Thursday, September 1, 2011

Sains Sukan penentu kejayaan





BIDANG Sains dan Perubatan Sukan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan serta kejayaan sukan di sesebuah negara.
Dalam kalangan negara maju dan pesat membangun, pengetahuan dalam dua bidang ini sudah lama dipraktikkan dalam arena sukan mereka.
Ia bukan saja penting kepada atlet sukan itu sendiri, malah turut merupakan asas utama kepada jurulatih dalam mengatur hala tuju sistem latihan yang sempurna kepada atlet.
Justeru, dalam usaha mencari kaedah tepat untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kemampuan atlet Malaysia , Institut Sukan Negara (ISN) akan mengadakan satu persidangan Sains dan Perubatan Sukan Antarabangsa (SMSS) 2011 pada 28 hingga 30 September depan.
Ikuti temubual wartawan sukan Kosmo!, SHAHRIL NIZAM ABDULLAH dengan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz mengenai misi dan visi persidangan antarabangsa kelima ini yang dijadualkan berlangsung di JW Marriot, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Terima kasih Datuk kerana sudi meluangkan masa. Pertama sekali apakah tujuan utama persidangan ini diadakan?
DATUK DR. RAMLAN: Sebenarnya persidangan ini dibuat bagi mempromosikan peranan sebenar ISN dalam pembangunan sukan di negara ini khususnya dalam bidang Sains dan Perubatan Sukan kepada semua pihak, terutamanya kepada paksi kami di universiti-universiti negara ini dan juga kepada rakan-rakan kongsi kami.
Namun, apa yang lebih utama ialah persidangan ini mampu menjadi satu platform kepada pengamal-pengamal bidang sains perubatan sukan di Malaysia untuk bertukar fikiran, pengalaman dan merasai semangat berpasukan kerana tidak ramai golongan yang menceburi bidang ini di negara kita. Dengan kata lain, persidangan ini juga adalah satu mekanisme dalam menyatupadukan komuniti ini di Malaysia.
Menjemput pakar-pakar luar negara sebagai penceramah pula sebenarnya hanya untuk mendapat pengetahuan dan perkembangan baru dalam bidang sains perubatan sukan ini, serta melihat sama ada kita sudah bersedia atau tidak mengaplikasikannya di negara kita kerana ada sesetengah perkembangannya masih perlu dikaji kesesuaiannya dengan perkembangan sukan di Malaysia.
Ia juga akan mengukuhkan lagi hubungan dan kaitan di antara para pengamal, jurulatih, pakar-pakar, pengkaji, pelajar dan peminat sukan dalam disiplin sains perubatan dan teknologi serta menyediakan infomasi dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pembangunan eko sistem sukan.

KEPAKARAN yang dimiliki ahli fisioterapi amat penting dalam mencari kaedah yang sesuai bagi proses meningkatkan prestasi atlet secara keseluruhannya.


BOLEH jelaskan apakah peranan Sains dan Perubatan Sukan sebenarnya?
IA satu bidang atau kajian yang berkaitan dengan prestasi atlet. Walaupun ia hanya salah satu cabang dalam bidang kajian, namun isu atau fokus sebenarnya ialah mengenai pencarian cara dan maklumat untuk meningkatkan prestasi atlet. Sebagai contoh, memberi sokongan dan perubatan sukan kepada atlet dengan menumpukan terhadap pembangunan mental, ketahanan fizikal dan juga pemakanan mereka. Ia satu sokongan penting yang harus diaplikasikan kepada atlet dengan kadar segera dan tidak perlu menunggu sehingga lima atau enam tahun untuk melakukannya.
Jadi, bidang ini akan memberi peluang kepada kita mencari kaedah-kaedah tertentu dan sainstifik dalam membantu atlet meningkatkan prestasi mereka atau perkembangan-perkembangan lain yang berkaitan.
JELAS sekali Sains dan Perubatan Sukan adalah satu bidang yang penting dalam pembangunan sukan di sesebuah negara?
SUDAH tentu ia amat penting. Sesuatu kejayaan atau pencapaian yang dicipta oleh seseorang atlet itu bukan hanya bergantung kepada kemahiran dan bakatnya sahaja, malah ia turut melibatkan proses penjagaan fizikal seperti stamina dan kecergasan mereka serta aspek kekuatan mental seperti psikologi dan sosiologi. Malah ia bukan saja fokus kepada atlet sahaja, malah turut melibatkan proses kajian terhadap jurulatih sendiri.
Jika kita lihat Institut Sukan Australia (AIS), bukan bidang sains dan perubatan sukan sahaja di bawah mereka, tetapi jurulatih juga di bawah kendalian mereka. Begitu juga Institut Sukan Hong Kong yang mana negara mereka telah pun memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik. Mereka telah mendahului kita sekarang ini kerana sistem mereka di landasan yang betul.
Jadi, di sini kita boleh lihat ada perkaitan atau kesinambungan di antara jurulatih dengan proses-proses kajian Sains dan Perubatan Sukan ini kerana ia juga penting untuk menyalurkan dan menyerap amalan sains sukan tersebut kepada jurulatih kerana kejurulatihan sendiri ialah satu daripada sains sukan. Ia bukan saja mengenai teknik dan kemahiran sahaja.

KEJAYAAN seseorang atlet itu bukan hanya bergantung kepada kemahiran sahaja, namun turut melibatkan proses penjagaan fizikal dan mental atlet itu sendiri.


MENARIK sekali. Baiklah, mengenai persidangan ini nanti, siapakah penceramah yang akan hadir?
KITA menjemput speaker dari luar dan dalam negara. Antara speaker luar negara yang akan hadir ialah Prof. Ron Maughan dari Universiti Loughborough, United Kingdom, Dr. Aaron Coutts dari Universiti Teknologi Sydney, Australia dan Dr. Shona Halson dari AIS, Canberra, Australia.
Manakala speaker tempatan pula ialah Assoc. Prof. Dr. Teoh Heng Teong, penasihat bagi Fitness Concept Malaysia dan juga Tan Sri Dr. M. Jegathesan yang akan memberi ucapan pada hari pembukaan nanti.
SIAPA yang boleh menghadiri persidangan ini?
SMSS 2011 terbuka kepada semua masyarakat yang meminati bidang sukan di luar sana. Dan ia juga terbuka kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam arena sukan seperti jurulatih, atlet, pakar-pakar atau juga pelajar-pelajar di dalam dan luar negara.
Yuran penyertaan kepada pelajar tempatan ialah RM250, bagi peserta tempatan pula ialah RM500 manakala bagi pelajar antarabangsa pula ialah AS$250 dan peserta antarabangsa AS$450.
APAKAH faedah persidangan SMSS 2011 ini kepada sukan negara?
JIKA persidangan seperti ini dapat diadakan selalu, sekurang-kurangnya setiap tahun, jadi faedah dapat disumbangkan kepada eko-sistem sukan kita sendiri, termasuk kepada stakeholder dapat memberi sumbangan kepada budaya baru dalam sukan seperti debat, perbincangan, kompromi dan cara-cara menyelesaikan sesuatu permasalahan itu dengan lebih teratur dan saintifik.
Malah, persidangan ini juga mampu menjana pendapatan kepada negara dari segi industri sukan. ISN menyokong seratus peratus konsep industri sukan yang perkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana ia satu sektor penting dalam pembangunan sukan buat masa ini. Dengan adanya kesedaran yang wujud dalam persidangan ini, ia bakal menarik minat orang luar untuk datang menggunakan kepakaran dan perkhidmatan yang ditawarkan hasil daripada impak positif dalam persidangan seperti ini.

BIDANG Sains dan Perubatan Sukan bakal memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kecemerlangan seseorang atlet pada masa hadapan.


AKHIR sekali, boleh Datuk jelaskan mengenai akta ISN?
AKTA ini sebenarnya bukan satu pemisahan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), tetapi ia adalah usaha untuk ISN kembali semula ke tujuan asal penubuhannya. Dalam dokumen daripada pakar-pakar dari Jerman yang dibentangkan pada 1985, konsep asal MSN ini dilahirkan pada 1972 dengan menubuhkan satu unit sahaja iaitu unit perubatan dan penyelidikan di Kementerian Budaya dan Sukan ketika itu.
Jadi, konsep asal MSN pada masa itu adalah sama seperti ISN ketika ini iaitu menjalankan penyelidikan sains sukan. Namun pada 1994, fungsi ISN dihidupkan kembali dan ditambah dua unit lagi iaitu unit kejurulatihan dan juga unit sumber maklumat. Maka lengkaplah ISN sebagai sebuah institut.
Oleh itu kami, harus mencari jalan yang baik untuk kembali semula menjalankan fungsi sebenar kami seperti tujuan asal dan tiada pertindihan dengan MSN. Kita kena percaya apa yang ada pada rang undang-undang itu amat relevan bukan saja hari ini, malah juga pada masa depan.
Apa pun, akta ini tujuannya ialah untuk memberi pengupayaan kepada ISN bagi menjalankan tugas seperti yang perlu dijalankan. Itu saja.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...