SEORANG pengusaha restoran, Aziz Md. Zain menunjukkan Menu Rakyat 1Malaysia di restorannya di Alor Setar.
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta memastikan mutu dan kualiti makanan yang ditawarkan di premis atau restoran yang menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia sentiasa berada pada tahap yang baik.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata, walaupun harga yang ditawarkan murah namun, ia bukan alasan untuk pengusaha menyediakan makanan yang tidak berkualiti.
“Kita minta kementerian yang berkenaan memantau semua restoran yang terlibat dari segi perkhidmatan, mutu makanan dan pastikan kedai-kedai ini konsisten.
“Kita tidak mahu sekejap buka sekejap tutup,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai program Menu Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan kerajaan pada 7 Julai lalu sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan beban rakyat ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menerusi inisiatif itu, harga sarapan pagi di Semenanjung ialah RM2 dan RM2.50 untuk Sabah, Sarawak serta Labuan manakala untuk makan tengah hari, harga di Semenanjung ialah RM4 dan RM5 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
Ma’amor juga mencadangkan agar pelepasan cukai diberi kepada restoran berkenaan sebagai menghargai peranan mereka dalam membantu kerajaan mengurangkan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
No comments:
Post a Comment