
MEKAH – Sebanyak 77 peratus jemaah haji dari Malaysia sudah tiba di sini untuk bersiap sedia bagi melaksanakan ibadah haji dan Tabung Haji sudah mula merancakkan persiapan menjelang hari wukuf yang bakal tiba dalam masa tidak sampai dua minggu lagi.
Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata tidak ada lagi jemaah dari Malaysia yang dibawa ke Madinah ketika ini dan kumpulan jemaah terakhir dari Madinah akan tiba di sini dengan bas, Isnin.
Katanya penerbangan terakhir membawa jemaah haji dari Malaysia akan tiba di Jeddah pada 30 Okt ini dan semua perancangan yang dibuat oleh Tabung Haji untuk para jemaah ketika ini berjalan dengan lancar.
Beliau yang ditemui semasa melawat penginapan jemaah haji di Hotel Luluat Al-Tawheed di sini berkata dalam usaha memantapkan bantuan kepada jemaah, tahun ini Tabung Haji memperkasakan lagi program Sahabat Tabung Haji dan Sahabat Ibadah Tabung Haji.
“Tiap satu maktab (2,000 hingga 3,000 jemaah) disediakan dengan 20 orang Sahabat Tabung Haji manakala bagi Sahabat Ibadah Haji setiap maktab disediakan enam orang,” katanya kepada kumpulan media Tabung Haji di sini Ahad.
Sahabat Tabung Haji yang diperkenalkan beberapa tahun lepas menyaksikan Tabung Haji memilih beberapa sukarelawan daripada kalangan jemaah haji sendiri yang sesuai, untuk memberi bantuan yang termampu kepada jemaah haji yang lain, termasuk menyalur sebarang masalah yang dihadapi atau aduan kepada Tabung Haji.
Sahabat Ibadah pula merujuk kepada sukarelawan daripada kalangan yang berilmu pengetahuan yang dipilih untuk membantu para jemaah dalam aspek penyempurnaan ibadah, terutama daripada segi pengisian masa dan menyelesaikan sebarang keraguan mengenai permasalahan hukum.
Seorang Sahabat Ibadah Haji yang ditemui, Dr Saupi Man, 47, berkata beliau pada mulanya hanya membantu beberapa kenalan daripada kalangan jemaah haji untuk menyempurnakan lagi ibadah mereka, apabila dimaklumkan oleh petugas Tabung Haji mengenai Sahabat Ibadah Haji.
Beliau yang merupakan Penolong Profesor di Kuliah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa berkata ia lebih kepada sumbangan peribadi beliau buat sesama jemaah untuk menyempurnakan lagi ibadah.
“Saya lihat jemaah bersama saya ketika ini macam tiada semangat, tiada pengisian, waktu terluang dibazirkan begiu sahaja. Itu yang saya cuba banyakkan program tazkirah, cuba tiupkan semangat mereka, supaya mereka lebih tenang, yakin dan penuh semangat dalam menunaikan ibadah ini,” katanya.
Seorang lagi Sahabat Ilmu Tabung Haji yang ditemui Mustapha Mohd Zain, 58, berkata beliau mengambil amanah itu sebagai tanggungjawab sesama jemaah untuk menyempurnakan ibadah.
Katanya setiap permasalahan yang diutarakan kepadanya oleh rakan jemaah akan cuba dijawabnya sebaik mungkin, dan jika masih ada keraguan mengenainya, beliau akan membawa perkara itu kepada pembimbing atau pakar rujuk.
Sementara itu, Syed Salleh berkata dalam usaha membantu jemaah yang penginapan mereka agak jauh daripada Masjidil Haram berbanding hotel penginapan yang lain, Tabung Haji menyediakan pelbagai kemudahan buat mereka.
Beliau berkata kelebihan penginapan yang agak jauh ini ialah ruang hotelnya lebih luas, memudahkan pihak Tabung Haji menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan jemaah yang perlu seperti kaunter kewangan, urusan pos, ruang solat yang luas dan sebagainya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment