MILA JIRIN terlibat dalam penggambaran filem Kami Histeria arahan Syamil Othman. Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Diana Danielle, Sara Ali, Nad Zainal dan Umi Omar. Terbaharu, penyanyi ini muncul dengan lagu baharu berjudul Cinta Qaseh duet bersama Nubhan.
BIARPUN sibuk menguruskan perniagaan, menyanyi masih menjadi sebahagian daripada jiwa Mila Jirin. Andaian penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara itu sudah memperlahankan aktiviti nyanyian turut disangkalnya.
Malah, hari ini kesibukan anak kelahiran Pulau Mutiara itu berganda apabila menguruskan acara di bawah syarikatnya, LuvMilla Corporations Sdn. Bhd., selain memenuhi undangan nyanyian seluruh negara. Mila juga muncul dengan single terbaru yang menampilkan duet dengan Nubhan berjudul Cinta Qaseh. Lagu itu juga dijadikan runut bunyi untuk drama bersiri di TV3.
"Tiada produk atau cerita baharu berkaitan kerjaya yang perlu dihebahkan. Bagaimanapun, saya bersyukur rezeki masih tidak putus-putus biarpun dilihat seakan menyepi.
"Saya mendapat kepercayaan syarikat korporat dan swasta untuk menjayakan majlis makan malam. Saya juga baru sahaja menyelesaikan penggambaran filem Kami Histeria terbitan Red Film Sdn. Bhd. yang akan ditayangkan pada 2013.
"Saya teruja dan berdebar menantikan tahun 2013 kerana ini adalah kali pertama saya menggalas tanggungjawab sebagai pelakon utama dalam filem. Selain itu, pelbagai aktiviti direncanakan syarikat rakaman, MJ Panacea Records bersama LuvMila Corporation untuk 2013.
Kata Mila, dia kini sibuk mengendalikan Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012 yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Disember ini bertempat di pekarangan Stadium Kajang.
Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012 dianjurkan Majlis Perbandaran Kajang dengan kerjasama LuvMila Corporations sebagai pengurus acara. Ia dibantu oleh Pengarah Projek, Mohd. Ali Khair Abd. Ghafar. Lebih 100 aktiviti direncanakan sepanjang tiga hari karnival berlangsung.
"Banyak acara menarik sepanjang tiga hari karnival berlangsung. Jika tahun lalu, karnival berjaya menggamit hampir 20,000 pengunjung tapi kami menyasarkan 50,000 pengunjung tahun ini.
"Hasrat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman supaya karnival yang diadakan buat kali kedua ini dijadikan acara mengumpulkan semua lapisan masyarakat untuk meraikan penggiat sate seluruh Selangor.
"Paling menarik ialah acara membakar sate terbesar dan terberat. Ia akan tercatat dalam Malaysia Book of Records. Setiap sate beratnya 3 kilogram dan karnival akan menyediakan 100 batang sate. Sate ini akan dijual dan kutipannya didermakan kepada pihak memerlukan. Pengunjung juga boleh menikmati sate secara percuma pada dua sesi pada pukul 4 petang dan 8 malam dalam tiga hari berturut-turut ini.
"Selain itu, saya juga mempelawa rakan artis apabila gerai disediakan dalam Selebriti Zone. Setakat ini, Siti Nordiana, Enot, Asheed Def Gab C, Nonny AF dan Zarina Zainoordin sudah menyatakan persetujuan. Saya menjangka lebih 15 selebriti akan turut serta. Selebriti yang mahu berniaga akan diberikan tempat niaga secara percuma," katanya.
Tirai karnival dibuka pada Jumaat dengan aktiviti riadah Berbasikal Night Ride Terokai Kajang bersama Hasan Nawawi. Program Islamic Mini Showcase bersama penceramah terkenal serta persembahan zikir dan nasyid diadakan pada pukul 8 malam. Keesokannya (Sabtu), kenduri rakyat iaitu acara memasak bubur tradisi bersama rakyat dan akan diagih-agihkan kepada penduduk Kajang pada pukul 8 pagi.
Waktu petang pula, pengunjung dapat merasai pengalaman menaiki belon udara panas dan acara membakar sate terbesar Malaysia Book of Records. Majlis Perasmian Karnival Sate Kajang 2012 akan dimeriahkan oleh barisan penyanyi terkenal seperti Jay Jay, Mus May, Darshaini (Vaanavil Superstar 2010), Cindy Chen (pemenang tempat kedua Miss Malaysia International 2011) dan ramai lagi artis terbabit diikuti Konsert Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012 pada pukul 8 malam.
Pada Ahad, acara Senamrobik Perdana diadakan. Pada tengah hari, persembahan Motor Scrambler bermula. Pengunjung juga dapat merasai pengalaman menaiki helikopter mengelilingi Kajang. Selain itu, aktiviti berterusan dengan pesta buku, Upin dan Ipin, tarian kebudayaan, permainan Inflatable dan Suppa Duppa serta karnival Hari Natal. Untuk info lanjut mengenai karnival dan aktiviti sila layari www.facebook.com/karnivalsatekajang2012.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_12.htm#ixzz2FEJ4IufoHakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment