TRIPOLI, Libya — Upacara pengebumian mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang dijadualkan semalam, ditangguhkan bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas mayat selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan dijalankan terhadap punca kematiannya.
Selain itu, pengebumian juga ditunda bagi membolehkan kerajaan sementara Libya membuat keputusan berhubung lokasi pengebumian itu.
Menteri Penerangan Libya, Mahmoud Shammam berkata, mayat Allahyarham masih berada di Misrata selepas dibawa dari Sirte.
Shammam juga memaklumkan, laporan bedah siasat menunjukkan Muammar meninggal dunia akibat tembakan peluru di kepala dan menghembuskan nafas sebaik berada dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Muammar mati akibat terkena tembakan sesat dan peluru itu mungkin dari kumpulan pemberontak atau pun penyokongnya sendiri. Apa yang menjadi masalah ketika ini ialah setiap orang mempunyai cerita yang berbeza mengenai kematiannya,” katanya.
PBB sebelum ini melahirkan kebimbangan bahawa Muammar mungkin ditembak mati selepas ditangkap.
Dalam pada itu, di Misrata, jenazah Muammar Gaddafi dilayan dengan cara yang menyedihkan apabila mayatnya tanpa baju dan dipenuhi kesan tembakan diletakkan di bilik sejuk beku di sebuah pusat beli belah.
Mayat Allahyarham diletakkan di atas tilam di lantai bilik yang kosong yang sebelum ini digunakan untuk menempatkan sayur-sayuran dan bawang.
Mayat beliau ditempatkan di situ bagi menyembunyikan daripada orang ramai, namun sebaik sahaja penduduk tempatan mengetahui mengenainya, mereka berduyun-duyun datang bagi melihat jenazah.
Pihak berkuasa menyatakan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan secara tertutup.
Dalam pada itu, beribu-ribu penduduk di Tripoli terus meraikan kematian Muammar dengan berarak di jalanan.
Mereka menyifatkan kematian beliau sebagai membuka era baru kepada kebebasan.
Salah seorang daripada mereka, Tarek Othman berharap ia akan membuka laluan kepada demokrasi selepas sekian lama penduduk Libya menanggung kesengsaraan
No comments:
Post a Comment