Monday, September 26, 2011

Norman Hakim- tak mahu gagal lagi..


pix_middle
NORMAN Hakim, 35, jadikan kegagalan perkahwinan pertamanya sebagai iktibar untuk melayari hidup barunya bersama Suhaiza Suhaimi, 23 atau Memey. Pasangan yang secantik sepadan itu selamat diijabkabulkan semalam (24 September) selepas Asar di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor.

Hari ini pula berlangsungnya majlis kenduri dan persandingan mereka dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu.

Foto

Foto

Foto


Bukan sedikit dugaan yang mereka lalui namun kalau sudah jodoh mereka tetap akan bersama. Paling melegakan pasangan raja sehari itu bila mana mereka bebas daripada tuduhan khalwat. Rezeki yang datang menjelang perkahwinan mereka dengan tajaan jutaan ringgit juga tanpa diduga sama sekali.

Pada hari pernikahan yang disaksikan keluarga kedua-dua belah, sahabat-handai dan saudara-mara itu, Memey terima mas kahwin RM22.50 dan wang hantaran RM24,000 berserta lima dulang barangan hantaran berbalas tujuh.


Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon dan Memey ditemui Selebriti Metro Ahad seminggu sebelum mereka bergelar suami isteri dan kala itu seri pengantin begitu terserlah. Barangkali dek kerana kesibukan Memey tidak berhenti menjalani penggambaran drama dan baru saja menyambut Ramadan serta berdebar untuk bergelar pengantin baru, tubuhnya kelihatan sangat susut dengan penurunan berat badan sebanyak 10 kilogram.

Akui Norman, dia masih berasa cemas, tertekan dan berdebar walaupun ini pernikahan keduanya selepas kegagalan pertama bersama Abby Abadi hampir dua tahun lalu.

“Sebagai selebriti, saya berasa tertekan kerana orang terus mahu tahu kisah hidup saya selepas ini. Namun begitu, apa yang penting perancangan selepas berkahwin. Meskipun sudah ada orang baru dalam hidup tetapi saya tetap bersedih dengan kegagalan perkahwinan saya yang pertama.

“Saya manusia biasa yang ada kekurangan diri. Apa saja yang berlaku akan dijadikan batas sempadan dalam kehidupan yang baru dibina ini. Hidup selebriti ini macam dalam program realiti, orang pandang dari setiap sudut. Siapa yang mahu berkahwin semata-mata untuk bercerai? Saya sayangkan perkahwinan saya dulu tetapi malangnya jodoh kami tidak panjang.

“Alhamdulillah saya tengok Abby semakin dapat menerima kenyataan perceraian kami, jiwanya semakin stabil dan dapat terima saya dengan baik. Apabila saya tengok anak-anak yang semakin membesar, boleh nampak diri kami berdua dalam diri mereka. Saya beritahu Abby, kami hanya berpisah sebagai suami isteri namun tanggungjawab saya sebagai bapa kepada tiga anak kami tidak akan terputus.

“Jangan kerana saya dan Abby bercerai, anak-anak turut kehilangan kasih orang tua mereka. Saya sentiasa ‘ada’ untuk anak-anak dan saya juga masih mengambil berat mengenai Abby. Saya juga mahu dia mencari kebahagiaannya sendiri” katanya.

Tidak marah

Norman bersyukur kerana Memey sangat memahami situasi dirinya sebagai duda anak tiga. Malah Memey juga tidak marah apabila tahu Norman masih ambil tahu mengenai Abby.

“Syukur kerana Memey tahu keadaan diri saya dan supaya tiada perselisihan faham, saya beritahu Memey apa saja yang berlaku. Saya turut menjemput Abby dan ‘teman baiknya’ Zul Ariffin ke majlis resepsi kami di Hotel Crowne Plaza Kuala Lumpur, pada Rabu ini (28 September).

“Saya harap ia adalah permulaan kepada perdamaian saya dan Abby. Apapun yang berlaku pada kami berdua, apabila saya bersama Abby dan anak-anak, saya mahu mereka berada dalam suasana keluarga yang bahagia,” katanya.

Memey pula berkata, dia tidak menduga dengan pelbagai dugaan melanda hidupnya, menjelang detik bahagia banyak perkara berlaku termasuk penajaan yang bernilai RM12 juta daripada Rafflesia The Pearl Centre. Pada malam resepsi perkahwinannya, Memey akan menyarungkan baju pengantin rekaan pereka terkenal dunia, Vera Wang, berkonsepkan ala Bohemian dan gaun jenama Rafflesia bertakhtakan mutiara. Dia juga akan menyarungkan kasut rekaan Jimmy Choo. Resepsi itu berkonsepkan New York bertema hitam putih.

Barangkali satu lagi sejarah baru tercipta buat pasangan mempelai ini apabila semua baju dan kasut yang dipakai mereka akan dipamerkan di Muzium Negara, mulai 26 November hingga 31 Disember ini. Ia bertujuan memberitahu kepada orang ramai bahawa mutiara bukan hanya untuk perhiasan diri tetapi juga boleh dipelbagaikan untuk hiasan kasut, baju dan beg tangan.

Bill Bora selaku perancang perkahwinan pasangan itu menyediakan yang terbaik buat Norman dan Memey kerana kebetulan Rafflesia mahu memperkasakan jenamanya dengan memperkenalkan banyak produk baru termasuk gaun pengantin Rafflesia.

Mutiara Kasih

Santapan pada resepsi itu diberi nama Mutiara Kasih. Ini kali kedua Rafflesia menjadi hos perkahwinan selebriti selepas mengadakan majlis sama untuk supermodel, Amber Chia dan suaminya.

Mencungkil perasaan Memey, dia bagaikan kehilangan kata-kata dengan segala persediaan yang dilakukan oleh banyak pihak bagi memeriahkan majlis perkahwinannya.

“Sedang saya sibuk membuat persediaan di kampung bersama emak dan ayah, Bill hubungi saya beritahu Rafflesia sudi menaja majlis resepsi saya di Kuala Lumpur. Ia majlis yang istimewa hanya 200 jemputan diundang di kalangan selebriti dan media. Ketika itu, Bill sudah menyiapkan separuh persediaan untuk resepsi itu,” katanya.

Mereka yang lain turut sudi memberikan penajaan termasuk Ezuwan Ismail (baju nikah), Hatta Dolmat (baju sanding), Rizman Ruzaimi (baju untuk acara potong kek). Pelamin dan hiasan barang hantaran pula tajaan Iezla Bridal dan PLU Creative dari Johor Bahru. Majlis di kampung dan di Kuala Lumpur itu juga diabadikan dalam bentuk rakaman video oleh Ezuwantazni Studio Production.

“Lega rasanya segala kontroversi sudah berakhir dan kini melangkah ke kehidupan baru. Dengan sokongan keluarga, saya dapat melaluinya dengan tabah dan sabar. Saya tak perlukan orang lain yang selama ini hanya memberikan pandangan negatif. Sekarang saya rasa semua pihak menerima diri saya dengan baik.

“Saya mahu menjadi isteri yang baik. Sejak mengenali Norman, kami mempunyai komunikasi yang sangat baik dan semoga ia berterusan sampai bila-bila. Antara kepincangan sesebuah perkahwinan apabila pasangan gagal meluahkan rasa yang terpendam di hati.

“Sebagai pasangan artis, lalui kami bukan mudah. Ada saja spekulasi yang timbul dan menghentam kami, jadi kami tidak boleh menggelabah. Sejak tiga tahun lepas banyak sangat dugaannya. Norman banyak memberikan sokongan dan kami berjaya melepasnya satu persatu,” katanya.

Jelas Memey, Norman tidak pernah berahsia dengannya termasuk hubungannya dengan anak-anak dan bekas isterinya.

“Apa yang Norman buat, dia akan beritahu supaya saya tidak mendengarnya daripada pihak lain. Apabila gambar atau ada saja cerita yang disampaikan oleh kawan-kawan, saya tidak marah atau kecil hati sebab Norman sudah beritahu dulu.

“Norman sudah terapkan perkara itu sejak awal dan ia menjadi sebahagian kehidupan saya. Doakan rumah tangga kami aman bahagia sampai bila-bila,” katanya yang belum tetapkan destinasi bulan madu.

Gambar2 kahwin norman & memey

Cerita seterusnya...

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...