DAVID James Archuleta atau David Archuletta, namanya melonjakkan deruman adrenalin serata alam. Berbeza pula dengan pencabarnya yang dinobatkan juara American Idol musim ketujuh, David Cook, aura dan gema suara David jelas sekali mampu didengar sehingga ke wilayah Asia.
Cukup gah untuk menggegar dunia apatah lagi Stadium Negara pada hari Selasa lalu, David mengukir namanya sekali lagi selepas konsert sulungnya di Malaysia pada tahun 2009 menerusi David Archuleta The Other Side of Down Tour Live In Malaysia 2011.
Menginjak ke usia dewasa 21 tahun berbekalkan panggilan manja Archie, figura kelahiran Utah, Amerika Syarikat (AS) itu kini sudah berjaya melahirkan album ketiganya The Other Side of Down.
Siri jelajah konsertnya di Asia bermula di Jakarta, Indonesia seterusnya ke Manila, Filipina sebelum meninggalkan bumi Ho Chi Minh dan Hanoi, Vietnam untuk menoktahkan sebaran suara emasnya di Kuala Lumpur.
Konsert yang pada masa yang sama bertujuan mempromosi album ketiganya itu membuka tirai persembahan dengan lagu Stomping The Roses.
Dengan hanya menyarung sehelai jaket kulit, sehelai kemeja-t kelabu serta sepasang jeans hitam hingga ke akhir persembahan yang berdurasi sejam setengah itu, Archie turut melantunkan beberapa lagu baharunya antaranya Touch My Hand, My Kind of Perfect, Everything and More dan Zero Gravity.
Tidak ketinggalan menunjukkan skil bermain piano sambil dan mengulit 5,000 pengunjung penuh syahdu dengan dendangan notasi dan irama My Kind Perfect dan A Thounsand Miles (lagu asal Vanessa Carlton).
Selain itu, Archie juga melantunkan beberapa buah lagu nyanyian asal Tears For Fears (Everybody Wants To Rule The World), Ben E King (Stand By Me) dan Bryan Adams (Heaven).
Empat single daripada album terbaharunya, The Other Side of Down, Falling Stars, Elevator danSomething 'Bout Love, turut menghiasi persembahan.
Pelengkap persembahan tidak lain tidak bukan single pertama yang menjulang namanya tinggi di persada dunia, Crush sebagai hadiah teristimewa dan penutup konsert penuh energetik di Asia.
Semanis wajahnya, kaya pelbagai gaya dan tawa kecil, Archie yang ditemui pada sidang akhbar di Hotel Hilton sehari sebelum konsertnya nyata girang teruja menjejakkan kaki buat kali kedua di bumi Malaysia.
"Masih saya ingat pengalaman kali pertama datang ke sini (Malaysia) berjumpa dengan peminat saya, dan kini buat kedua kalinya kenangan ini pasti tidak akan dilupakan," bicaranya yang terbuka untuk bertandang lagi jika diberi peluang kali ketiga.
Tambahnya, Touch My Hand benar-benar sebuah naskhah bermakna baginya, selain dicipta khas untuk didendangkan di depan khalayak ramai ia punya mesej tersendiri.
"Seumpama mimpi menjadi realiti, lagu itu amat luar biasa dan saya cukup teruja untuk berkongsinya dengan khalayak," ceritanya santun.
Sebanyak 17 buah lagu, sepersalinan dan diiringi pemuzik dari Los Angeles dan New Zealand, Archie mengakhiri persembahan penuh memukau dengan ucapan "Terima Kasih Malaysia!"
No comments:
Post a Comment