DALAM sebuah pangsapuri sederhana, cucunda kepada Raja Myanmar terakhir hidup dalam keadaan miskin dan tidak dikenali oleh jiran-jirannya.
Kehidupannya diibaratkan seperti pepatah jauh panggang dari api dengan kuasa memerintah dan kemewahan yang pernah dimiliki oleh nenek moyangnya.
Puteri Hteik Su Phaya Gyi, 90, mengakui memori zaman kanak-kanaknya bagaikan sukar diimbau. Namun, beliau masih ingat kenangan manis mengenai keluarganya yang pernah memiliki ramai pekerja istana suatu ketika dulu.
Penjajah Inggeris menurunkan takhta ayahandanya, Raja Thibaw pada tahun 1885 hingga melenyapkan kuasa kerabat diraja tersebut. Kemudian, tentera Junta mengambil alih tampuk pemerintahan negara tersebut pada tahun 1962 sehingga tahun 2011 dan bertahan selama 23 tahun.
Akhirnya, kewujudan kerabat diraja Myanmar semakin hilang daripada pandangan rakyat.
Rakyat biasa
"Mereka tidak mahu kami menjadi sesiapa. Saya telah hidup sebagai rakyat biasa selama 60 tahun.
"Sudah tentu saya merindui kenangan indah yang dilalui semasa kecil dulu," ujar puteri yang sudah dipenuhi uban di kepalanya. Tubuhnya disarungkan dengan selendang ungu berkilau yang dipakai khas untuk sesi temu bual bersama AFP.
Keruntuhan monarki pemerintahan beraja ketika penghujung perang Anglo-Myanmar yang terakhir membuatkan bumi Myanmar berada di bawah penindasan penjajah secara mutlak. Peristiwa tersebut meranapkan pemerintahan diraja di negara yang pernah dipanggil Burma itu.
Thibaw dan permaisurinya, Supayalat telah dibuang negara tanpa sebarang upacara beradat dan tinggal di sebuah bandar kecil di India iaitu Ratnagiri.
Pada tahun 1916, Thibaw mangkat pada usia 56 tahun kerana serangan jantung. Ekoran kemangkatannya, keluarga diraja berkenaan semakin terpisah.
Sebahagian daripada anggota keluarga yang tinggal terus menetap di India, manakala sebahagian yang lain berhijrah ke negara asal mereka, Myanmar. Pada ketika itu, Myanmar masih diperintah oleh Inggeris sehingga tahun 1948 sebelum digulingkan oleh tentera Junta pada tahun 1962.
"Kebanyakan rakyat Myanmar sudah melupakan raja," kata Timbalan Menteri Kebudayaan dan Sejarah Diraja, Than Swe.
Than Swe merupakan tunjang utama yang berkempen untuk membawa pulang jasad Thibaw ke Myanmar.
Lawatan Presiden Myanmar, Thein Sein ke makam Thibaw di Ratnagiri semasa membuat lawatan rasmi ke India pada Disember tahun lalu menjadi sebab kerajaannya berminat terhadap sistem pemerintahan beraja Myanmar.
Bagaimanapun, Than Swe berpendapat kerajaan Myanmar mempunyai banyak keutamaan lain yang perlu diberi perhatian. Misalnya, membersihkan pelaksanaan reformasi yang dilakukan oleh tentera Junta.
Makam permaisuri
Tentera Junta turut membuang tanda makam permaisuri yang cuba diletakkan oleh kerabat diraja Myanmar yang bertujuan untuk memudahkan pelawat.
Thibaw dilahirkan dalam keluarga yang hidup mewah dan kejatuhan baginda merupakan satu tamparan hebat kepada seluruh kerabatnya.
Sebelum kejatuhan baginda, seluruh kaum kerabat hidup dilimpahi kekayaan dan tinggal di dalam istana di Mandalay. Mereka hidup terasing oleh tembok yang memisahkan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata.
Rakyat hanya boleh mendekati kerabat diraja dengan cara merangkak.
"Lelaki ini dianggap separa dewa di Myanmar. Baginda disembah oleh rakyat.
"Suatu hari baginda dikawal seperti boneka oleh penjajah Inggeris," kata Sauda Shah, penulis buku The King in Exile: The Fall of Royal Family of Burma.
Penjajah Inggeris mahu Thibaw menurunkan takhta bagi memudahkan laluan mereka menjalankan perniagaan dan memasukkan fahaman agama Kristian ke Myanmar.
|
Waris diraja
Penjajah memilih untuk menghancurkan pemerintahan beraja dan lenyap dari bumi Myanmar selepas melihat penentangan hebat terhadap serangan yang mereka lancarkan.
Pada masa yang sama, pihak penjajah khuatir jika mereka tidak dapat mencari waris diraja yang boleh mengikut telunjuk mereka, lebih-lebih lagi Thibaw dan permaisuri cukup terkenal dalam menyingkirkan pesaing yang mahu merebut takhta di Myanmar.
Usaha untuk mengembalikan kedaulatan sistem beraja ke Myanmar tidak dipertimbangkan secara serius setelah negara tersebut mencapai kemerdekaan daripada Inggeris.
Adinda Hteik Su iaitu Putera Thaw Phaya Gyi, 89, pernah terlibat dalam Sukan Olimpik sebelum dibunuh oleh pemberontak pada tahun 1948.
Kedua-dua Hteik Su dan Thaw merupakan waris daripada Dinasti Kobaung yang masih hidup sehingga kini.
Bagaimanapun, kerabat diraja tersebut enggan menerima nilai elaun rendah yang ditawarkan kepada mereka selepas Inggeris meninggalkan Myanmar. Akhirnya, mereka terpaksa mencari jalan sendiri untuk meneruskan kehidupan.
Hteik Su menggunakan kebolehannya berbahasa Inggeris yang dipelajari ketika bersekolah di sekolah katolik yang terletak di selatan bandar Mawlamyine untuk bekerja sebagai guru di Kedutaan Australia dan Amerika Syarikat. Beliau masih bekerja sebagai guru sehingga hari ini.
Namun, perbalahan yang berlaku dalam keluarga diraja tersebut pada sekitar tahun 1990-an menyebabkan Hteik Su kehilangan rumah pusaka dan terpaksa tinggal di pondok.
"Bila hujan lebat, air akan naik hingga ke paras lutut. Ular dan lintah juga masuk ke dalam rumah," jelas Hteik Su.
Beliau kini tinggal bersama anak perempuannya yang bekerja di persatuan pengebumian. Menurut Hteik Su, tiada seorang pun daripada enam anak, 20 cucu dan lapan cicitnya berminat untuk menghidupkan kembali kedaulatan keluarga mereka.
Hteik Su bersyukur apabila Thein Sein meluangkan masa berkunjung ke Ratnagiri tetapi berpendirian agar makam nendanya (Thibaw) tidak perlu dipindahkan.
Beberapa anggota keluarga yang tinggal mengumpul duit masing-masing untuk berkunjung ke India pada awal tahun 1990-an. Itu merupakan kali pertama dan terakhir Hteik Su berkunjung ke makam nendanya.
Hteik Su mengimbas kembali kisah yang diceritakan bondanya mengenai permaisuri yang berdiri di beranda kediaman baginda melontarkan pandangan ke arah Laut Arab sambil menangis mengingatkan tanah air di Myanmar.
"Sewaktu saya ke sana, saya melihat ke arah beranda kecil itu semasa suasana pemandangan matahari yang terbenam. Ketika itu, saya rasa mantan permaisuri pasti merasakan perkara yang sama. Lalu, air mata saya mengalir," ujarnya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2khZiv1VKHakcipta terpelihara