PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle nekad untuk memastikan kebenaran berpihak kepadanya selepas membuat pengakuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Selasa atas tuduhan khalwat.
Shahrizal atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin, 25, berkata, walaupun pasangan khalwatnya Farah Nurizzati Salleh, 21, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu, dia tetap akan membuktikan telah diperangkap oleh wanita berkenaan.
"Saya tidak akan mengaku kalah dengan menyatakan diri saya bersalah atas tuduhan itu kerana ia tidak benar.
"Saya sebenarnya sudah diperangkap dan kini sedang mengumpulkan bukti-bukti untuk meneruskan kes ini," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Beritahu Shahrizal, pengakuan bersalah wanita itu di mahkamah membuatkan kerjanya menjadi lebih mudah untuk mengendalikan kes tersebut.
"Sekarang ini saya hanya fokus kepada pihak saya sahaja dan kini saya dan peguam, Asyraf A.Ranee akan membentangkan beberapa perkara kepada pihak mahkamah agar mereka menilai semula kes saya ini," ujarnya.
Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Selasa memerintahkan Shahrizal Jaszle membayar wang jaminan sebanyak RM1,500 selepas pelakon itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan khalwat dengan Farah Nurizzati, seorang pegawai bank.
Bagaimanapun wanita tersebut mengaku bersalah dan mahkamah memerintahkannya membayar denda maksimum iaitu RM3,000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.
Dalam kejadian 16 Mei lalu, pasangan tersebut telah ditahan atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, kira-kira pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Kejadian itu menyebabkan pertunangan Shahrizal dengan Redzwani Puteri, 25, terpaksa diputuskan oleh keluarga perempuan tetapi telah disambung semula pada Hari Raya Aidiladha lalu.
Mahkamah menetapkan 21 Januari 2014 sebagai tarikh perbicaraan terhadap Shahrizal.