JAGUH perseorangan remaja negara, Zulfadli Zulkifli dan beregu lelaki, Nelson Wei Keat-Teo Ee Yi mencipta sejarah baharu dalam arena sukan badminton tanah air apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2011.
Zulfadli dan Wei Keat-Ee Yi tampil cemerlang apabila menewaskan lawan masing-masing pada aksi final yang berlangsung di Taiwan semalam.
Kejayaan tersebut menyaksikan Zulfadli dan Wei Keat-Ee Yi berjaya menambah koleksi kejuaraan apabila turut membantu skuad badminton remaja negara muncul juara dalam acara berpasukan campuran minggu lalu.
Dalam acara perseorangan, Zulfadli, 18, yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) mencipta kejutan apabila mencatat kemenangan ke atas juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark.
Bagaimanapun, pada aksi final tersebut, Zulfadli yang diletakkan sebagai pemain pilihan kedua kejohanan dipaksa bekerja keras apabila diheret sehingga ke set penentuan sebelum berjaya mengesahkan kejuaraan.
Selepas berjaya menang pada set pertama, 21-18, corak permainan serta pergerakan Zulfadli seolah-olah sudah mampu dibaca oleh Axelsen apabila juara Remaja Asia itu tewas 9-21.
Namun, menyedari dengan hakikat tersebut, Zulfadli lantas mengubah corak permainannya dan kembali bangkit untuk mencatat kemenangan ke atas Axelsen 21-19 pada set penentuan.
Sebagai rekod, Zulfadli muncul pemain pertama negara menjadi juara dunia dalam acara perseorangan.
Bagi Zulfadli, kejayaan tersebut adalah suatu yang paling bermakna kerana ini merupakan tahun terakhir dia beraksi sebagai pemain remaja ekoran usianya bakal menjangkau 19 tahun pada tahun depan.
"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang saya boleh katakan.
"Yang pasti, saya menutup tirai karier saya selaku pemain remaja dengan pencapaian yang cukup membanggakan. Saya berjaya muncul juara Asia dan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Remaja dan kali ini juara dunia pula.
"Alhamdulillah, segala usaha serta kerja keras saya selama ini untuk muncul juara dalam kejohanan-kejohanan besar memang berbaloi dan saya mahu meneruskan rentak kecemerlangan ini sebagai pemain senior pula," kata Zulfadli ketika dihubungi Kosmo! di Taiwan semalam.
Sebelum ini, Zulfadli turut mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Asia 2011 di India, Julai lalu sebelum memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel Remaja di United Kingdom September lalu.
Sementara itu, Wei Keat-Ee Yi membuktikan penguasaan mereka dalam acara beregu lelaki apabila tidak berdepan halangan sukar untuk mengenepikan cabaran pasangan Taiwan, Huang Po Jui-Lin Chia Yu 21-17, 21-17.
Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Wei Keat-Ee Yi berjaya menebus kehampaan yang dialami mereka pada edisi tahun lalu apabila sekadar menamatkan kejohanan selaku naib juara.
No comments:
Post a Comment