Tuesday, August 30, 2011

Impian Datin Linda

 

DALAM masa tiga tahun penubuhannya, Casa Impian Living kini sudah ada 18 cawangan di seluruh Malaysia.


BERTEMU dengan pemilik empayar Casa Impian ini, pemilik mudah menyusun bicara. Orangnya peramah dan mudah mesra dan kami berbual seperti sudah lama mengenali satu sama lain, hinggakan penulis terlupa ada gelaran datin dipangkal namanya.
Datin Noorlinda Abd. Taib, 40-an merupakan usahawan hiasan dalaman Bumiputera yang berjaya di negara ini.
Melihatkan jenama Casa Impian sahaja, hasil air tangan ibu kepada empat anak ini memang sudah cukup terkenal di mana-mana.
“Alhamdulillah, walaupun semakin hari semakin banyak saingan, Casa Impian masih berdiri teguh di dalam hati peminat produk kami,” ujar Linda.
Dia yang meminati seni menghias kediaman ini asalnya bukanlah suka menghias rumah.
“Masa zaman anak dara dulu, memang kena paksa dengan emak baru saya mengemas rumah.
“Bila asyik disuruh, lama-kelamaan minat itu datang dan saya kembangkannya hingga menjadi satu perniagaan pada hari ini,” ujar Linda yang lebih gemar menghias landskap pada awal pembabitannya dalam kerja menghias rumah.
Tambahnya, bagaikan satu kepuasan apabila setiap pokok yang ditanamnya menjadi, lebih-lebih lagi pokok kesidang yang lebat berbuah di rumahnya.
Pilih sendiri
“Pernah juga keluarga dan rakan-rakan beritahu yang tangan saya ini tangan emas kerana apa yang saya tanam, semuanya menjadi,” selorohnya.
Enggan bertapak dalam satu bidang sahaja, Pengarah Urusan Casa Impian Holding yang menawarkan pakej perunding hiasan dalaman berani mempertaruhkan jenama sama untuk anak syarikatnya, Casa Impian Living, yang menjual pelbagai aksesori dan hiasan rumah.
“Pada 2008, atas minat dan rasa percaya diri, saya tekad menubuhkan Casa Impian Living.
“Alhamdulillah, dari hari pertama, hingga kini, sayap baru Casa Impian ini berjaya menarik minat ramai rakyat Malaysia malah ia mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri,” katanya.
Apa yang membanggakannya, butik Casa Impian Living sudah ada di 18 cawangan pasar raya AEON Jusco terpilih di seluruh negara.
Menganggap perniagaan sebagai nadi hidupnya, Linda akui, dia lebih senang bekerja sendiri daripada bekerja di bawah orang lain.
“Sebelum ini saya sering bekerja di bawah bos yang suka marah-marah. Lama-lama, tertekan juga kita dibuatnya.
“Memandangkan saya memang graduan aliran perniagaan, saya ambil keputusan untuk cuba berniaga, syukur ia menjadi,” kata Linda yang menganggap pekerja-pekerjanya sebagai rakan.
“Saya mahu mereka rapat dengan saya. Pengalaman yang lalu mengajar saya untuk tidak terlalu bertegas dengan pekerja sebaliknya saya akan menggunakan diplomasi sekiranya wujud masalah komunikasi antara kami.
“Dengan cara ini, walaupun kami sering bergelak ketawa bersama, mereka masih menghormati dan patuh dengan ketegasan saya sebagai ketua.
“Saya juga sering mengingatkan diri saya sendiri supaya tidak sesekali menindas orang lain untuk berada di atas,” katanya.
Sebagai peniaga yang juga ketua kepada puluhan kakitangannya, Linda amalkan sikap turun padang dari dulu lagi.
Tidak kira sama ada melihat setiap ruang kediaman hinggalah memilih aksesori di Bali atapun China, semuanya mahu dilakukan sendiri.
“Saya tak kisah masuk kilang yang penuh dengan debu atau berjalan di bawah panas terik dari satu kedai ke kedai lain untuk mencari barang yang saya mahukan.


BARANGAN hiasan dalaman dari Bali menjadi pilihan Linda.


“Bagi saya, keunikan dan kualiti adalah kunci kejayaan Casa Impian,” katanya yang gemar memilih eksesori yang dihasilkan daripada alam semula jadi untuk dijual di kedainya.
Tidak hairanlah upih, mayang dan lidi kelapa digunakan untuk membentuk aksesori seperti bekas kuih, bekas majalah, bakul kuih, dulang cawan dan sebagainya.
“Bagi yang mahu kediaman kelihatan rustik, gaya aksesori seperti ini memang sesuai, apatah lagi harganya berpatutan,” kata Linda yang turut gemar membaca buku motivasi dan perniagaan.
Jelasnya, dalam sebulan dia mendisplinkan dirinya untuk menghabiskan dua buah buku dan jadual kerja yang padat tidak pernah menghalangnya untuk dia memenuhi hobinya itu.
Selain membaca, Linda turut menetapkan pada dirinya sendiri bahawa hujung minggu adalah waktu untuknya berehat selain bersantai bersama suami dan anak-anak.
“Anak-anak masih membesar, jadi masa hujung minggu memang masa yang saya khususkan untuk bersama mereka.
“Biasanya kami akan makan bersama, menonton dan membeli-belah. Sesekali, saya akan bawa dua anak perempuan saya ke spa untuk terapi tubuh,” ujarnya yang akan bercuti bersama keluarganya ke Phuket sempena cuti raya tahun ini.

Pelancong asing sertai ziarah kampung



PENDUDUK Kampung Salang, Pulau Tioman berjalan beramai-ramai untuk menziarahi setiap kediaman keluarga di kampung itu.




KESYAHDUAN takbir raya memecah keheningan pagi Syawal di sebuah kampung terpencil di perairan Pahang. Ternyata alunan itu adalah petanda bagi umat Islam di situ meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa.
Sebagai hentian paling utara di Pulau Tioman, Kampung Salang sangat dekat di hati para pelancong luar negara dan tempatan. Kewujudannya menyingkap pelbagai elemen percutian tropika dan penghayatan khazanah alam semula jadi.
Ditambah dengan kemeriahan restoran barbeku malam di pantainya dan kemesraan penduduk tempatan, tidak hairanlah Kampung Salang menjadi antara destinasi yang wajib dikunjungi di pulau peranginan itu.
Bulan Syawal bukan sahaja membuka pintu rezeki kepada penduduk tempatan lantaran kedatangannya seiring dengan musim kunjungan pelancong. Lebih daripada itu, sambutan Aidilfitri di kampung tersebut memberi peluang kepada komuniti tempatan meneruskan tradisi mereka.
Sejak turun-temurun, orang kampung di situ tidak kira lapisan usia berbangga dengan satu kelaziman. Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah peluang terbaik buat mereka berziarah dan merapatkan hubungan antara satu sama lain.


PENDUDUK Kampung Salang, Pulau Tioman berjalan beramai-ramai untuk menziarahi setiap kediaman keluarga di kampung itu.



Daripada anak kecil hinggalah warga tua, mereka lengkap merias diri dengan pakaian tradisional. Manis dan segak berbaju kurung serta berbaju Melayu, sebuah demi sebuah rumah dikunjungi selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau Kampung Salang.
Pelancong turut serta
Sambil berjalan beramai-ramai bak rombongan kahwin, terdapat juga pelancong-pelancong asing yang mengambil kesempatan untuk merasai pengalaman suasana hari raya.
Bukan sekadar kunjung-mengunjung dan bersalam dari rumah ke rumah, para pelancong yang mesra budaya itu juga berminat untuk merasai pelbagai juadah tradisi lebaran bersama penduduk tempatan.
Ketua Kampung Salang, Abdul Kadir Harun, 72, memberitahu, amalan ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah ketika Aidilfitri sudah menjadi tradisi Kampung Salang sejak zaman dahulu.
Kelebihan mereka sebagai penduduk pulau yang muafakat membolehkan tradisi itu dihidupkan tanpa meminggirkan mana-mana keluarga sekalipun.
“Seingat saya, sejak saya kecil lagi ia telah dijadikan amalan penduduk. Jadi, kita menyambung kesinambungan tradisi yang telah menjadi ikutan sejak dahulu.
“Satu Syawal merupakan hari yang sangat istimewa bagi penduduk kampung ini. Sehari suntuk kami akan berjalan dalam kawasan kampung sebab kami akan pastikan dapat melawati kesemua 30 buah rumah yang terdapat di kampung ini,” katanya yang memberitahu populasi Kampung Salang ialah seramai kira-kira 279 orang penduduk.


MEG DU TREVOR (kiri) dari Afrika Selatan dan Kitty Williams dari Britain mencuba ketupat pulut bersama kari ayam.



Tambahnya, mereka terlebih dahulu akan berbincang di surau mengenai rumah pertama dan gerak laluan dalam acara ziarah-menziarahi itu. Selalunya, lawatan dimulakan selepas sembahyang sunat hari raya hinggalah waktu petang iaitu sehingga ke rumah terakhir.
Kekenyangan
Pelbagai telatah dapat dilihat dalam kemeriahan suasana tersebut terutamanya para pelancong asing yang sama-sama ingin menyertai ‘perarakan’ kecil itu.
Uniknya, kerana berlatarbelakangkan gaya hidup pulau, para pelancong yang menjadi tetamu di rumah-rumah orang kampung dilihat berpakaian santai – yang lelaki berseluar pendek atau bersinglet dan berlilit tuala manakala wanita pula ada yang berpakaian mandi namun bertutup pario atau kardigan kerana menghormati tuan rumah.
Dalam pada itu, Abdul Hashim Maulana, 52, berkata, dia sangat tertarik dengan gelagat para pelancong luar negara yang mengikuti rombongan hari raya itu.
“Kebiasaannya, mereka akan menikmati juadah hari raya sepuas hati di tiga buah rumah pertama. Selepas itu, mereka akan ‘menyerah kalah’ kerana kekenyangan.
“Ada juga antara mereka bertanya bagaimana kami dapat menghabiskan ziarah ke semua rumah tanpa berasa terlalu kenyang,” katanya yang membuka ‘rahsia’ orang kampung yang hanya menjamah sedikit makanan di setiap rumah.
Abdul Hashim yang turut mengusahakan calet Ella’s Place menjelaskan, terdapat juga para pelancong luar negara yang kembali pada tahun berikutnya semata-mata untuk merasai lagi suasana Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang.
Isterinya Raha Madali, 42, yang berasal dari Chini, Pahang memberitahu, mereka tidak mengadakan gotong-royong memasak juadah sewaktu hari raya.
“Sebaliknya, kami memasak mengikut cita rasa masing-masing di rumah sendiri pada malam raya. Anak-anak tentu sekali akan membantu memasak sehingga membuatkan malam raya lebih bermakna dan penuh kemesraan,” kata ibu kepada lapan orang anak itu.
Bagaimanapun, Raha menambah, juadah wajib yang perlu ada sewaktu hari raya adalah ketupat pulut. Ia enak dimakan bersama kari ayam, rendang daging, sambal dan sebagainya mengikut cita rasa penduduk.
Kalau daun kelapa mudah diperoleh di sekitar pulau untuk dijadikan sarung ketupat, bahan-bahan mentah lain seperti daging dan rempah pula di dapatkan daripada bekalan yang dibawa masuk ke pulau menaiki bot kargo dari Mersing, Johor.
Kenduri besar
Dengan riak wajah memancar keriangan, seorang penduduk kampung, Jariah Ahmad, 67, berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri seumpama kenduri besar di Kampung Salang.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Mak Long, memberitahu, kepulangan anak-anak dari tanah besar Semenanjung dan perantauan termasuk pelancong-pelancong sememangnya ‘menghidupkan’ suasana raya di pulau.
“Secara tidak langsung, orang tempatan telah membudayakan Hari Raya Aidilfitri untuk dijadikan pengalaman berharga buat para pelancong luar negara,” katanya yang tidak pernah meninggalkan kampung berkenaan pada 1 Syawal.
Jariah yang gemar membuat kek turut memberitahu, terdapat pelbagai juadah lain akan dimasak penduduk tempatan pada pagi raya seperti laksa, nasi impit dan mi goreng.


JARIAH (kiri) sedang sibuk melayan pelanggan di gerai jualannya.



Dia yang gemar membuat kek tidak pernah meninggalkan Pulau Tioman Sementara itu, bapa Hashim, Maulana Harun, 83, yang merupakan antara orang tertua di Kampung Salang menyatakan kegembiraannya menjelang Syawal. Baginya, tiada yang lebih bermakna dalam suasana raya di pulau itu selain menerima kepulangan semua anak dan cucunya ke kampung yang tenang itu.
Maulana yang mempunyai 10 orang anak dan 44 orang cucu sentiasa menanti kehadiran hari raya kerana ia dapat mengumpulkan hampir kesemua waris penduduk di Kampung Salang.
Bagi seorang mekanik di sebuah pusat selam skuba, Jeami Jamal, 33, dia merasai perbezaan ketara apabila menyambut raya di Pulau Tioman.
“Sebelum ini saya menetap di Mersing, Johor tetapi telah berpindah ke sini beberapa tahun lalu kerana keluarga mempunyai tanah di Kampung Salang.
“Kemeriahan dan keakraban antara penduduk lebih terasa apabila menyambut raya di kampung ini,” katanya yang mempunyai empat orang cahaya mata.
Ujar Jeami yang telah menetap di kampung berkenaan selama hampir 15 tahun, kebanyakan penduduk kampung akan berhari raya di kampung-kampung sekitar Pulau Tioman pada hari kedua.
Katanya, jika ada yang mempunyai kampung di luar kawasan Pulau Tioman mereka akan keluar berhari raya pada hari ketiga dan seterusnya.
“Bagi sesiapa yang mahu merasai keunikan suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang, mereka perlu berkunjung sendiri ke kampung ini,” ujarnya.

Tempurung kepala perlu diganti



ROSLINA (kiri) menunjukkan keadaan kepala Mohd. Azizi semalam.

BUKIT MERTAJAM – Selepas kehilangan sebahagian daripada tempurung kepalanya akibat kemalangan motosikal dua tahun lalu, Mohd. Azizi Khalib, 19, masih mengharap untuk pulih sepenuhnya.
Selepas pembedahan mencantum semula tempurung kepalanya dilakukan pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Julai 2009, tahap kesihatannya semakin baik berbanding sebelumnya.
Menurut ibunya, Roslina Che Ros, 41, anaknya masih memerlukan bantuan terutama untuk bangun dan bergerak termasuk menguruskan diri.
“Ingatannya masih lemah kerana tidak dapat mengingat dengan baik walaupun sesuatu perkara itu berlaku sejam sebelum itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani, Penanti di sini semalam.
Keadaan kepalanya selepas kemalangan pada tahun 2009.


Roslina tidak dapat menyembunyikan rasa bimbangnya kerana pakar di HPP mengesahkan bahawa tempurung kepala anaknya telah rosak dan perlu digantikan dengan tempurung kepala palsu.
Katanya, Mohd. Azizi sepatutnya menjalani pembedahan tersebut pada Jun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak RM2,000 untuk menampung kos pembedahan.

Duit lesap angkara sapu tangan



Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR – Berhati-hati jika anda berada di dalam lif di sebuah pusat beli-belah di ibu negara dan didatangi empat lelaki warga asing yang sengaja menjatuhkan sapu tangan berwarna kuning di kaki anda sebelum mereka meminta maaf.
Mereka tidak lain dan tidak bukan hanyalah penjenayah yang disyaki menggunakan taktik pukau untuk mencuri wang daripada dompet anda.
Difahamkan, suspek-suspek yang berusia lingkungan 30-an itu baru-baru ini menjadikan pelanggan di sebuah pusat beli-belah Berjaya Times Square di Jalan Imbi di ibu negara sebagai sasaran untuk mencuri duit.
Tidak terlepas menjadi mangsa kumpulan tersebut ialah Exco Penerangan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Shagul Hameed Dasthigeer (gambar), 32, yang kerugian sebanyak RM1,080 akibat dipukau oleh kumpulan lelaki tersebut pada 20 Ogos lalu.
Menceritakan pengalaman itu, Shagul Hameed berkata, ketika kejadian dia berada di hadapan lif di tingkat dua sebelum didatangi oleh empat lelaki dipercayai warga asing.
Menurut Shagul Hameed, dua daripada lelaki itu berdiri di kiri manakala dua lagi berdiri di kanannya sebelum salah seorang daripada mereka sengaja menjatuhkan sehelai sapu tangan berwarna kuning di atas kaki kirinya.
“Saya seolah-olah hilang ingatan sebaik kain itu mencecah kaki. Apa yang saya ingat ialah lelaki yang menjatuhkan kain tersebut berkali-kali meminta maaf.


“Selain itu, saya terasa seseorang menarik sesuatu daripada poket belakang seluar saya tetapi saya tidak mampu melawan dan hanya menurut kehendak mereka,” ceritanya ketika dihubungi baru-baru ini.


Selamat Hari Raya Dari Peringgit Homestay! Maaf Zahir Batin!


Dua anak rayu ibu pulang



NAJIE NAJWAN (kiri) dan Mufleh menunjukkan gambar keluarga mereka ketika ditemui di Kajang baru-baru ini.


KAJANG – Aidilfitri yang dinanti-nantikan umat Islam sudah tiba dan yang pastinya semua kanak-kanak merupakan insan paling gembira menyambut hari lebaran itu.
Namun berbeza bagi dua beradik, Muhammad Najie Najwan Zawawi, 9, dan Muhammad Mufleh, 7, yang buat pertama kali beraya tanpa ibunya, Samsiah Yusof, 44.
Samsiah didakwa dilarikan ke Mesir oleh ahli kumpulan Al-Arqam bersama tiga lagi anaknya sejak 15 Jun lalu. Tiga beradik lagi yang turut hilang bersama Samsiah ialah Muhammad Abdul Bar, Nur Samahah dan Mariam Al Adzra.
Najie Najwan dan Mufleh merayu ibu dan tiga adik-beradik mereka kembali ke Malaysia dan sama-sama menjalani kehidupan berkeluarga seperti orang lain.
“Umi pulanglah, kami mahu sambut Aidilfitri bersama Umi dan nenek di kampung.
“Kami juga mahu membeli baju raya bersama umi,” luah Najie Najwan penuh harapan ketika ditemui wartawan Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mufleh bagaimanapun lebih banyak mendiamkan diri dan ketika ditanya di mana ibunya, dia hanya berkata dia amat merindui Samsiah selain teringin makan kek strawberi yang Samsiah masak setiap kali raya.
Mufleh dikatakan anak paling manja dengan Samsiah.
Sebelum ini, Najie Najwan dan Mufleh bersama kakak mereka, Siti Khaulah, 17, disembunyikan di perkampungan Al-Arqam di Bandar Country Homes, Rawang selepas ibu mereka dan tiga lagi adik-beradik lain dilarikan ke Mesir.
Namun dua daripada tiga beradik itu berjaya diselamatkan oleh bapa mereka, Zawawi Aman, 44, pada 14 Julai lalu.

Lelaki Nigeria tipu cikgu sekolah



BERHATI-HATI bila melayari Facebook bagi mencari rakan kerana anda mungkin menjadi mangsa penipuan.


KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu percaya dengan teman baru di Internet, seorang guru kerugian RM140,000 gara-gara diperdaya dua lelaki Nigeria daripada sindiket sama menerusi penipuan bungkusan dan Black Money.
Lebih malang lagi, mangsa yang berusia 36 tahun dan bujang itu sanggup membuat pinjaman bank sebanyak RM90,000 bagi memenuhi hasrat kedua-dua lelaki kulit hitam yang dikenali sebagai James dan Charles.
Perkenalan antara mangsa dari Melaka dengan suspek pertama James, 28, bermula pada Januari lalu menerusi laman sosial Facebook.
Selepas tiga bulan berkenalan, James yang kononnya menetap di Washington, Amerika Syarikat menawarkan untuk menghantar cenderamata berupa sepasang kasut kepada mangsa kononnya sebagai tanda persahabatan.
Pada Mac lalu, seorang wanita yang mendakwa dirinya dari sebuah syarikat penghantaran di negara ini menghubungi mangsa memaklumkan bungkusan atas nama wanita itu tersangkut di syarikat berkenaan.
Wanita itu diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun kononnya sebagai bayaran cukai bagi menuntut bungkusan tersebut.
Mangsa yang teruja untuk mendapat hadiah tersebut memasukkan wang yang semuanya berjumlah RM20,000 ke dalam satu akaun yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat. Kesemua wang tersebut dibuat dalam beberapa transaksi.
Selepas membuat bayaran itu, mangsa kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang mendakwa sebagai pemilik syarikat penghantaran dan menawarkan untuk berjumpa dengan mangsa kononnya bagi menyelesaikan urusan berhubung bungkusan tersebut.
Mangsa kemudian bertemu dengan pemilik syarikat penghantaran yang memperkenalkan diri sebagai Charles, 30-an, di sebuah hotel di ibu negara pada April lalu.
Dalam pertemuan itu, Charles memperdaya mangsa untuk melabur modal membeli sejenis cecair untuk melunturkan kertas hitam (black money) yang kononnya mampu menggandakan wang.

Derita mangsa simbah asid



MOHD. RAFFIE ditemani abangnya, Mohd. Jeffry Abdul Latiff ketika dirawat di HKL.




KUALA LUMPUR – Kedatangan Syawal kali ini bagaikan tidak membawa sebarang erti kepada mangsa simbahan asid, Mohd. Raffie Abdul Latiff, 28, yang mengalami kecederaan teruk pada bahagian muka kerana hari gembira itu hanya disambutnya di katil hospital.
Hasratnya untuk menyarungkan sepersalinan baju Melayu baharu pada Aidilfitri tidak kesampaian kerana wajahnya hangus terbakar apabila disimbah dengan asid dalam satu kejadian di Jalan Raja Laut di sini pada 8 Ogos lalu.
“Sebelum saya disimbah asid, saya pergi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk tengok-tengok dan beli sepasang baju Melayu tetapi lain pula kini keadaan saya.
“Wajah saya pun mungkin akan cacat selepas ini dan saya dah tak terfikir pasal hari raya lagi,” rintih Mohd. Raffie ketika ditemui Kosmo! di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin.



Menurut Mohd. Raffie, sebelum ini dia pasti akan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta di kampung halamannya di Muar tetapi tahun ini dia cuma mampu menyambut hari lebaran itu di wad hospital.
“Mujurlah keluarga dan rakan-rakan beri saya sokongan penuh dan tetap ingin meraikan Aidilfitri bersama saya biarpun di hospital,” ujarnya.
Ketika ditanya detik dia disimbah cecair berbahaya itu pada hari kejadian, Mohd. Raffie memberitahu, pada saat itu kulitnya terasa sangat pedih dan panas.

Selamat Hari Raya Dari Kelong Abu! Maaf Zahir Batin!

Monday, August 29, 2011

Selamat Hari Raya





Salam sejahtera kepada semua,

Di sini pihak Team ManaKedai.com ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya" dan "Maaf Zahir Batin" kepada semua pelanggan, kawan2 media sosial facebook, twitter, wayn, linkedin,tagged, forsquare, google buzz, yahoo pulse, kawan2 forumers dll serta para pengunjung2 dan pembaca2 portal ini.

Kami ingin menyusun 10 jari untuk memohon maaf kepada semua sekiranya terdapat apa-apa kesalahan kepada anda semua. Sememangnya manusia tidak pernah sempurna dan tidak lari melakukan kesilapan dalam hidup ini. Marilah kita bermaaf-maafan sesama kita di hari dan bulan baik ini.

Dan bagi yang balik kampong berhati-hatilah dijalanraya! Biar lambat asalkan kita semua selamat ya! Kami doakan anda semua beroleh kebahagiaan dan keceriaan di Aidil Fitri ini!

Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Batin!

ikhlas dari

Team ManaKedai.com

Sunday, August 28, 2011

Ada maklumat dirahsia


KASIH IBU... Kartika menemani anaknya Wann Kaitlynn dan Qaisara.
KASIH IBU... Kartika menemani anaknya Wann Kaitlynn dan Qaisara.
SUNGAI SIPUT: Ada yang menghantar surat berserta biodata lengkap seperti surat memohon kerja, meluahkan perasaan secara bertulis, malah tidak kurang yang lebih ‘gentleman’ berjumpa ayahnya semata-mata mahu menyampaikan hasrat di hati.

Memegang status janda popular menyebabkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 34, menjadi perhatian ramai lelaki, sama ada orang kebanyakan mahupun berstatus VIP.

Lebih-lebih lagi kisahnya menjadi perhatian tiga tahun dulu berikutan kesanggupannya menjalani hukuman sebat atas kesalahan minum arak dan sejak itu setiap perkembangannya menjadi hiasan di dada akhbar hinggalah kisah perceraiannya dengan seorang warga Singapura.

Namun, buat masa ini, tidak terlintas di hati wanita kelahiran Kampung Jawang, di sini, itu untuk mengakhiri zaman jandanya, apatah lagi dia baru kehilangan anak sulung, Mohamad Azfar Muhammad Affandi, 9, akibat lemas pada 8 Mei lalu.

Kartika tidak menafikan tertarik dengan surat ‘lamaran’ diterima, namun individu yang melamarnya merahsiakan beberapa maklumat, terutama status terkini.

“Surat yang saya terima rata-rata menyertakan maklumat positif, namun saya terpaksa menolak kerana mereka masih berstatus suami orang.


“Saya tidak percaya 100 peratus maklumat diberi, sebaliknya melakukan siasatan bagi memastikan ia benar,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.

Menurutnya, dia tidak sanggup menghancurkan hati wanita lain semata-mata mahu mengakhiri status janda kerana percaya faktor takdir yang pasti berbalik kepadanya jika melakukan sesuatu yang buruk.

Katanya, bukan bermakna dia menutup pintu hatinya kepada lelaki lain selepas bercerai dengan bekas suami, Muhammad Afandi Amir, 39, tahun lalu, tetapi Kartika enggan memikirkannya dalam masa terdekat.

“Saya baru mengambil alih perniagaan inap desa Perak River Safari daripada ayah dan tumpuan kini hanya kepada kerja untuk mempromosikannya yang diuruskan bersama dua abang saya.

“Wanita mana tidak mahu hidup bersama lelaki bergelar suami, tetapi ia (berkahwin) bukan keutamaan saya dalam tempoh lima tahun ini.

“Namun, jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam tempoh itu, siapalah saya untuk menolaknya,” katanya.

Kartika berkata dia tidak meletakkan syarat bagi mereka yang ingin menyuntingnya sebagai suri hati tetapi paling penting, lelaki berkenaan menerima anaknya, Wann Kaitlynn Saridewi Muhammad Affandi, 7.

Katanya, anak adalah keutamaannya kini, lebih-lebih lagi sejak melalui kejadian sedih yang meragut nyawa anak sulungnya ketika insan lain yang bergelar ibu gembira menyambut Hari Ibu.

Bagaikan menjadi penawar duka, Kartika menerima seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang diberi seorang wanita seminggu selepas pemergian Azfar untuk dijadikan anak angkat.

Kanak-kanak perempuan itu yang dikenali sebagai Qaisara tidak dianggap pengganti Azfar, sebaliknya sebagai kawan kepada Wann Kaitlynn.

“Qaisara tidak akan sama dengan Azfar kerana anak sulung saya mempunyai tempat istimewa dalam hati saya dan dia (Azfar) tetap saya kenang dan sayang sehingga ke hujung nyawa.

“Bagaimanapun, saya tetap mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada Qaisara kerana dia adalah amanah yang perlu saya pelihara dengan sewajarnya,” katanya.

Seperti Azfar, Qaisara tergolong dalam kategori kanak-kanak istimewa kerana mengalami masalah lembam tetapi Kartika reda menerima kekurangan anak angkatnya itu.

ManaKedai.com - Kami doakan moga Kartika bertemu jodoh yang baek! Terus Tabah Hadapi Kehidopan Mendatang!

Bertuah ada Aidil


pix_middle
Foto

Foto

Foto

Foto




LAMA menanti, baru kini SELEBRITI berkesempatan merakamkan gambar aktres dan model jelita, Rita Rudaini bersama suami tercinta yang juga pemain bola sepak negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan dua cahaya mata mereka, Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna, 3 bulan.

Rita yang anggun dalam persalinan rona biru hitam rekaan Hasfitri Yusof, membuka bicara tiada yang lebih bermakna daripada dikelilingi insan tersayang khususnya suami dan anak-anak tatkala menyambut lebaran. Meskipun hanya bercuti sekejap, dia bahagia apabila hasrat berkumpul seisi keluarga dimakbulkan Ilahi.
   
  • Foto
  • FotoPENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.
  • FotoPENYAYANG...Aidil tidak kekok menguruskan Arjuna yang berusia 3 bulan.
  • Foto
  • FotoBAHAGIA...Rayyan (kanan) dan Arjuna lambang cinta Aidil dan Rita.
Hari ini, Rita Rudaini Mokhtar akan berangkat pulang ke kampung halamannya di Perlis bersama keluarga tercinta. Biarpun tidak dapat berlama-lama di tanah tumpah kelahirannya lantaran terikat dengan komitmen karier, kepulangan itu mampu mengubat kerinduan terhadap ayah bonda dan sanak-saudara yang sudah lama tidak bersua muka.

Paling membuatkannya teruja selain menghabiskan masa bersama suami serta anak-anak di kampung, buat pertama kalinya dia serta adik-beradik akan menyinsing lengan menggantikan ayah bonda menyiapkan hidangan utama untuk rumah terbuka yang diadakan setiap hari raya pertama.


“Jadi kemestian setiap tahun ayah dan ibu akan masak nasi tomato bersama ayam masak merah atau nasi Arab untuk dihidangkan kepada tetamu. Bagaimanapun tahun ini ayah tidak sihat, jadi tugasnya akan diambil alih oleh anak-anak. Selepas berbincang dengan abang dan saudara lain, kami sepakat untuk masak nasi tomato.

Tak tahulah menjadi atau tidak kerana inilah percubaan pertama kami masak untuk 100 orang. Selain sajian utama, orang ramai yang datang beraya nanti akan dihidangkan laksa, rendang, ketupat, lemang dan kuih-muih.

“Tahun ini sambutan lebih meriah kerana semua sepupu pulang beraya di Perlis.

Bila berkumpul, pasti riuh rendah jadinya. Maklumlah sudah lama tak jumpa, pasti masing-masing ada cerita menarik untuk dikongsi. Anak sulung saya, Rayyan pun suka balik kampung sebab ada ramai sepupu yang sebayanya.

“Kalau ikutkan hati mahu bercuti lebih lama tetapi tidak boleh kerana saya dan Aidil ada komitmen. Aidil perlu jalani latihan manakala saya pula terikat dengan penggambaran drama Tangisan Bulan Madu musim kedua,” katanya sambil melirikkan senyuman bahagia.

Beralih kepada persiapan raya, jelas ibu penyayang ini keutamaan lebih diberikan kepada anak. Selepas dikurniakan zuriat, bagaikan menjadi satu kegilaan dia dan suami suka membeli pakaian untuk anak. Pantang ada yang menarik di mata, pasti segera dicapai dan dibawa ke kaunter pembayaran.

“Tahun ini saya serahkan tugas menentukan warna tema kepada suami dan dia pilih biru. Kami sudah beli beberapa pasang baju untuk Rayyan dan Arjuna termasuklah baju Melayu yang akan dipakai pada pagi raya nanti.

“Soal pemilihan baju anak-anak kami memang cerewet. Saya akan pastikan warna kena dengan kulit anak-anak dan kasut mestilah sepadan dengan baju. Kadang-kadang kami tidak sependapat dalam soal pemilihan warna, fesyen dan jenis kain tetapi itu bukanlah masalah besar kerana bila nampak cantik di badan anak, pasti masing-masing akan mengalah.

“Bab baju sendiri saya tidak kisah, pakai saja apa yang ada. Lagipun saya hanya berbaju kurung pada sebelah pagi, masuk waktu tengah hari saya akan salin kemeja-T,” katanya.

Sambil melirikkan mata ke arah Aidil yang asyik memangku Arjuna, bintang utama siri Iris, Cinta Gila, Rahsia Hati, Noktah Erna dan Pe­ngantin Untuk Dijual ini melafazkan rasa syukur kerana dikurniakan suami penyayang, lembut tutur kata serta perlakuan dan ringan tulang.

Biarpun sibuk latihan di padang, Aidil tidak mengabaikan ­tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa malah apabila berada di rumah, tidak kekok menguruskan anak. Baik membancuh susu, menukar lampin, memandikan atau ­mendodoikan anak dilakukan penuh kasih sayang.

Sikap prihatin dan timbang rasa Aidil dapat disaksikan sepanjang sesi fotografi yang berlangsung. Ketika Rita disolek jurusolek artis terkenal, Tiar Zainal, dialah yang menjaga dan menguruskan keperluan Rayyan serta Arjuna.

“Ketika mula-mula berkahwin, dia akan bantu jika kita cakap tetapi sekarang tak perlu minta tolong pun dia ringan tulang. Jika tidak ada latihan, dialah yang akan uruskan anak manakala saya pula akan memasak, membasuh dan membersihkan rumah.

“Ketika penggambaran Jangan Bunuh Matahariku musim kedua di Cameron Highlands baru-baru ini, saya pulang sekejap ke rumah. Ketika sampai saya terkejut lihat baju sudah berlipat, baju anak tersusun cantik, dapur teratur dan pinggan mangkuk tersusun rapi.

“Mula-mulanya saya ingat dia panggil orang kemas rumah, rupa-rupanya dia buat sendiri. Saya terharu apabila dia cakap tak nak saya penat buat semua kerja rumah. Satu lagi sikap terpuji Aidil, kalau tak tahu buat, dia akan minta saya ajar. Pernah dia minta saya ajar dia masak ayam seperti yang saya masak,” kata Rita.

Biarpun rumah tangga yang dibina pernah dilanda badai, Rita bahagia hidup di samping Aidil. Baginya apa yang berlaku sebelum ini adalah dugaan Allah SWT yang menjadikannya insan yang lebih tabah, matang serta kuat.

Tidak perlu dikesali atau diratapi kerana setiap dugaan pasti ada hikmahnya.

“Hidup berumah tangga pasti diuji. Perselisihan faham itu perkara biasa bagi suami isteri dan ia mengajar setiap pasangan untuk jadi lebih baik, saling menerima kelemahan dan menjadi peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan serupa.

“Bagi saya, setiap hari pasti ada perkara baru yang kita belajar daripada perkahwinan bahkan semakin lama hubungan itu kita akan lebih memahami pasangan.
Kita jangan pandang yang molek saja sebaliknya setiap pasangan kena terima kelemahan masing-masing. Ia akan menjadikan keadaan lebih mudah.

“Dalam hubungan saya dan Aidil, dia kena tahu kesusahan saya dan saya juga perlu tahu apa kesusahan dia. Saya faham sebagai pemain bola sepak negara tekanan yang diterima bukan sedikit. Setiap hari Aidil ada latihan dan apabila pulang ke rumah dia pasti penat. Sebagai isteri, jadi tugas saya untuk redakan tekanannya dan buat apa saja yang boleh buat dia rasa lega,” katanya.

Kehadiran Arjuna melengkapi kehidupan Rita sekeluarga. Biarpun tugas yang digalas bertambah apatah lagi dia tidak menggunakan khidmat pembantu rumah, Rita sedikitpun tidak mengeluh.

Biarpun penat terpaksa terkejar-kejar menguruskan anak dan kerja rumah, bagi Rita, itu berbaloi dan sangat seronok untuk dinikmati.

“Alhamdulillah setakat ini saya tak ada masalah menguruskan anak-anak dan kerja rumah. Ketika ada pembantu rumah dulu pun, dia cuma kemas rumah saja kerana anak-anak saya jaga sendiri. Saya lebih selesa begini dan jika ada kelapangan Aidil akan bantu.

“Tidak dinafikan agak kelam-kabut bila semua perkara kita uruskan sendiri tapi itulah yang lebih mudah. Sejak ada adik, Rayyan mahukan perhatian yang lebih.
Dia jadi makin manja, makin meragam, kuat cemburu dan makin rapat dengan saya.

“Kadang-kadang kasihan pula dengan Arjuna tetapi dia seakan faham keadaan abangnya dan banyak mengalah. Dia anak yang baik, langsung tak meragam. Kalau letak depan TV, dia diam saja, sedar-sedar dah lena.

“Bagi saya anak-anak adalah segala-galanya. Merekalah cinta hati saya dan suami. Demi anak saya tidak kisah berpenat malah sentiasa berusaha berikan yang terbaik buat mereka,” kata Rita.

Tambah Rita, seperti mana kebanyakan ibu lain, dia mahu Rayyan dan Arjuna membesar depan mata bahkan sibuk di lokasi penggambaran tidak menjadi kekangan baginya melunaskan tanggungjawabnya.

Pernah ibunya menawarkan khidmat ikhlas menjaga Rayyan dan Arjuna jika dia terbabit dengan penggambaran tetapi ditolak secara baik. Bukan tidak percaya jauh sekali meragui kemampuan ibunya tetapi dia tidak betah berjauhan dengan dua anugerah paling indah dalam hidupnya itu.

“Saya tidak boleh fokus dengan kerja jika anak-anak tidak ada depan mata.
Tinggal anak sekejap pun sudah rasa sebak inikan lagi kalau berjauhan. Ke mana saja saya pergi Rayyan dan Arjna pasti ada bersama malah saya bawa mereka ke lokasi penggambaran.

“Jika tiba giliran saya beraksi depan kamera, ada rakan-rakan di lokasi akan jaga anak saya. Pengarah dan penerbit pun tak kisah kerana mereka faham tanggungjawab saya sebagai seorang ibu.

“Selepas berkahwin dan dikurniakan zuriat, rezeki saya semakin murah. Tawaran tak pernah putus bahkan drama Jangan Bunuh Matahariku baru-baru ini dan Tangisan Bulan Madu musim kedua yang akan memulakan penggambaran selepas raya ini adalah hutang saya ketika hamil.

“Produksi sanggup menangguh penggambaran semata-mata mahu tunggu saya. Pernah saya minta mereka gantikan tempat saya dengan orang lain tapi mereka berkeras mahu tunggu. Habis tempoh berpantang saya lunas janji. Kalau ikutkan ada banyak tawaran tetapi saya tolak sebab sudah berjanji jayakan dua drama itu.

“Melihat tawaran yang datang, saya mula risau andai tidak dapat tumpukan perhatian terhadap anak-anak. Justeru, saya janji dengan Aidil tidak akan kerja secara berterusan. Habis satu penggambaran saya akan berehat sebulan dan kemudian barulah kembali bekerja. Walaupun tawaran bagus, saya akan pejam mata sebab itu janji saya. Saya tak mahu kasih sayang anak berkurang. Sudahlah Aidil sibuk, jadi saya kena main peranan luangkan masa sebanyak mungkin dengan anak-anak,” katanya.

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...