Tuesday, August 30, 2011

Pelancong asing sertai ziarah kampung



PENDUDUK Kampung Salang, Pulau Tioman berjalan beramai-ramai untuk menziarahi setiap kediaman keluarga di kampung itu.




KESYAHDUAN takbir raya memecah keheningan pagi Syawal di sebuah kampung terpencil di perairan Pahang. Ternyata alunan itu adalah petanda bagi umat Islam di situ meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa.
Sebagai hentian paling utara di Pulau Tioman, Kampung Salang sangat dekat di hati para pelancong luar negara dan tempatan. Kewujudannya menyingkap pelbagai elemen percutian tropika dan penghayatan khazanah alam semula jadi.
Ditambah dengan kemeriahan restoran barbeku malam di pantainya dan kemesraan penduduk tempatan, tidak hairanlah Kampung Salang menjadi antara destinasi yang wajib dikunjungi di pulau peranginan itu.
Bulan Syawal bukan sahaja membuka pintu rezeki kepada penduduk tempatan lantaran kedatangannya seiring dengan musim kunjungan pelancong. Lebih daripada itu, sambutan Aidilfitri di kampung tersebut memberi peluang kepada komuniti tempatan meneruskan tradisi mereka.
Sejak turun-temurun, orang kampung di situ tidak kira lapisan usia berbangga dengan satu kelaziman. Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah peluang terbaik buat mereka berziarah dan merapatkan hubungan antara satu sama lain.


PENDUDUK Kampung Salang, Pulau Tioman berjalan beramai-ramai untuk menziarahi setiap kediaman keluarga di kampung itu.



Daripada anak kecil hinggalah warga tua, mereka lengkap merias diri dengan pakaian tradisional. Manis dan segak berbaju kurung serta berbaju Melayu, sebuah demi sebuah rumah dikunjungi selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau Kampung Salang.
Pelancong turut serta
Sambil berjalan beramai-ramai bak rombongan kahwin, terdapat juga pelancong-pelancong asing yang mengambil kesempatan untuk merasai pengalaman suasana hari raya.
Bukan sekadar kunjung-mengunjung dan bersalam dari rumah ke rumah, para pelancong yang mesra budaya itu juga berminat untuk merasai pelbagai juadah tradisi lebaran bersama penduduk tempatan.
Ketua Kampung Salang, Abdul Kadir Harun, 72, memberitahu, amalan ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah ketika Aidilfitri sudah menjadi tradisi Kampung Salang sejak zaman dahulu.
Kelebihan mereka sebagai penduduk pulau yang muafakat membolehkan tradisi itu dihidupkan tanpa meminggirkan mana-mana keluarga sekalipun.
“Seingat saya, sejak saya kecil lagi ia telah dijadikan amalan penduduk. Jadi, kita menyambung kesinambungan tradisi yang telah menjadi ikutan sejak dahulu.
“Satu Syawal merupakan hari yang sangat istimewa bagi penduduk kampung ini. Sehari suntuk kami akan berjalan dalam kawasan kampung sebab kami akan pastikan dapat melawati kesemua 30 buah rumah yang terdapat di kampung ini,” katanya yang memberitahu populasi Kampung Salang ialah seramai kira-kira 279 orang penduduk.


MEG DU TREVOR (kiri) dari Afrika Selatan dan Kitty Williams dari Britain mencuba ketupat pulut bersama kari ayam.



Tambahnya, mereka terlebih dahulu akan berbincang di surau mengenai rumah pertama dan gerak laluan dalam acara ziarah-menziarahi itu. Selalunya, lawatan dimulakan selepas sembahyang sunat hari raya hinggalah waktu petang iaitu sehingga ke rumah terakhir.
Kekenyangan
Pelbagai telatah dapat dilihat dalam kemeriahan suasana tersebut terutamanya para pelancong asing yang sama-sama ingin menyertai ‘perarakan’ kecil itu.
Uniknya, kerana berlatarbelakangkan gaya hidup pulau, para pelancong yang menjadi tetamu di rumah-rumah orang kampung dilihat berpakaian santai – yang lelaki berseluar pendek atau bersinglet dan berlilit tuala manakala wanita pula ada yang berpakaian mandi namun bertutup pario atau kardigan kerana menghormati tuan rumah.
Dalam pada itu, Abdul Hashim Maulana, 52, berkata, dia sangat tertarik dengan gelagat para pelancong luar negara yang mengikuti rombongan hari raya itu.
“Kebiasaannya, mereka akan menikmati juadah hari raya sepuas hati di tiga buah rumah pertama. Selepas itu, mereka akan ‘menyerah kalah’ kerana kekenyangan.
“Ada juga antara mereka bertanya bagaimana kami dapat menghabiskan ziarah ke semua rumah tanpa berasa terlalu kenyang,” katanya yang membuka ‘rahsia’ orang kampung yang hanya menjamah sedikit makanan di setiap rumah.
Abdul Hashim yang turut mengusahakan calet Ella’s Place menjelaskan, terdapat juga para pelancong luar negara yang kembali pada tahun berikutnya semata-mata untuk merasai lagi suasana Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang.
Isterinya Raha Madali, 42, yang berasal dari Chini, Pahang memberitahu, mereka tidak mengadakan gotong-royong memasak juadah sewaktu hari raya.
“Sebaliknya, kami memasak mengikut cita rasa masing-masing di rumah sendiri pada malam raya. Anak-anak tentu sekali akan membantu memasak sehingga membuatkan malam raya lebih bermakna dan penuh kemesraan,” kata ibu kepada lapan orang anak itu.
Bagaimanapun, Raha menambah, juadah wajib yang perlu ada sewaktu hari raya adalah ketupat pulut. Ia enak dimakan bersama kari ayam, rendang daging, sambal dan sebagainya mengikut cita rasa penduduk.
Kalau daun kelapa mudah diperoleh di sekitar pulau untuk dijadikan sarung ketupat, bahan-bahan mentah lain seperti daging dan rempah pula di dapatkan daripada bekalan yang dibawa masuk ke pulau menaiki bot kargo dari Mersing, Johor.
Kenduri besar
Dengan riak wajah memancar keriangan, seorang penduduk kampung, Jariah Ahmad, 67, berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri seumpama kenduri besar di Kampung Salang.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Mak Long, memberitahu, kepulangan anak-anak dari tanah besar Semenanjung dan perantauan termasuk pelancong-pelancong sememangnya ‘menghidupkan’ suasana raya di pulau.
“Secara tidak langsung, orang tempatan telah membudayakan Hari Raya Aidilfitri untuk dijadikan pengalaman berharga buat para pelancong luar negara,” katanya yang tidak pernah meninggalkan kampung berkenaan pada 1 Syawal.
Jariah yang gemar membuat kek turut memberitahu, terdapat pelbagai juadah lain akan dimasak penduduk tempatan pada pagi raya seperti laksa, nasi impit dan mi goreng.


JARIAH (kiri) sedang sibuk melayan pelanggan di gerai jualannya.



Dia yang gemar membuat kek tidak pernah meninggalkan Pulau Tioman Sementara itu, bapa Hashim, Maulana Harun, 83, yang merupakan antara orang tertua di Kampung Salang menyatakan kegembiraannya menjelang Syawal. Baginya, tiada yang lebih bermakna dalam suasana raya di pulau itu selain menerima kepulangan semua anak dan cucunya ke kampung yang tenang itu.
Maulana yang mempunyai 10 orang anak dan 44 orang cucu sentiasa menanti kehadiran hari raya kerana ia dapat mengumpulkan hampir kesemua waris penduduk di Kampung Salang.
Bagi seorang mekanik di sebuah pusat selam skuba, Jeami Jamal, 33, dia merasai perbezaan ketara apabila menyambut raya di Pulau Tioman.
“Sebelum ini saya menetap di Mersing, Johor tetapi telah berpindah ke sini beberapa tahun lalu kerana keluarga mempunyai tanah di Kampung Salang.
“Kemeriahan dan keakraban antara penduduk lebih terasa apabila menyambut raya di kampung ini,” katanya yang mempunyai empat orang cahaya mata.
Ujar Jeami yang telah menetap di kampung berkenaan selama hampir 15 tahun, kebanyakan penduduk kampung akan berhari raya di kampung-kampung sekitar Pulau Tioman pada hari kedua.
Katanya, jika ada yang mempunyai kampung di luar kawasan Pulau Tioman mereka akan keluar berhari raya pada hari ketiga dan seterusnya.
“Bagi sesiapa yang mahu merasai keunikan suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang, mereka perlu berkunjung sendiri ke kampung ini,” ujarnya.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...