PETALING JAYA - Pelakon Shah Jaszle mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini semalam atas pertuduhan berkhalwat dengan bekas pekerja bank, di kediaman wanita itu di Taman Sri Subang di sini Mei lalu.
Bagaimanapun pasangannya, Farah Nurizzati Salleh didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.
Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah menetapkan 21 Januari 2014 untuk sebutan semula kes dan menetapkan Shah Jaszle dijamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Masing-masing membayar denda dan jaminan tersebut.
Terdahulu peguam syarie, Asyraf Ranee yang mewakili Shah Jaszle memohon satu tarikh singkat supaya pihaknya bersedia untuk menghantar representasi kepada pihak pendakwaan bagi membatalkan pertuduhan khalwat dan ia tidak dibantah Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli.
Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmin, 25, yang ketika itu masih tunangan orang bersama-sama Farah Nurizzati, 21, didakwa berkhalwat di dalam bilik 2, rumah beralamat KC-01-16 Blok C, Kayangan Apartmen Jalan PJS 1/24, Taman Sri Subang dekat sini pada pukul 3.50 pagi, 16 Mei 2013.
Masing-masing didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) dan (1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes yang diakui Farah Nurizzati, mereka ditahan pegawai penguat kuasa agama JAIS.
Dalam kejadian itu, sebaik diketuk, pintu utama rumah dibuka seorang lelaki dan hasil pemeriksaan di bilik pertama, pintu dibuka isteri lelaki tersebut yang berpakaian lengkap manakala pintu kedua dibuka tertuduh perempuan yang hanya bersinglet dan berseluar pendek.
Sementara di atas katil pula terdapat seorang lelaki iaitu tertuduh yang sedang berselimut tanpa berbaju dan hanya memakai seluar jenis boxer.
Hasil pemeriksaan di bilik ketiga seorang lelaki sedang tidur dan pasangan di bilik kedua didapati tidak mempunyai sebarang ikatan yang sah.
Farah Nurizzati dalam rayuannya memohon denda yang ringan kerana dia telah dibuang kerja dalam tempoh 24 jam ekoran kejadian itu.
"Sekarang saya hilang punca pendapatan, saya perlu menanggung sewa rumah dan ansuran kereta," katanya.
Bagaimanapun, Shafezan berhujah, hukuman yang dikenakan terhadap Farah Nurizzati perlu diambil sebagai hikmah kerana jika tidak ditangkap mungkin perbuatan tidak elok akan lebih berleluasa.
Susulan kejadian khalwat ini, pertunangan Shah Jaszle dengan Redzwani Puteri, 25, telah diputuskan ahli keluarga perempuan namun ia bertaut kembali pada Hari Raya Aidiladha lalu.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2kWSVkFlnHakcipta terpelihara