Thursday, September 1, 2011

Rumah terbuka Aidilfitri Agong, PM meriah



NAJIB dan Rosmah menyambut kehadiran orang ramai ke rumah terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya semalam.


KUALA LUMPUR – Hari Raya Aidilfitri disambut di seluruh negara semalam dalam suasana penuh meriah tetapi sederhana.
Seperti amalan selama ini, rumah-rumah terbuka yang diadakan menyediakan pelbagai juadah seperti ketupat dan lemang serta pelbagai jenis kuih raya.
Di Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mengadakan rumah terbuka dalam dua sesi.
Sesi rumah terbuka untuk orang kenamaan pada sebelah pagi dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet dan diplomat asing.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali turut menghadiri rumah terbuka itu.
Bagi sesi untuk orang ramai yang bermula pada pukul 11.40 pagi hingga 1 petang, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah menerima lebih 20,000 rakyat berbilang kaum daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah meluangkan masa berdiri di hadapan ‘rumah kaca’ bersalaman dengan orang ramai dan memberi duit raya kepada kanak-kanak.
Orang ramai kemudiannya diberi cenderahati berupa kuih raya sebelum ke khemah khas untuk menikmati jamuan yang disediakan.
Penggal Seri Paduka berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berakhir Disember ini.
Sementara itu, pada sebelah tengah hari di Putrajaya, lebih 100,000 orang menyerikan sambutan rumah terbuka Perdana Menteri dan jemaah menteri di Seri Perdana.
Mereka yang hadir terdiri daripada diplomat asing, pemimpin parti-parti politik, pelancong asing dan warga tempatan yang disajikan dengan pelbagai juadah serta dihiburkan dengan pelbagai persembahan yang melambangkan semangat 1Malaysia.
Majlis yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu berakhir pada pukul 6 petang.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...