Untuk berjaya dalam bidang lakonan, ramai yang sanggup melakukan apa sahaja. Lebih-lebih lagi jika seseorang pelakon itu baru mengintai-intai peluang yang ada. Selain sanggup menghadiri puluhan ujibakat atau casting, ada juga yang sanggup mencipta kontroversi semata-mata untuk melonjakkan nama.
Bagi Amar Asyraf Zailuddin, dia memilih cara yang lebih membina untuk menempatkan diri dalam industri. Bukan hanya sanggup menghadiri ujibakat, tetapi bekas pelajar Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini sanggup mengubah penampilan serta suaranya selepas dinasihatkan oleh pengarah drama bersiri terbaru lakonannya, Nilapura.
“Selepas berjaya mendapat peranan utama dalam drama ini, banyak perubahan yang saya lakukan terhadap penampilan saya. Malah, saya juga menukar suara setelah dinasihatkan oleh pengarah. Dahulu suara saya nipis dan kedengaran tidak matang. Jadi, untuk memastikan suara saya bersesuaian dengan watak Rangga, saya diminta berlatih menukar suara. Atas bimbingan pengarah dan sokongan kuat Abang Hilal Azman, saya berjaya lakukannya. Bayangkan, dek kerana terlalu memaksa diri, saya hilang suara selama sehari. Mujurlah tidak ada kesan yang lebih serius.
Untuk penampilan diri, saya banyak melakukan senaman untuk mengurangkan berat badan. Kalau dulu berat saya 84 kilogram, kini berat saya hanya 63 kilogram. Saya juga telah ubah gaya rambut atas nasihat pengarah. Mula-mula memang rasa kekok, tetapi lama-kelamaan saya dapat sesuaikan diri,” ujar Amar yang pernah bertindak sebagai guru lakonan untuk program Pilih Kasih musim kedua.
Berbicara lanjut tentang peranannya sebagai Rangga, Amar mengakui watak ini memberi tekanan kepadanya. Ini kerana dia perlu banyak bermain emosi kerana perjalanan watak itu berubah secara drastik.
“Memang saya rasa cukup teruja apabila berjaya mendapat peranan utama ini. Lebih-lebih lagi saya dapat berganding dengan pelakon yang lebih berpengalaman dan ada nama. Tetapi, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada tekanan. Saya bimbang seandainya tidak dapat menjayakan watak ini dengan baik.
Sebagai pelakon baru, saya menganggap watak Rangga agak berat kerana dia perlu banyak bermain dengan emosi. Watak ini melalui perubahan karektor yang drastik. Daripada seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab dan suka berpoya-poya, dia perlu menjadi lelaki yang hebat dan berkarisma untuk memimpin sebuah kerajaan,” ujar Amar.
Sebelum mengakhiri perbualan, Amar sempat mencelah yang dia sudah melakukan yang terbaik untuk drama arahan Wan Hasliza ini. Harapannya agar peminat drama Melayu di luar sana dapat memberi sokongan terhadap karier lakonannya.
Nilapura akan menemui penonton di Slot Akasia bermula 31 Oktober ini, jam 9.00 malam. Selain Amar, drama ini turut dibintangi oleh Jue Aziz, Memey Suhaiza, Zarina Zainuddin dan Ryzal Jaafar.
@gua.com.my
No comments:
Post a Comment