G-DRAGON sebenarnya yang paling dinanti-nantikan kelibatnya pada malam itu. Salah seorang aggota kumpulan Big Bang itu merupakan antara bintang K-Pop yang paling ingin ditemui peminat yang menyerbu lokasi majlis penyampaian Anugerah Golden Disk ke-27 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor walaupun figura fenomena dunia, Psy yang memenangi anugerah utama pada malam itu.
Majlis anugerah yang sebenarnya berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Januari buat julung-julung kali di Malaysia itu membuktikan pengaruh luar biasa yang dimiliki oleh G-Dragon.
Pemilik nama sebenar Kwon Ji-yong, 25, sukses memenangi dua anugerah secara solo iaitu Anugerah Lagu Golden Disk menerusi lagu Crayon dan Anugerah Popular Ceci. Dua lagi anugerah dimenanginya bersama kumpulan Big Bang iaitu Anugerah Antarabangsa MSN dan Anugerah Lagu Golden Disk dengan lagu Fantastic Baby.
"Terima kasih atas anugerah ini, saya akan berusaha lagi untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang," katanya saat menerima anugerah di atas pentas.
Penyanyi dan komposer yang berada di syarikat pengurusan yang sama dengan Psy iaitu YG Entertainment itu telah menghasilkan dua album solo, Heartbreaker dan One Of A Kind.
Kemunculannya pada persembahan penutup Anugerah Golden Disk yang disambut dengan jeritan tanpa henti peminat dilihat umpama persembahan pada konsert solonya sendiri.
Penonton bagai disihir dengan muzik dan persembahan penuh bertenaga daripada G-Dragon. Walaupun G-Dragon mendendangkan lagu secara rap sepenuhnya dalam bahasa Korea tetapi daya ingatan peminatnya wajar dipuji apabila mereka boleh menyanyikan dengan lancar kesemua lagu yang didendangkannya.
Meskipun persembahannya cukup singkat hanya dengan empat buah lagu iaitu One Of A Kind, Light It Up, Crayon dan Heartbreaker tetapi itu sudah cukup memuaskan hati penonton yang pulang dengan senyuman tanda puas dapat menatap wajah bintang pujaan mereka dari jarak dekat.
PERSEMBAHAN penuh bertenaga daripada kumpulan Epik High.
Selepas ini G-Dragon bakal mengadakan konsert solo pertamanya yang diberi nama GD 2013 1st World Tour bermula pada 30 Mac depan di Seoul, Korea Selatan dan diikuti oleh Jepun pada bulan April 2013.
Pengiktirafan buat Psy
Kemenangan penyanyi Psy yang mencipta sensasi menerusi lagu Gangnam Style sebagai penerima anugerah utama iaitu Anugerah Lagu Terbaik sudah dijangka.
Bagaimanapun Psy tidak dapat hadir kerana terikat dengan aktiviti seni di Amerika. Anugerah yang diterima Psy itu diwakili oleh G-Dragon dan juga Tablo daripada kumpulan hip hop Epik High kerana mereka berada di bawah label yang sama iaitu YG Entertainment.
Sungguhpun tidak dapat hadir ke majlis anugerah terbesar industri muzik Korea Selatan itu Psy tetap menitipkan ucapan kemenangan yang sudah lama diidamkan menerusi pesanan video.
Katanya: "Sebenarnya sejak saya menjadi penyanyi pada tahun 2001 saya telah idamkan untuk menang anugerah tertinggi dalam Anugerah Golden Disk seperti penyanyi yang lain.
"Selepas sekian lama, tahun ini merupakan tahun bertuah saya untuk menerima anugerah ini. Sayangnya, saya tidak dapat berada di sana untuk menerima sendiri anugerah.
"Kemenangan ini sungguh bermakna bagi diri saya. Selepas ini saya akan berusaha untuk terus menghasilkan lagu yang baik dan membikin muzik video yang menarik untuk ditonton.
"Saya minta maaf kepada semua peminat. Tahun hadapan saya pasti akan berada pada majlis anugerah ini tidak kira sama ada saya menang atau tidak."
KUMPULAN 4Minute tetap tampil seksi dan menarik di atas pentas.
Selain Psy dan G-Dragon, kumpulan Super Junior juga menang besar apabila berjaya memenangi tiga anugerah pada Anugerah Golden Disk ke-27 ini.
Mereka yang kini aktif dengan sembilan orang ahli sahaja memenangi Anugerah Album Terbaik yang dimenanginya buat kali ketika dan Anugerah Album Golden Disk. Keduanya-dua anugerah itu dimenangi menerusi album Sexy, Free & Single.
Super Junior nampaknya masih mengekalkan taringnya apabila mereka juga memenangi Anugerah Asia Tenggara MSN yang dipilih menerusi undian oleh peminat.
Konsert mega
Perjalanan anugerah seperti sebuah konsert mega itu telah menarik lebih 15,000 penonton yang membayar tiket untuk dua hari daripada harga RM999, RM688 dan RM199.
Dua dalam satu, majlis anugerah dan konsert besar. Idea seperti ini wajar dipuji kerana tidak hanya memartabatkan industri muzik Korea tetapi dalam masa yang sama dapat mempromosikan muzik K-pop ke negara luar.
Tiketnya pula bukannya murah. Jika penyanyi Malaysia meletakkan harga tiket semahal itu, sudah pasti ramai yang merungut kerana hanya berbumbungkan langit dan beralaskan tanah. Tidak ada air atau makanan percuma.
GAYA penyanyi Ailee ketika mendendangkan lagu Umbrella daripada Rihanna.
Apa yang diperolehi hanya kepuasan dapat menatap wajah penyanyi kesayangan mereka daripada dekat.
Bercakap mengenai persembahan, rata-rata penyanyi menghiburkan peminat dengan tarian yang memukau.
Pada hari pertama antara yang menarik perhatian adalah persembahan kumpulan Super Junior.
Bukan itu sahaja persembahan BTOB, B1A4, EXO, Kara, Infinite, Cnblue, Shinee dan Hyuna bersama Hyun Seung juga menarik tetapi pertama kali melihat persembahan F.T Island ramai yang benar-benar terpukau dengan aura persembahan mereka.
Hari kedua pula menyaksikan persembahan daripada kumpulan T-ara, miss A, B.A.P, Sistar, Secret dan f(x).
Ramai yang terpegun dengan persembahan penyanyi solo Ailee, K.will dan Lee Hi. Tidak perlu bersesak-sesak di atas pentas, tumpuan diberikan kepada mereka secara total.
Terakhir sekali sudah pasti persembahan penutup oleh G-Dragon dan disusuli dengan muzik video Gangnam Style daripada Psy dengan semua penyanyi muncul di atas pentas menarikan tarian kuda beramai-ramai.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2IQqPjrNr Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment