Tuesday, August 9, 2011

Jalinan Muzik Kerohanian Amy & Yassin



AMY dan Yassin bergabung bakat dan kreativiti untuk single Takbir Cinta.


AMY dan Yassin bergabung bakat dan kreativiti untuk single Takbir Cinta.SIAPA yang tidak kenal dengan ikon rock, Search yang mencipta fenomena sendiri 30 tahun lalu. Bukan sahaja di Malaysia, malah penangan yang dibikin turut terasa hingga ke negara jiran Indonesia.
Sementelah apabila lagu Isabella yang cukup segala rempahnya meletus sehingga dinobatkan sebagai Juara Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu TV3 (1989).
Begitu pun, vokalis utamanya Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 53, mengundur diri daripada kumpulan itu sekitar tahun 1996 dan mencipta jenamanya sendiri.
Diam tak diam Amy kini sudah 30 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni dan sudah lima buah album solo berjaya dilahirkan iaitu Magic (1994), Camouflage (1997), Aku (1999), Suatu Masa (2000) danIKON - A Rockstar Chronicle (2006) sepanjang tempoh itu.
Sinonim dengan aliran rock sejak mula menceburkan diri lagi, bagaimanapun kini Amy buat pertama kalinya cuba beralih angin dengan mendekatkan diri dengan lagu bercorak kerohanian.
Untuk itu dia telah memilih untuk berkolaborasi dengan bekas penyanyi kumpulan nasyid Brothers, Yassin Sulaiman.
Ia nyata sukses direalisasikan menerusi single berjudul Takbir Cinta yang sudah siap dirakam sepenuhnya.
"Mula-mula rancangan untuk berduet dengan Yassin timbul sejak bulan Ramadan tahun lepas tapi tidak berjaya berikutan kesibukan masing-masing.
"Alhamdulillah, tahun ini segalanya berjalan sempurna dan Takbir Cinta siap dirakam dalam masa tiga bulan sahaja," katanya yang ditemui ketika majlis kesyukuran dan doa selamat di Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpir baru-baru ini.
Memuji hasil ketelusan dan kualiti hasil kerja serta bakat Yassin selaku penyanyi nasyid kontemporari dan komposer hebat, ujar Amy, mereka ada persefahaman dan punyai minat yang sama.
"Pertama kali dengar lagu yang dicipta Yassin saya dah berkenan dan saya yakin dengan hasil kerjanya.
"Tambahan pula ini single pertama saya yang bercorak kerohanian dan istimewanya single ini juga merupakan lagu pertama yang saya nyanyikan sempena bulan penuh berkat, bulan Ramadan," bicaranya yang menyasarkan kejayaan lagu duetnya itu untuk didendangkan hingga ke bulan Syawal.
Pemilihan lagu berunsur keagamaan dan didedikasikan sempena bulan Ramadan berbanding lagu raya yang dirasakan lebih berpeluang mendapat sambutan pendengar, Amy ada rasionalnya sendiri.
"Semua orang sibuk untuk membuat lagu raya tapi kita ingin mencari perbezaan dan tidak salah untuk menyeru pendengar ke arah kebaikan sempena bulan mulia ini," katanya.
Dengan lirik yang mengisahkan perjuangan, pengorbanan dan nazar selain irama balada rock world music iaitu signatur azali Yassin, single itu ibarat suatu percubaan bagi Yassin.
"Kita nak tengok maklum balas daripada pendengar dahulu sebelum membuat album, biar ia menjadi lagu yang mesra pendengar terlebih dahulu," tutur Yassin yang begitu teruja bekerjasama dengan Amy.
Tambah Yassin, Takbir Cinta merupakan projek keduanya tahun ini selepas terlibat dengan penghasilan runut bunyi filem Nur Kasih dan beberapa lagu tema dan lagu korporat syarikat-syarikat ternama tempatan.
"Sepanjang karier saya, untuk menghasilkan muzik yang menarik perlu sentiasa berubah-ubah mengikut citarasa pendengar dan tidak boleh terhad pada satu stail.
"Begitu juga dengan single terbaharu ini, saya cuba sedaya upaya lakukan yang terbaik setelah idea ini datang daripada Amy sendiri selepas menyaksikan Konsert Maher Zain bulan Oktober tahun lepas," jelasnya yang kini juga sedang bekerjasama dengan Noryn Aziz.
Fenomena 30 Tahun Search
Menyentuh perkembangan terkini, Amy memberitahu dia kini sedang giat melakukan persiapan menjelang konsert jelajah Fenomena 30 Tahun Search menjelang bulan Oktober nanti.
Sebanyak enam lokasi dipilih untuk siri jelajah sempena menghargai sokongan peminat tanpa berbelah-bagi sepanjang 30 tahun Search berkecimpung dalam industri muzik iaitu Terengganu, Johor, Sabah, Perak, Sarawak dan Kuala Lumpur.
"Konsert jelajah ini akan bermula di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan akan diteruskan ke enam buah negeri sepanjang bulan Oktober nanti," ujarnya.
Dalam pada itu, Amy juga berkongsi perkembangan lagu duetnya bersama penyanyi dan komposer terkenal dari Indonesia, Ahmad Dhani.
Menerusi single yang diberi judul Jika Syurga Dan Neraka Tak Pernah Ada, lirik dan komposisi lagu sepenuhnya diuruskan oleh Ahmad Dhani.
"Proses rakaman belum lagi dibuat setakat ini tapi lagunya sudah saya dengar, kalau tiada aral melintang lagu ini akan dikeluarkan secepat mungkin menjelang hujung tahun ini," nyata Amy menerangkan proses asal rakaman lagu berentak sederhana itu sepatutnya berlangsung sebelum bermulanya bulan Ramadan di Indonesia.
Jom Shopping Online Sambil Beribadat Di Bulan Ramadhan Ini! Peluang Kita Membantu Ummah!
 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...