DUGAAN dan musibah yang datang dalam jurnal kehidupan sarat dengan hikmah serta pengajaran-Nya. Setiap satu perlu digali agar natijah ujian itu menyerlah.
Begitu juga musibah atau dugaan membabitkan anak seni. Mereka tidak terlepas dihimpit spekulasi dan polemik yang menjadikan diri mereka lebih bersedia bukan sahaja sebagai anak seni tetapi sebagai insan. Sensasi Bintang mendekati beberapa individu yang didekati dugaan pada Ramadan tahun ini dan bagaimana cara mereka berhadapan semua ujian Allah ini.
DATUK SITI NURHALIZA
Sejurus sebelum menunaikan umrah, Datuk Siti Nurhaliza didatangi dugaan dan cabaran Ramadan. Produk kecantikan kebanggaannya, SimplySiti dituduh tidak halal.
Ujar Siti, ada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan tuduhan tersebut di sebuah laman blog bertarikh 3 Ogos lalu. Penulis mendakwa bahawa sampel berus produk SimplySiti dikesan mengandungi bulu babi.
"Siti melihat inilah cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh kali ini. Pasti ada hikmah yang berlaku di sebalik dugaan yang datang ini. Alhamdulillah, spekulasi ini sudah dijelaskan dengan cepat," ujar penyanyi Cindai yang terkesan dengan dugaan kali ini.
Siti mengaku jualan SimplySiti terjejas sewaktu spekulasi tersebut tercetus tetapi kenyataan akhbar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menutup spekulasi liar itu.
Selesai sahaja krisis SimplySiti, penyanyi yang baru keluar dengan single Falling In Love ini terus menunaikan umrah bersama keluarga dan akan pulang hari ini untuk menyambut Aidilfitri di Kedah bersama keluarga suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa.
Siti akan muncul dalam program Dato' Siti Nurhaliza bersama Idola Kecil 2 pada 30 Ogos ini di saluran tv9 pada pukul 10 pagi dan program Toga Diva bersama Ella dan Ramlah Ram di TV3.
FARID KAMIL
Bagi sutradara dan pelakon lelaki popular ini, Ramadan kali ini dijalani sama seperti tahun-tahun yang lalu. Farid Kamil bersahur dan berbuka sendirian. Dia berhasrat pulang awal ke kampungnya di Alor Setar, Kedah untuk persiapan raya.
Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita Farid diugut oleh individu tidak dikenali pada awal Ogos lalu. Bersikap tenang dalam menghadapi polemik ini, Farid menganggap perkara tersebut dilakukan oleh pihak yang tidak cerdik dan berperangai seperti kanak-kanak.
"Saya memandang serius perkara ini sebab itu saya ke balai membuat laporan. Sekarang saya menjadi semakin berjaga-jaga dan bersedia," ujar Farid tentang ugutan yang diterima agar tidak rapat dengan aktres, Diana Danielle.
"Saya tidak pasti tujuan ugutan itu dibuat. Pasti ada pihak tertentu tidak puas hati saya rapat dengan Diana," tegas Farid yang kemudian mengaku hubungan mereka berdua tidak terjejas dek ugutan tersebut.
Kata Farid, dia akan terus fokus dalam kerjayanya sebagai pelakon dan sutradara. Selesai bercuti menyambut Aidilfitri kelak, dia akan kembali ke set penggambaran dan turun padang untuk filem Culprix dan Gerila.
MEMEY SUHAIZA
Jumlah RM12 juta memang satu angka yang besar apatah lagi apabila disuaikan dengan sebuah perkahwinan. Usai sahaja jumlah tersebut diumumkan kepada khalayak, ramai yang menyebut ia sebuah pembaziran dan untuk menyambut sebuah resepsi yang pertama buat diri Memey Suhaiza, pasti banyak dugaan yang ditempuhinya Ramadan ini.
"Saya akui banyak tekanan yang datang bersama dugaan pada saat-saat akhir persiapan perkahwinan dan di bukan Ramadan ini. Umum meletakkan harapan yang tinggi terhadap resepsi saya kelak dengan melihat jumlah yang dikeluarkan.
"Ramai yang menyatakan komitmen mahu menghadiri perkahwinan saya kelak. Saya serta keluarga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan," ujar Memey yang mengambil cuti sebulan untuk menumpukan perhatian terhadap pernikahannya.
"Tekanan juga datang pada saat-saat akhir. Saya merasakan masa bergerak semakin cepat dan seakan tidak cukup masa untuk menyiapkan persiapan. Macam tidak sempat untuk membuat persiapan, itu semua hadir dalam diri saya. Mungkin inilah dugaan.
"Banyak juga perancangan yang perlu ditukar dan tidak berjalan seperti yang diatur. Memang betul-betul perlu sabar sampai saya tidak fikir tentang raya," ujar Memey yang akan pulang ke kampung halaman di Kota Tinggi, Johor.
JIMMY SHANLEY
Status suami nampaknya tidak memihak kepada Jimmy Shanley untuk menyemarakkan Ramadan pertama bersama isteri, Norsuhaila Eliani Shuhaimi yang dinikahinya pada 1 Oktober tahun lalu. Malangnya, tidak sampai sebulan tinggal sebumbung, pasangan itu mula berantakan sehinggalah bayi dalam kandungan Suhaila, Zahra Shanley selamat dilahirkan pada 24 Jun lalu.
Kira-kira seminggu sebelum Ramadan kemelut Jimmy dan Suhaila memuncak. Ia ekoran satu kenyataan Jimmy yang disiarkan media berhubung pembatalan majlis aqiqah Zahra.
Suhaila yang membisu sejak setahun lalu mengejutkan ramai pihak dengan membuka segala pekung dan keburukan Jimmy dalam satu sidang akhbar.
"Setiap hari, kita semua memang tak dapat lari daripada dugaan, dugaan terbesar dalam hidup saya semestinya soal rumah tangga. Saya hadapi setiap dugaan itu dengan tenang dan banyak bermunajat dengan tuhan. Insya-Allah semuanya akan berakhir dengan kebahagiaan tidak lama lagi.
"Tahun ini saya sudah mempunyai seorang anak, tapi saya terpaksa beraya seorang diri di Mekah. Arwah ibu saya juga meninggal di Mekah, jadi secara tak langsung, saya dekat dengan arwah ibu di sana. Saya anggap ini satu perkara yang harus saya lalui, setakat ini tiada masalah. Saya okey," katanya menerusi kiriman SMS dari Mekah.
Jimmy berada di Tanah Suci Mekah kira-kira dua minggu sejak 21 Ogos lalu.
ROZITA CHE WAN
Dilahirkan cantik, popular serta berbakat membawa hidup Rozita Che Wan basah dengan limpahan cerita panas. Ada masanya, cerita panas itu mampu melangkau batas privasi sehinggakan maruah sebagai wanita turut tergugat.
Rozita dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan perjalanan karier bintang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir. Hubungan cinta kakak-adik itu menyumbang kepada kesabaran dan ketahanan emosi Rozita.
Keputusan Shahir menghilangkan diri serta pengumuman mahu bersara dari bidang seni secara tidak langsung mengheret Rozita ke kancah masalah yang sama.
"Kalau nak cakap bab dugaan, Ramadan kali ini agak menduga ketahanan diri saya untuk beribadat. Dua minggu di Mekah untuk menunaikan umrah memanglah satu tempoh yang cukup bermakna tapi sangat mencabar sebab cuaca sangat panas sehingga mencecah 40 darjah Celsius.
"Bila pulang ke tanah air pula, saya jadi sasaran pertanyaan macam-macam pihak tentang Shahir, orang tak dapat cari Shahir, saya dah jadi macam galang-ganti sampaikan penganjur yang nak panggil Shahir buat persembahan pun hubungi saya.
"Lepas soal itu, ada pula pihak tuduh saya jual mahal pasal tolak tawaran sebuah drama, saya cuma penat dilayan tidak sepertinya. Tapi, apa yang boleh saya buat. Telan dan layan sahaja sebab esok-esok orang akan lupa juga.
"Tapi bila tiba masa nak beraya begini, saya terfikir pasal jodoh, orang lain sibuk ikut suami atau bawa suami balik kampung saya pula beraya sahaja dengan anak-anak, ibu serta adik-beradik," ujarnya segera ketawa kerana tidak mahu tertekan oleh masalah orang lain.
No comments:
Post a Comment