NEKAD untuk mencatatkan keputusan yang lebih baik, Mohd. Zamri Baba sanggup mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini untuk bertolak ke Jepun seminggu lebih awal sebagai langkah persediaan menghadapi Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas yang akan berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis pada 8 hingga 11 September.
Pelumba berusia 28 tahun itu yang beraksi dalam kategori SuperSports 600cc akan berlepas ke Jepun hari ini yang juga merupakan hari kedua umat Islam menyambut Aidilfitri.
Dia ditemani koordinator, Melvin Tan dan dua jurutera pasukan.
Dibantu oleh Youichi Ui dan juga krew yang lain, mereka akan menghabiskan masa hujung minggu di Litar Autopolis bagi melakukan ujian terhadap tayar baru Dunlop yang akan diperkenalkan pada Pusingan 4 nanti.
Walaupun agak teruja, Zamri tidak dapat menafikan perasaan sedih apabila terpaksa meninggalkan keluarga sewaktu sambutan Hari Raya ini namun dia terpaksa melakukannya demi mencapai impian.
“Berat rasa hati untuk meninggalkan keluarga terutama ketika hari raya. Ia satu pengorbanan yang besar kerana keluarga begitu penting kepada saya. Namun pada masa yang sama saya terpaksa melakukannya demi mengejar kemenangan. Saya tidak mampu melakukan sebarang kesilapan lagi pada peringkat ini,” katanya.
Di tambah dengan kejayaan sewaktu di Litar Motor Madras, India di mana dia menduduki tempat ketiga pada Perlumbaan 1 dan menduduki tempat kedua pada Perlumbaan 2 awal bulan ini, pelumba PETRONAS Yamaha Malaysia itu berharap latihan lebih awal ini dapat memberikan kelebihan kepadanya berbanding pencabar lain.
“Kami menunjukkan peningkatan ketara pada dua perlumbaan lepas dan turut menaikkan semangat saya selepas persembahan mengecewakan di Sepang (Pusingan 1) dan Indonesia (Pusingan 2).
“Dengan persiapan lebih awal di Litar Autopolis, kami berharap dapat mencatat kejayaan di Jepun.
“Di sana, objektif utama kami adalah untuk menguji tayar baru Dunlop dan memahami ciri-ciri tayar tersebut dengan lebih baik. Kami juga akan cuba mendapatkan pelarasan yang terbaik namun bagi latihan ini kami menggunakan jentera yang berbeza. Moga-moga, kelebihan ini ia akan membantu kami sewaktu perlumbaan sebenar nanti.”
Pada masa yang sama pelumba kelahiran Klang ini tidak mahu berasa terlalu yakin dengan kemampuannya nanti.
Dia menjangkakan saingan kali ini semakin sengit memandangkan perlumbaan berlangsung di negara kelahiran pendahulu kejuaraan, Katsuaki Fujiwara dari Manual-Tech BEET Kawasaki Racing.
Di tambah pula dengan kehadiran Azlan Shah Kamaruzaman (Boon Siew Honda Racing) dan pasangan pelumba Thailand, Chalermpol Polamai dan Decha Kraisart.
“Walaupun kami menjangkakan dapat memiliki sedikit kelebihan, saya tidak fikir ia akan memberi perbezaan ketara. Ini kerana kebanyakan pelumba pernah beraksi di Autopolis sebelum ini dan tambahan pula, Autopolis merupakan litar Kawasaki dan gelanggang bagi Fujiwara dan Toshiyuki Hamaguchi (Moto-Rev India). Azlan, Chalermpol dan Decha juga pasti mahu mencatat kemenangan di sini.
“Yang pasti saya tidak mahu mengulangi kesilapan musim lalu di mana saya jatuh dan mengalami kecederaan di sana. Namun saya tetap optimis dengan peluang untuk mencapai kejayaan dan saya tidak akan menyerah kalah dengan mudah tanpa berjuang terlebih dahulu,” kata Zamri yang berada di kedudukan ketiga keseluruhan SuperSports 600cc dengan 65 mata.
Bagi Zamri, kehadiran Youichi Ui yang merupakan bekas pelumba MotoGP telah banyak membawa perubahan buat pasukan PETRONAS Yamaha Malaysia yang agak ketinggalan berbanding pasukan-pasukan lain.
Pada asalnya, Youichi diminta untuk membantu Zamri meningkatkan lagi skil tunggangannya kerana dia juga merupakan seorang pelumba.
Tetapi setelah melihat keadaan pasukan yang agak ketinggalan dari segi teknikal dan teknologi, bekas pelumba Jepun itu turut membantu memberikan input mengenai pelarasan jentera.
“Pada asalnya, Youichi bertanggungjawab mengajar saya bagaimana untuk berlumba dengan lebih cekap. Kami yakin kehadirannya pasti boleh membantu saya untuk mencapai tahap tunggangan lebih tinggi dan agresif memandangkan dia juga merupakan seorang bekas pelumba yang hebat. Kami juga mudah berkomunikasi.
“Tetapi selepas perlumbaan di Indonesia, dia melihat pasukan kami serba kekurangan dari segi teknikal dan dia sedar skil di atas litar sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Tetapi pada masa yang sama dia kurang fasih dengan pelarasan enjin serta penggunaan minyak yang digunakan pada kejuaraan ini.
“Selesai sahaja Pusingan 2 di Indonesia, Youichi pulang ke Jepun dan mendapatkan nasihat dan bantuan dari rakan-rakannya di sana. Dia kemudian membawa ilmu tersebut pada pusingan di India dan mencubanya bagi jentera kami dan ini banyak membantu saya mendapatkan podium pada dua-dua perlumbaan,” jelas Zamri yang gembira dengan pelarasan jenteranya.
Puas dengan prestasi yang dipamerkan setakat ini, Zamri turut berkata: “Youichi banyak memberi pertolongan dan saya sangat berterima kasih. Keputusan di India awal Ogos lalu membuktikan kami berada di landasan yang tepat. Jadi saya akan menggunakan kelebihan ini untuk terus mencatat kejayaan.”
No comments:
Post a Comment