MINGGU ini Diva rasa terpanggil mahu mengupas kemelut yang melanda sutradara wanita tersohor Erma Fatima dengan pelakon Rabecca Nur Al Islam. Rabecca yang menang kes samannya terhadap Erma pada minggu lalu kini sedang berperang di laman sosial Twitter dan Instagram.
Diva malas nak campur bab-bab antara pelakon dengan pengarah sebab industri drama, filem mahupun teater kita bukanlah sebesar mana pun. Ibaratnya sekangkang kera sahaja. Cubit paha kiri paha kanan terasa. Pelakon A makan hati, pelakon B terkena tempias, pengarah C kena tipu, pengarah D juga terpercik baranya. Pusing kanan pusing kiri alih-alih terperosok juga ke lubang yang sama juga.
Mahkamah sudah buat keputusan dan semua kena terima tetapi peluang masih ada untuk merayu di mahkamah lebih tinggi masih terbuka luas. Sama halnya juga dengan apa yang terjadi kepada Erma dan Rabecca.
Kisahnya, Erma ambil Rabecca berlakon dalam drama Dejavu Di Kinabalu sebanyak 28 episod tapi atas alasan apa Diva tidak pasti Erma sebagai penerbit dan pengarah telah mematikan watak Rabecca pada episod ke-19.
Dengarnya Erma buat tindakan itu tanpa notis bertulis sebab sebagai pengarah dan penerbit, dia ada hak untuk berbuat demikian, perkara itu juga diamalkan dalam mana-mana produksi pun. Silapnya Erma, dia tak tulis surat hitam-putih kepada Rabecca.
|
Pasal tak bayar baki lakonan atau benda-benda lain yang pelakon rasa dianiaya itu hal Erma dengan Rabecca. Erma pernah kata, dia sudah bayar semua upah lakonan Rabecca, cuma bayaran dari episod pertama hingga 17. Untuk episod lain, Erma tak bayarlah sebab Rabecca sudah tidak berlakon.
Inilah dia industri drama dan filem kita, masing-masing buat kerja ikut kepala sendiri. Bila sudah jadi kes, lain pula jadinya. Harap benda ini semua jadi iktibar.
Apa yang Diva nak ketawanya, sebab benda-benda remeh-temeh begitu, artis kita berperang sana-sini. Benda boleh selesai secara bijak. Rasanya kalau setakat RM11,200, bayaran untuk sewa lokasi dan dan buat sidang akhbar di restoran mewah di KLCC, rasanya hampir sama dengan jumlah saman yang dituntut di mahkamah. Tapi, demi sebuah maruah katanya.
Diva yang hanya tengok dari jauh situasi sidang media Rabecca di Harrods, KLCC baru-baru ini, terpegun jadinya dengan kemampuan dan kestabilan kewangan Rabecca. Terdetik juga di hati Diva, hidup senang rupa-rupanya segelintir artis kita walaupun bayaran lakonan siang-malam yang ditagih tidaklah boleh buat jadi kaya-raya.
Apa-apa pun Diva memang berminat nak tahu kesinambungan perang Erma dan Rabecca. Hebat juga penangan industri seni di Malaysia. Diva tak sokong mana-mana pihak, kalian bertelagah, Diva dapat cerita. Kalian bikin cerita, Diva ulas cerita.
Diva: Ada kawan Diva berlari-lari anak ke parkir kereta di tengah malam selepas menonton filem Penanggal. Seram agaknya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_05.htm#ixzz2kq2RJAta Hakcipta terpelihara