GIMIK jemputan upacara berkhatan Izzue Islam sempena mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Hantu Tok Mudim baru-baru ini sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa peminat penyanyi anggota kumpulan Forteen itu.
Ada yang menilai gimik sedemikian boleh menjejaskan reputasi baik Izzue dan boleh menjatuhkan pelakon muda itu memandangkan hal sebegitu tidak seharusnya dipermainkan.
Menjawab dakwaan itu, kata Izzue, perbincangan dengan pihak produksi dan pasukan promosi filem itu telah dilaksanakan lebih awal dan sepatutnya tidak wujud sebarang isu berhubung majlis tersebut.
“Saya dan pasukan produksi filem Hantu Tok Mudim telah berbincang sebelum mengadakan acara yang diberi judul Majlis Berkhatan Izzue Islam dan saya tidak fikir akan wujud sebarang isu berbangkit.
“Gimik ini secara tak langsung telah menarik minat untuk orang ramai mengetahui perkara selanjutnya dan berjaya mempromosi filem Hantu Tok Mudim pada masa sama,” ujarnya yang ditemui pada Majlis Berkhatan Izzue Islam di Rumah Bakti, Ulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Gimik majlis itu diadakan secara berkumpulan bersama anak-anak yatim di rumah perlindungan tersebut.
Malah, acara yang bermula pada pukul 4 petang itu diraikan mengikut adat berkhatan secara tradisional.
Majlis dimulakan dengan selawat dan kemudiannya diarak seperti pengantin sebelum dimandikan air bunga secara beramai-ramai.
Mereka turut dipersiapkan dengan sepersalinan baju Melayu setiap seorang sementara menantikan kehadiran Tok Mudim yang dilakonkan oleh Harun Salim Bachik dalam filem itu.
Pengalaman bersunat
Majlis membabitkan gimik tersebut yang bakal disiarkan di pawagam pada 21 November nanti turut memberi peluang kepada barisan pelakon beramah mesra sambil meraikan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik.
Filem bergenre komedi seram Hantu Tok Mudim berkisar tragedi ngeri yang menghantui Kampung Seri Menawan apabila hantu Tok Mudim muncul untuk membalas dendam terhadap seluruh kampung itu.
Hantu Tok Mudim terbitan Showbiz Production diarahkan oleh Waan Hafiz dan dibintangi oleh Izzue Islam, Andrea Abdullah, Sofi Jikan, Harun Salim Bachik dan A.R Badul.
“Uniknya filem ini kerana kami mengangkat tradisi berkhatan masyarakat Melayu zaman dahulu yang mungkin sudah tidak banyak dipraktikkan pada masa kini.
“Sekarang upacara berkhatan biasanya hanya dilakukan di klinik saja berbanding zaman dahulu sampai diarak seluruh kampung untuk menghilangkan rasa takut,” tambah Izzue.
Ditanya pengalaman berkhatan bagi Izzue sendiri, katanya dia tidak berkesempatan melalui upacara berkhatan secara tradisional sebaliknya disunatkan di klinik swasta sahaja.
“Saya bersunat ketika darjah tiga kononnya sebab dengki dengan abang yang sudah darjah lima pada waktu itu sedang membuat persiapan untuk bersunat.
“Doktor pada mulanya enggan melakukannya kerana bimbang saya masih kecil tapi saya tetap berdegil,” katanya.
Izzue dalam perkembangan lain sedang sibuk mempromosikan album terbaharu kumpulan Forteen selain menantikan tiga buah filem lakonannya berjudul Ular, Cikaro dan Kami Histeria yang akan keluar pawagam tidak lama lagi.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz2kX5bJmTnHakcipta terpelihara