Tuesday, September 13, 2011

Shila Amzah kini bebas





SEMENJAK muncul naib juara dalam rancangan One In A Million (OIAM) pada tahun 2008, Shila Amzah dikatakan antara penyanyi yang mempunyai potensi besar untuk pergi jauh dalam bidang nyanyian. Dia dilihat mewarisi bakat bapanya, N.D Lala yang sememangnya dikenali sebagai penyanyi popular era 90-an.
Bagaimanapun, setelah tiga tahun bergelar anak seni Shila dilihat masih gagal untuk memikat hati para pendengar dan kebanyakan lagu-lagu nyanyiannya seperti jarang diputarkan di stesen-stesen radio.
Kemudian pada bulan Ogos yang lalu dengan tiba-tiba terdengar perkhabaran mengenai keputusannya untuk meninggalkan syarikat rakaman Monkey Bone yang telah menguruskan kerjaya seninya selama tiga tahun.
Berkesempatan menemuinya pada pertengahan bulan puasa yang lalu, penyanyi yang kini baru berusia 21 tahun itu tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalannya untuk lebih menyerlah berbanding penyanyi lain.
“Sepanjang tiga tahun bersama Monkey Bone, ternyata memang banyak yang telah saya pelajari tentang selok-belok dalam dunia nyanyian. Dengan pengalaman yang ada, rasanya sudah sampai masanya untuk saya bebas bergerak sendiri.
“Apa yang saya boleh katakan tiada masalah yang berlaku antara saya dan pihak pengurusan lama. Lagipun perkara ini sudah dibincangkan bersama dan mereka bersetuju untuk melepaskan saya,” jelasnya.
Bukan mahu memperkecil-kecilkan usaha yang telah dilakukan oleh pihak Monkey Bone untuk menaikkan namanya, namun Shila menyatakan formula yang digunakan oleh syarikat lamanya itu dirasakan kurang sesuai buat dirinya.
Jelas penyanyi yang kerap tampil dengan iklan-iklan komersial itu lagi, lebih baik dia mengundurkan diri sekarang agar syarikat lamanya itu dapat memberikan tumpuan kepada artis-artis lain di bawah mereka.
“Buat masa ini perjalanan karier nyanyian saya semuanya diuruskan oleh ibu. Lagipun selama ini ibu yang selalu menemani saya ke mana-mana sahaja termasuklah ketika membuat persembahan dan menjalani sesi fotografi,” ujarnya.
30 buah lagu
Selain mempunyai bakat yang besar dalam bidang seni suara, pemilik nama sebenar Nur Shahila Amir Amzah ini juga sebenarnya turut mempunyai kebolehan untuk menghasilkan lagu.
Menurut Shila, sehingga kini dia sudah mempunyai simpanan 30 buah lagu yang telah dihasilkannya sendiri semenjak dia berusia 16 tahun. Bagaimanapun, dia tidak berani untuk menonjolkan lagu-lagu hasil ciptaannya itu.
“Buat permulaan ini saya telah pun memperkenalkan lagu ciptaan saya sepenuhnya yang berjudul Patah Seribu. Alhamdulillah, apa yang saya tahun lagu ini telah pun dimainkan di kebanyakan radio-radio tempatan,” ujarnya.
Ujarnya lagi, memandangkan lagu berkenaan juga semakin diterima pendengar, dia telah merancang untuk menghasilkan sebuah video muzik yang akan diarahkan oleh Michael Ang. Menariknya, dia akan bergandingan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad untuk berlakon dalam video muzik tersebut.
“Saya memilih Sharnaaz untuk membintangi video muzik Patah Seribu itu kerana tertarik dengan drama dan telefilem lakonannya. Kalau segalanya berjalan lancar, penggambaran akan dilakukan dalam bulan ini,” ujarnya.

Baca Seterusnya...

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...