Saturday, December 15, 2012

Kamera teman rapat Mahfooz



KETIKA ditugaskan National Geographic melakukan dokumentasi kehidupan pekerja-pekerja di Segi Tiga Emas, sebuah kawasan antara sempadan Thailand, Myanmar dan Laos sekitar tahun 80-an, Mahfooz NR, 53, begitu berwaspada.
Wilayah yang menjadikan pokok bunga popi sebagai tanaman utama tersebut merupakan kawasan yang tidak mempunyai undang-undang.
Tatkala kakinya menjejak tanah Segi Tiga Emas, jurugambar itu memperkenalkan diri sebagai pengembara yang mahu melihat-lihat keindahan alam selain mempelajari budaya tempatan.
Selama tiga bulan Mahfooz mengisi masa dengan membina ikatan persahabatan dengan penduduk di situ yang diupah menanam bunga popi terutamanya ketua mereka.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya meninjau keadaan sekeliling, berbaik-baik dengan masyarakat kerana mereka sentiasa berada dalam keadaan curiga terutamanya kepada orang luar. Mereka berasa takut jika dirompak.
"Selepas dirasakan sesuai, saya keluarkan kamera dan menunjukkannya kepada ketua kampung tersebut dengan harapan dapat merakam gambar mereka, " ceritanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, hatinya kecewa apabila jawapan yang diterima merupakan arahan supaya menyimpan kamera tersebut dengan ayat yang ringkas dan mudah: 'No camera today'.

KELAB Nikon menganjurkan banyak aktiviti kumpulan yang membolehkan pesertanya mempelajari ilmu teknikal kamera.


Rupa-rupanya, ketua kawasan tersebut mahu melakukan persiapan untuk bergambar apabila muncul berpakaian kemas dan cantik keesokan harinya.
Tidak mensia-siakan peluang itu, Mahfooz pun merakam gambar penduduk kampung tersebut. Mahfooz percaya, keterbukaan yang pertama itu bakal memudahkan kerjanya.
Gambar-gambar yang diambil adalah dalam bentuk kandid dan bergaya serta dicetak sendiri oleh ketua kumpulan tersebut.
Sepanjang berada di Segi Tiga Emas itu selama tiga tahun setengah, Mahfooz dapat mendalami rutian kehidupan mereka.
"Mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan senapang yang sentiasa dipegang kemas. Mereka perlu berwaspada terhadap ancaman penjahat yang mahu merompak para pekerja. Namun, mereka sebenarnya amat baik," kata lelaki kelahiran Uttar Pradesh, India itu.
Setiap kali penghantaran hasil tuaian dibuat, pasti lori pengangkut itu diiringi beberapa kenderaan yang lengkap bersenjata di hadapan dan belakang.
Mahfooz sangat puas menjalankan tugasnya sebagai satu-satunya jurugambar yang dibenarkan untuk merakam kegiatan di zon kontroversi tersebut.
Sekembalinya ke ibu pejabat National Geographic di New York, dia telah menceritakan segala-galanya kepada penulis artikel terbabit selain menyerahkan gulungan filem hasil rakamannya.
Latihan berterusan
Mahfooz yang merupakan Pengurus Kanan Jabatan Pemasaran Produk Pengguna Nikon mempunyai satu cita-cita. Dia mahukan agar setiap orang yang mempunyai minat dalam bidang fotografi mudah mempelajarinya.
Usaha penubuhan Kelab Nikon bagi jurufoto amatur dan Nikon Professional Services (NPS) bagi golongan profesional merupakan idea yang lahir daripadanya.

GAYA Mahfooz ketika zaman awal menjinak-jinakkan diri dalam dunia fotografi.


Melalui Kelab Nikon, dia memperkenalkan pelbagai aktiviti yang pastinya amat diperlukan jurugambar yang baru berjinak-jinak dalam dunia fotografi.
Dia percaya latihan berterusan dan ilmu yang betul serta mendapat tunjuk ajar daripada pakar merupakan intipati dalam penghasilan gambar berseni tinggi.
Di sebalik menjalani rutin harian di ibu pejabat Nikon di Petaling Jaya dan melawat Kedai Nikon yang terletak di pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Mahfooz masih punya masa untuk berkongsi serta memantapkan ilmu fotografinya.
Pada hujung minggu, dia pasti ke kelas-kelas teknikal berkaitan fotografi bersama-sama ahli Kelab Nikon atau pun menghadiri kursus berkaitan kamera.
Biarpun sudah bertahun-tahun memegang kamera, dia masih lagi mahu duduk dan belajar kerana baginya ilmu tidak akan habis diterokai.
Langkah mula
Mahfooz yang berasal dari Kedah itu sering terkenang saat bersusah payah mencari bahan rujukan mengenai fotografi ketika masih di bangku sekolah.
Sekitar tahun 1970-an, Mahfooz yang menetap di Bukit Selambau, Sungai Petani sanggup turun ke Alor Setar dan Pulau Pinang setiap bulan semata-mata mahu mendapatkan majalah fotografi kegemarannya.
Ayah Mahfooz yang bekerja sebagai askar Gurkha juga menyebabkan dia dan keluarga terpaksa berpindah-randah tetapi minatnya terhadap fotografi tidak pernah luntur.
Edisi khas majalah Reader's Digest yang diterbitkan setiap bulan Disember merupakan majalah yang wajib dibeli saban tahun kerana koleksi terbitan gambar yang ada.
"Selain majalah, kotak-kotak kamera pun menjadi alat pembelajaran saya ketika itu. Kemudian, saya bereksperimen dengan menggunakan kamera sendiri.
"Pada masa itu, memang sukar untuk belajar fotografi. Majalah yang mempunyai artikel mengenainya tidak banyak seperti sekarang," ujar Mahfooz.
Pada waktu itu hanya terdapat dua sumber penulisan mengenai bidang fotografi iaitu kolum Redzuan Ahmad (Pak Wan) dalam akhbar Utusan Melayu dan Eric Peris daripada News Straits Times yang kerap mengadakan bengkel penggambaran luar secara berkumpulan.
Menurut Mahfooz, kamera pertama yang dibelinya sewaktu menuntut di sekolah rendah ialah kamera terpakai yang berharga RM5. Ceritanya, penjual kamera pada waktu itu hanya tahu memfokus dan merakam gambar.
Jadi, dia terpaksa meminta bungkusan kamera tersebut untuk mempelajari dan mempraktikkan sendiri aspek teknikalnya.
"Daripada pembacaan, saya tidak pernah menaruh kepercayaan 100 peratus, sebaliknya saya mencuba terlebih dahulu," ujar Mahfooz yang sempat berpesan kepada generasi semasa agar tidak menerima bulat-bulat sesuatu yang diperoleh daripada sumber internet tanpa membuat penyelidikan.

PUSAT NIKON banyak membimbing minat para jurugambar sama ada dengan skil amatur, pertengahan mahupun profesionai.


Pengalaman istimewa
Mahfooz banyak mengumpul pengalaman kerja di luar negara. Selain pernah membuat liputan ketika Perang Soviet meletus di Afghanistan, dia juga pernah ke India untuk merakam tabiat dan kelakuan kelawar.
Tugasan mendekati mamalia terbang itu bukan sahaja mencabarnya dari aspek persiapan teknikal, malah dia perlu memahami kelakuan haiwan itu terlebih dahulu.
Sepanjang bekerja dengan syarikat National Geographic lebih kurang sembilan tahun, dia akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur walaupun diberi tawaran menjadi pekerja tetap.
"Anak-anak saya susah untuk bersekolah, malah ada ketikanya tidak bersekolah langsung. Sebab itulah saya ambil keputusan tersebut," katanya yang mementingkan masa depan anak-anaknya.
Bekerja dengan National Geographic, bagaimanapun, telah banyak mengasah kemampuan diri Mahfooz. Katanya, syarikat itu memberikan kebebasan sepenuhnya kepada jurugambar untuk menghasilkan karya foto terbaik, malah cara untuk ke tempat tugasan juga bergantung kepada kreativiti petugas.
"Kami boleh ambil berapa banyak gulungan filem tetapi mesti dihabiskan kesemuanya dan perlu diserahkan ke ibu pejabat sebaik tugasan tamat tanpa dicuci," terang Mahfooz.
Kongsi ilmu
Ketika bekerja di National Geographic, dia turut menyumbang rencana mengenai kamera dalam majalah Photo Asia di Singapura.
Mempunyai ruangan kolum sendiri mengenai kamera, dia menyumbang artikel setiap bulan berdasarkan pengalamannya menggunakan peranti tersebut.
Artikel yang paling besar pernah dikarangnya adalah mengenai lensa daripada awal pembuatan, sejarah sehinggalah jenis-jenis yang perlu digunakan bagi mendapatkan hasil foto berlainan. Rencana yang dibuat secara bersiri itu diterbitkan sehingga lapan edisi.
Pada Disember 2009, selepas menyertai Nikon, dia mengambil inisiatif menubuhkan NPS bagi menarik golongan jurugambar profesional terhadap penggunaan kamera jenama itu.
Sebagai pelengkap yang memupuk golongan muda dan amatur untuk mendekati jenama tersebut, Kelab Nikon dan Pusat Nikon diwujudkan bagi keperluan golongan amatur dan pertengahan untuk aktif serta serius dalam bidang fotografi.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1215&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2F5vWfMsg
Hakcipta terpelihara 


Cari jurugambar wanita di Melaka? Hubungi Prettyliscious!

new (7) 047




No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...