|
NGAJAT sememangnya tidak asing dalam kebudayaan Malaysia. Keistimewaan tradisi kaum Iban itu seringkali menangkap minat penduduk negara luar khususnya pelancong Barat.
Secara dasar, ngajat dilihat sebagai tarian yang memaparkan gerakan ringkas disulami aksi-aksi berani penari lelaki. Keunikan pakaiannya juga memberi implikasi kepada penjajahan minda masyarakat terhadap ngajat.
Berdasarkan kefahaman yang dipersetujui golongan ilmiah, ngajat pada asalnya bertindak sebagai simbol kejayaan pahlawan Iban menumpaskan musuh. Lelaki pula menjadi watak utama dalam tarian kemenangan itu.
Ngajat Induk, Berbunuh/Pahlawan, Ngalu Temuai, Lesung, Pua Kumbu dan Kuta merupakan sub tarian kebanggaan masyarakat Iban tersebut. Hari ini, ia ditarikan menjelang sambutan Hari Gawai dan beberapa acara keraian.
Biarpun dilihat mudah namun menguasai tarian ngajat memerlukan jangka masa tertentu. Artis budaya Kampung Budaya Sarawak, Dalila Dayana Miri, 20, mengambil masa lima bulan manakala sahabatnya, Connie Eli, 24, menghabiskan tempoh satu tahun bagi memahirkan diri dengan gerak tari ngajat.
"Saya mula berjinak-jinak dalam tarian ngajat ketika usia tujuh tahun dan sebagai orang Iban, kefahaman tentang warisan agung itu telah saya kenali dan fahami sejak dulu.
"Ia merupakan tarian tradisi masyarakat kami yang diperturunkan daripada generasi ke generasi. Walaupun tujuan persembahan itu kini lebih kepada sambutan perayaan seperti pesta menuai, keasliannya masih ada dan dikekalkan," cerita Connie yang berasal dari Kampung Siol Kandis, Petra Jaya, Kuching.
Sementara itu, perbezaan kaum jelas tidak membataskan Dalila untuk turut sama menyelami dunia ngajat. Wanita Melayu itu mendampingi tarian tradisi tersebut pada umur 10 tahun.
Tambah Dalila, keindahan yang terkandung dalam ngajat memberi variasi terhadap suku kaum pribumi lain di Sarawak. Tanpa disangkal, ia turut diakui setiap penduduk Borneo sebagai identiti masyarakat Iban.
Teknik dan kostum
Seperti tarian-tarian lain, ngajat tidak terkecuali daripada penekanan beberapa teknik. Teknik titi tiong misalnya, menuntut penari meniru gerak langkah burung tiung seperti berjalan mahupun terbang.
Kegagalan menguasai teknik itu dengan sempurna boleh mendorong penari terjatuh ketika persembahan.
Kesukaran teknik gigit lesung dalam Ngajat Lesung secara automatik menyekat penari wanita daripada melakukan aksi tersebut. Penari lelaki memerlukan kemahiran dan kekuatan gigi bagi menggigit lesung sepanjang gaya itu dipertontonkan dalam tarian.
Nama-nama umpama niti (meniti) batang, ngelambai, ngauk ai, selamat datang dan burung enggang merupakan himpunan teknik ngajat terkenal dalam kalangan masyarakat Iban.
Peranan kostum ngajat pula menjadi tarikan utama dalam setiap persembahan. Penari lelaki seringkali tampil berteraskan imej perkasa. Penggunaan cawat (sirat), baju pahlawan (baju gagong), topi Iban (ketapu) dan parang ilang cukup untuk membentuk karakter seorang wira kebanggaan ramai.
Keayuan dan keaslian perawakan perempuan Iban mengalir sebati dalam persalinan baju tradisional (kain ngepan) dan marek empang.
Lingkaran tali pinggang berjuraian ibarat duit syiling (gobeng), tali pinggang besar (lampit) dan rantai ujan dan sugu pula mencipta harmoni senada saat berayun. Ketiga-tiga aksesori tersebut diperbuat daripada perak.
Muzik tradisional yang sering mengiringi ngajat ialah Taboh Alun Lundai (untuk Ngajat Induk), Taboh Bujang Gelau (untuk Ngajat Pahlawan) dan Taboh Ajat.
Lazimnya, ngajat ditarikan selama tujuh minit namun terdapat juga durasi yang tidak tetap dan bergantung kepada individu atau kumpulan yang terlibat.
Dampingi semangat
Selama lima tahun berkecimpung dalam gelanggang tarian, Connie sudah mengenal pasti kriteria-kriteria penting bagi menjayakan ngajat. Ujarnya, seorang penari lelaki tarian ngajat perlu menyerap semangat yang kuat bagi membebaskan sisi keberanian dan agresif tatkala menari.
"Pada zaman dahulu, mereka yang menari ngajat terdiri daripada pahlawan berjiwa berani dan gagah fizikalnya. Jadi penari lelaki hari ini mesti menguasai sifat-sifat pahlawan Iban lampau sebelum mempersembahkannya kepada umum," tutur lelaki itu yang mahu bergelar seniman berjaya kelak.
Gemalai gerak tari ngajat wanita pula menuntut ketekunan. Setiap kali menonton tarian ngajat, senyuman pada bibir penari perempuan tidak pernah terpadam. Ciri tersebut memaku pandangan orang awam agar terasa asyik dibuai rentak indah.
"Penghayatan dalam tarian menjadi kunci kejayaan. Selain itu, alunan muzik yang dimainkan, kreativiti, keyakinan melakukan pergerakan turut diambil kira," kongsi Dalila yang bercita-cita memahat namanya selaku guru tari.
Sesudah semangat ngajat tertanam dalam diri, penari-penari tidak akan berdepan masalah menggerakkan tarian itu sama ada di atas pentas ataupun di rumah panjang. Begitupun, cara dan teknik tarian yang dipertontonkan di kedua-dua lokasi itu ada bezanya.
Connie dan Dalila sepakat mengelaskan tarian ngajat untuk persembahan pentas lebih seragam kerana para penari bergerak berpandukan koreografi yang diolah.
Ngajat di rumah panjang pula bergantung sepenuhnya kepada kreativiti individu kerana seringkali dijayakan oleh seorang penari lelaki bagi menyambut tetamu.
"Keistimewaan tarian ngajat rumah panjang terletak pada keasliannya kerana merupakan pusaka turun-temurun daripada nenek moyang mereka. Koreografi pentas pula telah mengalami perubahan bagi menyuntik nilai ekstra hiburan," jelas Dalila.
Festival tarian
Sementara itu, bagi memaparkan keunikan tarian dari Kepulauan Borneo, Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur dan Selangor telah mengadakan Festival Borneo Hornbill pada bulan Julai lalu.
Acara tiga hari yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu menyaksikan sebanyak 12 kumpulan berentap mempersembahkan variasi tarian tradisional dan rampaian etnik Sabah dan Sarawak.
Setiap kumpulan diwajibkan menyediakan dua jenis tarian dan rata-ratanya selesa menampilkan tarian ngajat. Juara pertandingan, Badan Kesenian Mindef 1 nyata menyerlah dalam tarian rampaian asli mereka yang menggabungkan empat jenis tarian termasuk ngajat.
Kebanyakan persembahan berjaya menceritakan kisah sebenar di sebalik ngajat. Lengkap berkostum pahlawan Iban, beberapa aksi seperti menggigit lesung dan berlawan menggunakan parang sudah cukup memberi gambaran jelas tentang signifikan tarian kebanggaan suku kaum itu.
"30 peratus daripada penari yang mengambil bahagian datangnya dari Semenanjung. Ini sesuatu yang amat membanggakan kerana tidak mudah bagi orang luar mempelajari dan mempersembahkan kebudayaan kaum lain dengan berkesan.
"Festival tahun keempat ini akan terus diadakan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai tentang keagungan budaya orang Borneo dari segi makanan, pakaian dan tarian," ujar pengerusi Persatuan tersebut, Laurence John, 50, ketika berucap pada majlis penutup festival tersebut.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment