KALAU melihat secara mata kasar berhubung kolaborasi antara penyanyi Aliff Aziz dan Siti Nordiana Alias, tiada apa yang peliknya dan merupakan kali pertama kedua-duanya berduet bersama.
Apa yang menariknya, semasa sesi temu bual yang dijalankan bersama Aliff di studio rakaman NAR Record, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi kelahiran Singapura itu telah meluahkan rasa kesalnya terhadap persepsi segelintir pihak yang memandang sinis tentang kerjasama yang terjalin itu.
Semuanya berpunca apabila ada yang mengungkit tentang sejarah lampaunya menjalinkan hubungan dengan seorang pelakon yang bergelar ibu tunggal sebelum ini dan secara kebetulan Siti Nordiana juga merupakan ibu tunggal sejak lima tahun lalu.
"Tidak dinafikan memang ada cakap-cakap nakal yang ditujukan kepada saya tentang kerjasama yang terjalin ini kerana status Siti Nordiana. Bagi saya, perkara ini tidak perlulah dikaitkan pula dengan kisah lampau saya.
"Lebih mengecewakan lagi, apabila saya dituduh pula mempunyai selera bercinta dengan wanita yang bergelar ibu tunggal serta cuba untuk mengaitkan saya dengan Siti Nordiana," tegasnya yang kesal terhadap perkara berkenaan.
Menurut Aliff, hubungan yang terjalin dengan Siti Nordiana atas dasar profesional menerusi projek khas yang diaturkan oleh syarikat rakaman FMC Music Sdn. Bhd. dan Sony Music Entertainment.
Jelasnya, peluang yang diberikan untuk berduet dengan Siti Nordiana memang sesuatu yang diimpikannya lantaran penyanyi itu merupakan antara artis Malaysia yang cukup dikenali di Singapura.
"Apa pun tuduhan yang dilemparkan saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana saya akui kesilapan yang pernah dilakukan dahulu. Jadi, saya hadapi situasi ini dari sudut positif.
"Lagipun bukan mudah untuk menutup mulut orang yang gemar melemparkan tuduhan sebegini, cuma saya berharap agar kerjasama yang terjalin ini tidak menimbulkan sebarang gosip pula," ujarnya.
Dalam pada itu, Aliff meluahkan bahawa kehadiran 2014 ini akan menampilkan sisi dirinya yang berbeza berbanding dahulu dan enggan lagi menoleh ke belakang serta mengenangkan kisah-kisah lama, terutamanya kisah cinta yang tidak berpanjangan.
AKSI Aliff dan Siti Nordiana ketika merakam single kolaborasi mereka yang belum berjudul di Studio rakaman NAR Record, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Biarpun sudah acap kali menyatakan ingin berubah saban tahun tetapi kali ini dia tidak mahu terlalu ghairah sangat untuk menceritakan perubahan yang ingin dilakukan.
"Saya cuma ingin nyatakan bahawa kali ini merupakan tahun kelahiran semula Aliff Aziz. Selepas ini, saya mahu peminat melihat diri saya yang jauh berbeza berbanding sebelum ini," jelasnya yang sudah tujuh tahun mengembangkan karier seni di Malaysia.
Rezeki murah
Selain terkenal dengan kisah cintanya yang kecundang di pertengahan jalan, Aliff yang dikenali sebagai seorang pelakon turut terpalit dengan kontroversi apabila dilabel sebagai seorang artis yang mempunyai masalah disiplin.
Mengulas mengenai perkara berkenaan, Aliff berkata, dia bersyukur kerana rezekinya murah dan terus mendapat kepercayaan membuat persembahan di merata-rata tempat serta peluang lakonan yang berterusan, meskipun pelbagai cerita negatif mengenai dirinya tersebar.
"Sebenarnya sudah ramai yang mengaitkan masalah disiplin ini dengan aktiviti saya yang gemar mengambil dan minuman keras.
"Saya ingin tegaskan bahawa ia merupakan perkara yang mengarut dan tidak masuk akal.
"Sebagai seorang manusia biasa saya ini bukanlah seorang yang sempurna dan mengaku pernah membuat beberapa kesilapan.
Jelas Aliff, biasanya cerita negatif yang membabitkan dirinya selalu ditokok tambah dan menyedari tentang sikap segelintir pihak yang mempunyai perasaan hasad dengki terhadap dirinya.
"Kalau diri saya ini terlalu teruk sangat, sudah tentu tidak ada pihak yang berani memberikan saya tawaran berlakon atau menyanyi. Sebaliknya, dengan apa yang saya peroleh ini menunjukkan ramai yang selesa dan senang bekerja dengan saya," ulasnya.
Mempunyai pandangan yang sama seperti Aliff, penyanyi Siti Nordiana turut berharap agar tiada mana-mana pihak yang memberi persepsi negatif terhadap kerjasamanya dengan penyanyi berkenaan.
Siti Nordiana, 30, menjelaskan, sebelum ini dia sudah mengetahui tentang pelbagai cerita yang dikaitkan dengan Aliff tetapi ia tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk mereka duet bersama.
ALIFF kesal dengan pihak yang menuduhnya mempunyai selera untuk bercinta dengan wanita yang bergelar ibu tunggal seperti Siti Nordiana.
|
"Pada mulanya saya sudah terfikir bahawa akan ada orang yang akan mengaitkan kami pula nanti. Namun begitu, saya anggap kerjasama ini tidak seharusnya menjadi isu yang besar pula.
"Bagaimanapun, saya tidak mampu halang kalau ada yang mahu mengata perihal kami berdua. Yang penting, saya ingin peminat tahu hubungan kami ini tidak lebih sekadar atas dasar profesional," tegasnya yang sebelum ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi Nubhan.
Kontroversi tipu bayaran jurusolek
Menceritakan tentang jadual seninya dalam tempoh terdekat ini pula, penyanyi berkenaan menyatakan, dia bakal merakamkan dua buah single lagi yang merupa- kan lagu berunsur kerohanian.
"Sebenarnya sudah lama saya ingin mempunyai produk baharu setelah kali terakhir tampil dengan single Tak Tahan pada tahun 2011.
"Jadi, lagu duet saya bersama Aliff ini merupakan permulaan untuk saya muncul dengan lebih banyak lagu lagi pada masa akan datang," jelasnya.
Mengulas mengenai kontroversi yang timbul berhubung dirinya dikatakan menipu tentang bayaran solekan ketika menjayakan sebuah klip video baru-baru ini, Siti Nordiana menyatakan yang dia sudah meminta kebenaran untuk menggunakan jurusolek sendiri.
"Saya lebih selesa menggunakan khidmat jurusolek yang sudah biasa bekerjasama dengan saya sebelum ini, apatah lagi dengan penampilan diri sekarang yang sudah bertudung.
"Sepatutnya, perkara ini tidak perlu menjadi isu langsung kerana pihak produksi yang terbabit dalam pembikinan klip video ini juga tidak menghalang saya berbuat demikian," jelasnya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2ra56Z48W Hakcipta terpelihara