, empat tahun lalu.
"Menakjubkan. Penyokong-penyokong kami (New Zealand) wajar diberikan pujian kerana tidak henti-henti memberikan sokongan kepada kami sehinggalah kami berjaya bergelar juara hari ini (semalam).
"Saya sungguh bangga menjadi salah seorang warga New Zealand yang berada di sini (Eden Park).
"Tidak dinafikan, saya sedikit gementar menyaksikan perlawanan akhir kali ini di bangku jurulatih.
"Namun, McCaw bersama rakan-rakannya yang lain telah mempamerkan persembahan yang terbaik dan berjaya bergelar juara adalah suatu yang luar biasa.
"Memang kejayaan seperti ini telah lama kami impikan dan selepas ini kami boleh berehat dengan tenang," kata Henry.
Sementara itu, McCaw pula menambah: "Ia adalah suatu perasaan yang terlalu sukar untuk digambarkan.
"Sebagai kapten, saya sangat bangga dengan persembahan yang dipamerkan oleh rakan-rakannya yang lain.
"Pada suatu ketika, kami berada dalam keadaan tertekan, tetapi kami berjaya mengatasi dan sekali gus muncul juara," tambah McCaw.
Pada aksi final semalam, tonggak veteran All Blacks, Tony Woodcock meletakkan pasukannya di depan hasil try pada babak pertama perlawanan.
Kemasukan Stephen Donald sebagai pemain gantian juga ternyata memberikan suntikan buat New Zealand apabila dia berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada babak kedua.
Perancis yang tertekan dengan situasi tersebut cuba kembali bangkit, namun hanya berjaya mendapat satu try menerusi kapten, Thierry Dusautoir sebelum Francois Trinh-Duc menyempurnakan conversion. - AFP
No comments:
Post a Comment