|
MUNGKIN ada yang menghentam Mizz Lahar mengatakan gosip terbaharu ini sudah basi. Namun, selepas melakukan penyelidikan dan sedikit soal siasat di sana sini, mungkin gosip basi ini menjadi segar.
Andai benar berita yang Mizz Lahar terima ini, pasti peminat ratu rock tanah air gembira sakan. Penyanyi Ella dikatakan sedang berbadan dua, dan berita ini bukan yang pertama kali Mizz Lahar dengar.
Sebelum ini memang telah muncul khabar angin mengatakan penyanyi berambut panjang mengurai itu telah hamil. Bagaimanapun, Ella sendiri menafikan berita tersebut. Malah, dia sendiri sudah menafikan dirinya hamil kepada akhbar Kosmo! sendiri.
Ella yang Mizz Lahar kenal seorang yang cukup menitikberatkan soal kesihatan.
Bukan sahaja bersenam, yoga tetapi setahu Mizz Lahar Ella juga seorang yang mengamalkan pemakanan yang sihat. Sebab itulah Ella sekarang membuka perniagaan biskut kesihatan di bawah jenama Ella.
Selain itu, Mizz Lahar yang kerap juga menonton konsert dan persembahan Ella, tahu yang Ella memang tidak boleh duduk diam di atas pentas. Dia akan melompat-lompat, berlari-lari ke sana ke mari, dan meliuk lentokkan kepalanya.
Namun baru-baru ini, ketika membuat persembahan Dewan Filharmonik Petronas, Ella dilihat tidak lincah seperti biasa.
Pergerakannya dibataskan seperti ada peraturan ketat yang harus dipatuhinya. Tidak lagi melompat-lompat dan lebih kerap mengenakan jaket apabila muncul di khalayak ramai mahupun persembahan pentas.
Mungkin, itukah petanda memang benar Ella sedang hamil? Jawapannya hanya Ella dan suaminya, Azhar sahaja yang tahu. Kalau benar, tahniah buat Ella dan suami. Jika tidak, Mizz Lahar tahu, peminat setia Ella dan Mizz Lahar sendiri sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
MIZZ LAHAR: Khabarnya, filem KL Gangster 2 bukanlah filem Melayu pertama yang dibocorkan di internet sebelum tarikh tayangan, sebaliknya filem Lari. Benarkah begitu?
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz2kWclLcp9Hakcipta terpelihara