"DAZRIN sering lewat ke lokasi," demikianlah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang produser program hiburan mengenai pelakon yang popular menerusi drama bersiri Adam & Hawa itu baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang merahsiakan nama produser dan rancangan tersebut itu lagi, mereka terpaksa menanggung kerugian dengan membeli tiket penerbangan sebanyak dua kali kerana sikap Dazrin yang tidak menepati masa.
Tidak cukup dengan itu, produser tersebut menuduh tuan empunya nama, Dazrin Kamaruddin, 25, terlibat dengan banyak komitmen sehingga tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerja-kerja yang dilakukan.
Tidak terus melatah, Dazrin menceritakan kisah sebenar di sebalik cakap-cakap nakal mengenainya ketika menghadiri sesi fotografi yang diatur oleh Kosmo! minggu lalu.
Niat untuk membantu
"Saya kenal dengan produser itu sebelum saya berpeluang bekerja dengannya lagi. Ketika memberikan persetujuan menjadi pengacara untuk rancangannya itu, saya telah memberikan peringatan bahawa saya sedang terikat dengan sebuah penggambaran drama lain.
"Saya setuju melakukannya kerana atas dasar membantu seorang kawan.
"Lagipun, dia juga berjanji bahawa program tersebut hanya akan bersiaran pada hari Sabtu secara langsung tanpa mengganggu jadual penggambaran saya.
"Setiap kali menuju ke lokasi yang berbeza, dia akan menyediakan tiket penerbangan pergi dan balik. Dia juga berjanji akan cuba mendapatkan tiket penerbangan pergi paling awal dan tiket penerbangan balik paling lewat untuk kemudahan saya mengatur jadual.
"Namun tanpa disangka, dia meminta saya untuk hadir ke lokasi sehari lebih awal atas alasan saya dan rakan sepengacaraan memerlukan sesi latihan. Saya agak terkejut kerana saya sudah memaklumkan kepadanya sebelum ini tentang jadual saya yang padat walaupun sehari sebelum bersiaran secara langsung," ujarnya yang agak terkejut dengan permintaan terburu-buru produser terbabit.
Dazrin turut memberitahu, dia bersetuju untuk datang pada hari Jumaat setelah meminta persetujuan daripada pihak produksi drama untuk melepaskannya selepas tamat pengambaran. Namun, lain pula ceritanya apabila dia diberitahu mengenai waktu penerbangannya pada hari tersebut.
"Setelah memberikan persetujuan untuk datang ke lokasi pada hari Jumaat, saya diberitahu waktu penerbangan pada hari tersebut adalah pukul 4.30 petang. Akhirnya, saya tidak dapat hadir ke lokasi dan rakan sepengacaraan terpaksa mengendalikan rancangan tersebut secara berseorangan," ujarnya lagi.
Ketika ditebak dengan isu pembelian tiket penerbangan sebanyak dua kali, Dazrin memberitahu, kejadian itu berlaku kerana dia menerima informasi yang salah sebelum menuju ke lokasi penggambaran.
"Ketika itu, lokasi penggambaran telah ditentukan iaitu di Kedah. Saya tidak tahu perlu menaiki penerbangan menuju ke lapangan terbang Pulau Pinang. Setelah berlaku sedikit kekecohan, akhirnya saya terlepas penerbangan tersebut.
"Atas rasa tanggungjawab dan janji yang telah dibuat, saya tidak teragak-agak untuk mengeluarkan duit sendiri dan membeli tiket penerbangan baharu bagi menjayakan rancangan tersebut," kata Dazrin yang tidak kisah berbelanja sendiri untuk ke lokasi jika kesalahan itu datang daripadanya.
Tidak mengungkit
Pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Jodoh bersama aktres Scha Al-Yahya ini berkata, dia berasa kecewa dengan tindakan produser terbabit yang dikatakan menanggung kerugian kerana terpaksa membeli tiket penerbangan gantian untuknya.
"Jika produser itu mendakwa dia terpaksa membeli tiket penerbangan yang lain sebagai ganti, saya tidak menganggap ia sebagai satu isu yang besar. Saya sendiri yang membeli tiket tersebut dan sampai ke lokasi seperti yang dijanjikan.
"Namun, saya langsung tidak menuntut wang perbelanjaan tiket tersebut daripadanya. Saya menganggap kesalahan tersebut sebagai tanggungjawab saya," katanya jujur mengenai situasi sebenar produksi itu.
Dazrin menambah, walaupun terpaksa menanggung penat akibat mengejar waktu serta tuntutan jadual yang padat, dia tetap sampai ke lokasi dan bersiaran secara langsung dari sana. Namun, ada pula kisah kurang enak yang terbit setelah kejadian itu berlaku.
"Mereka mungkin tidak mengambil tahu tentang kisah perjalanan saya untuk ke sana. Terpaksa berkejar dari lokasi ke lapangan terbang semata-mata untuk sampai tepat pada waktunya.
"Mereka lebih selesa bertindak membuat kesimpulan sendiri dan menceritakan kepada orang lain tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu," katanya lagi.
Lebih profesional
Biarpun ditohmah dengan pelbagai cerita yang kurang sedap didengar, pelakon yang berasal dari Melaka ini utuh dengan sifatnya yang profesional ketika menjalankan tugas sebagai seorang pelakon mahupun pengacara.
"Saya dan produser itu masih menjalankan penggambaran bersama. Walaupun telah keluar pelbagai tohmahan, saya tetap profesional ketika bekerja dengannya.
"Cuma, saya berasa kurang selesa jika terpaksa bekerja dengan individu yang gemar mencampuradukkan hal-hal peribadi dengan kerjaya," katanya ketika mengakhir perbualan.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2phx3ntn9 Hakcipta terpelihara