Tuesday, August 30, 2011

Impian Datin Linda

 

DALAM masa tiga tahun penubuhannya, Casa Impian Living kini sudah ada 18 cawangan di seluruh Malaysia.


BERTEMU dengan pemilik empayar Casa Impian ini, pemilik mudah menyusun bicara. Orangnya peramah dan mudah mesra dan kami berbual seperti sudah lama mengenali satu sama lain, hinggakan penulis terlupa ada gelaran datin dipangkal namanya.
Datin Noorlinda Abd. Taib, 40-an merupakan usahawan hiasan dalaman Bumiputera yang berjaya di negara ini.
Melihatkan jenama Casa Impian sahaja, hasil air tangan ibu kepada empat anak ini memang sudah cukup terkenal di mana-mana.
“Alhamdulillah, walaupun semakin hari semakin banyak saingan, Casa Impian masih berdiri teguh di dalam hati peminat produk kami,” ujar Linda.
Dia yang meminati seni menghias kediaman ini asalnya bukanlah suka menghias rumah.
“Masa zaman anak dara dulu, memang kena paksa dengan emak baru saya mengemas rumah.
“Bila asyik disuruh, lama-kelamaan minat itu datang dan saya kembangkannya hingga menjadi satu perniagaan pada hari ini,” ujar Linda yang lebih gemar menghias landskap pada awal pembabitannya dalam kerja menghias rumah.
Tambahnya, bagaikan satu kepuasan apabila setiap pokok yang ditanamnya menjadi, lebih-lebih lagi pokok kesidang yang lebat berbuah di rumahnya.
Pilih sendiri
“Pernah juga keluarga dan rakan-rakan beritahu yang tangan saya ini tangan emas kerana apa yang saya tanam, semuanya menjadi,” selorohnya.
Enggan bertapak dalam satu bidang sahaja, Pengarah Urusan Casa Impian Holding yang menawarkan pakej perunding hiasan dalaman berani mempertaruhkan jenama sama untuk anak syarikatnya, Casa Impian Living, yang menjual pelbagai aksesori dan hiasan rumah.
“Pada 2008, atas minat dan rasa percaya diri, saya tekad menubuhkan Casa Impian Living.
“Alhamdulillah, dari hari pertama, hingga kini, sayap baru Casa Impian ini berjaya menarik minat ramai rakyat Malaysia malah ia mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri,” katanya.
Apa yang membanggakannya, butik Casa Impian Living sudah ada di 18 cawangan pasar raya AEON Jusco terpilih di seluruh negara.
Menganggap perniagaan sebagai nadi hidupnya, Linda akui, dia lebih senang bekerja sendiri daripada bekerja di bawah orang lain.
“Sebelum ini saya sering bekerja di bawah bos yang suka marah-marah. Lama-lama, tertekan juga kita dibuatnya.
“Memandangkan saya memang graduan aliran perniagaan, saya ambil keputusan untuk cuba berniaga, syukur ia menjadi,” kata Linda yang menganggap pekerja-pekerjanya sebagai rakan.
“Saya mahu mereka rapat dengan saya. Pengalaman yang lalu mengajar saya untuk tidak terlalu bertegas dengan pekerja sebaliknya saya akan menggunakan diplomasi sekiranya wujud masalah komunikasi antara kami.
“Dengan cara ini, walaupun kami sering bergelak ketawa bersama, mereka masih menghormati dan patuh dengan ketegasan saya sebagai ketua.
“Saya juga sering mengingatkan diri saya sendiri supaya tidak sesekali menindas orang lain untuk berada di atas,” katanya.
Sebagai peniaga yang juga ketua kepada puluhan kakitangannya, Linda amalkan sikap turun padang dari dulu lagi.
Tidak kira sama ada melihat setiap ruang kediaman hinggalah memilih aksesori di Bali atapun China, semuanya mahu dilakukan sendiri.
“Saya tak kisah masuk kilang yang penuh dengan debu atau berjalan di bawah panas terik dari satu kedai ke kedai lain untuk mencari barang yang saya mahukan.


BARANGAN hiasan dalaman dari Bali menjadi pilihan Linda.


“Bagi saya, keunikan dan kualiti adalah kunci kejayaan Casa Impian,” katanya yang gemar memilih eksesori yang dihasilkan daripada alam semula jadi untuk dijual di kedainya.
Tidak hairanlah upih, mayang dan lidi kelapa digunakan untuk membentuk aksesori seperti bekas kuih, bekas majalah, bakul kuih, dulang cawan dan sebagainya.
“Bagi yang mahu kediaman kelihatan rustik, gaya aksesori seperti ini memang sesuai, apatah lagi harganya berpatutan,” kata Linda yang turut gemar membaca buku motivasi dan perniagaan.
Jelasnya, dalam sebulan dia mendisplinkan dirinya untuk menghabiskan dua buah buku dan jadual kerja yang padat tidak pernah menghalangnya untuk dia memenuhi hobinya itu.
Selain membaca, Linda turut menetapkan pada dirinya sendiri bahawa hujung minggu adalah waktu untuknya berehat selain bersantai bersama suami dan anak-anak.
“Anak-anak masih membesar, jadi masa hujung minggu memang masa yang saya khususkan untuk bersama mereka.
“Biasanya kami akan makan bersama, menonton dan membeli-belah. Sesekali, saya akan bawa dua anak perempuan saya ke spa untuk terapi tubuh,” ujarnya yang akan bercuti bersama keluarganya ke Phuket sempena cuti raya tahun ini.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...