Pelakon Almy Nadia akui terkejut bila disapa peminat Indonesia sewaktu dia menjalani penggambaran drama bersiri Cinta Berkalung Duri yang berlangsung di Bandung Indonesia, baru-baru ini.
Apa yang pasti peminat tersebut bukan sahaja hanya menyapanya tetapi turut meminta untuk mengambil gambar bersama sebagai kenang-kenangan.
Almy Nadia atau nama sebenarnya Almy Nadia binti Aminuddin Shah berkata dia sungguh tidak menyangka bila ada yang mengenalinya biarpun dia berada di luar Malaysia.
"Ketika kejadian, saya tengah menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod, Cinta Berkalung Duri di pusat pelancongan dan rekreasi Kawah Putih yang terletak di Bandung Indonesia."Tidak sangka pula saya dipanggil dengan nama Nadia dan didatangi oleh beberapa warga Indonesia yang meminta untuk bergambar dengan saya.
"Mereka beritahu mereka meminati lakonan saya. Saya dengan senang terus melayani mereka. Kata mereka, mereka mula mengenali saya sewaktu saya membintangi drama bersiri Cinta Tak Bertepi yang turut disiarkan di TV Indonesia," katanya ketika dihubungi murai.com.my.
Penggambaran drama bersiri Cinta Berkalung Duri untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Bandung, Indonesiaitu memakan masa selama 9 hari untuk disiapkan iaitu dari 2 hingga 10 Oktober.
Barisan pelakon lain yang turut sama menjayakan drama bersiri tersebut adalah seperti Dato' Jalaluddin Hassan, Zul Huzaimi, Riz AF dan ramai lagi.
Tambah Almy Nadia lagi, biarpun terpaksa melalui sedikit perubahan persekitaran dan cuaca di sana , namun ianya tidak menjadi masalah baginya bahkan dia bangga kerana dapat menimba pengalaman baru belakon bersama pelakon dari Indonesia iaitu Intan Olivia.
"Ini kali kedua saya menjalani penggambaran di sana. Jadi tiada menjadi apa-apa masalah pada saya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca atau suasana persekitaran di sana.
"Cuma saya banyak minum air mineral kerana di sana cuaca agak kering dan sejuk.Sepanjang penggambaran di sana tiada apa-apa masalah walaupun saya digandingkan dengan pelakon Indonesia, Intan Olivia. Kami mempunyai chemistry yang kuat dan senang berlakon dengannya kerana dalam drama ini dia adalah rakan baik saya.
"Saya harap peminat suka akan drama ini kerana terdapat pelbagai elemen suka dan duka yang menjadi konflik sehingga membawa saya sebagai Rina dari seorang yang baik hingga menjadi seorang yang jahat dan berdendam," jelasnya.
Mengenai perkembangan terbaru Almy, dia bakal menjalani rakaman sebagai hos rancangan fesyen yang berjudul Labuci di RTM pada 22 Oktober ini, selain akan membintangi drama Budak Kolej untuk siaran TV9 tidak lama lagi.
@murai.com.my
No comments:
Post a Comment