Tuesday, January 7, 2014

Kembar beza tahun


ANAK sulung kepada pasangan Begazo ini dilahirkan secara normal.


SAAT jarum jam berdetik tepat pukul 12 tengah malam, Lindsay Salgueiro selamat melahirkan bayi kembar perempuan di Hospital Trillium Health Partners-Credit Valley, Mississauga, Kanada.
Uniknya, kelahiran saudara kembar itu bukan sahaja disambut pada masa berlainan malah mereka tidak akan berkongsi tahun dan tarikh lahir yang sama.
Manakan tidak, Gabriella Salgueiro sebagai kakak lahir pada 31 Disember 2013 manakala adiknya, Sophia Salgueiro dilahirkan pukul 12 tengah malam 1 Januari 2014.
Gabriella yang lahir lapan minit lebih awal iaitu pada pukul 11.52 malam memiliki berat 2.7 kilogram (kg) manakala Sophia 2.4kg.
Pasangan kembar unik itu mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai antara bayi terakhir yang dilahirkan pada tahun lepas dan paling awal lahir tahun ini.
Lindsay menerusi portal berita ABCNews.com dipetik berkata, pada peringkat awal, doktor menjangkakan kandungannya itu bakal dilahirkan pada 19 Januari depan.
Namun, dia terpaksa dimasukkan ke wad bersalin lebih cepat iaitu pada malam tahun baharu selepas mengalami rasa sakit di bahagian pelvik.
"Sebagai ibu, saya bersyukur kerana kedua-dua bayi perempuan ini dilahirkan dalam keadaan normal serta sihat.
"Saya percaya kehadiran mereka pasti menambah seri kepada keluarga kami," katanya yang turut mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Christian Rodriguez.
Sementara itu, suasana tenang di Hospital MedStar Washington, Washington D.C., Amerika Syarikat (AS) turut dikejutkan dengan berita gembira mengenai kelahiran bayi kembar berlainan tahun.
Ibu kepada bayi tersebut, Yaleni Santos Tohalina memberitahu, anak yang dilahirkannya pada malam tahun baharu lalu itu merupakan pasangan kembar lelaki dan perempuan.

GABRIELLA lahir pada 31 Disember 2013 manakala adiknya, Sophia pada 1 Januari 2014.


Anak sulung
Menurut wanita berumur 39 tahun itu, bayi perempuan yang dinamakan Lorraine Yaleni Begazo dilahirkan pada pukul 11.58 malam manakala saudara kembarnya, Brandon Ferdinando Begazo disambut pada pukul 12.01 tengah malam.
Lorraine yang lahir tiga minit lebih awal memiliki berat badan 2.8kg manakala Brandon lebih ringan iaitu sekitar 2.5kg.
Menurut portal The Washington Post, anak sulung kepada pasangan Begazo ini pada awalnya dijangka lahir pada 21 Januari depan.
"Meskipun demikian, proses bersalin berjalan lancar dan keadaan kesihatan isteri serta anak saya berada pada tahap baik.
"Saya berasa sangat bahagia. Kembar ini anak pertama kami dan mereka benar-benar sempurna," jelas suami Yaleni, Warren Begazo.
Pasangan yang berasal dari Arequipa, Peru itu merasakan kedatangan tahun baru kali ini lebih bermakna dengan kehadiran dua cahaya mata itu.
"Pada mulanya kami berasa agak sedih kerana tidak dapat meraikan malam tahun baharu bersama keluarga dan kawan-kawan.
"Namun, kelahiran bayi ini memberikan kami kegembiraan yang tidak boleh ditandingi sesiapa pun," katanya.
Warren yang turut memiliki seorang anak lelaki berusia 18 tahun menerusi perkahwinan terdahulu memberitahu, pasangan kembar itu pasti melengkapi antara satu sama lain.
"Buat masa ini, Lorraine kelihatan lebih aktif manakala adiknya lebih banyak diam.
"Saya yakin, anak lelaki saya juga pasti gembira dan tidak lagi berasa sunyi di rumah dengan kehadiran saudara baharu dalam keluarga kami," ujarnya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz2pi4Hu1El 
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...