DALAM kesedihan berikutan kehilangan bapanya, Mohd. Gous Agulam Dastagir pada 11 Ogos lalu, wanita tinggi lampai ini tetap gagah meneruskan komitmen terhadap karier seni.
Apa yang menariknya, wajah manisnya kini tidak hanya muncul dalam sebuah drama, sebaliknya tiga buah drama sekali gus di dua saluran stesen televisyen berlainan. Barangkali juga, itulah bonus buat Fouziah Gous, 30. Dia tidak pernah hilang saham di mata penerbit biarpun sering dikaitkan kisah cinta mirip dongeng Cinderella.
“Saya sendiri pun tidak tahu apa-apa. Entah bila pula saya hendak berkahwin. Sebenarnya agak kelakar kerana apabila setiap kali muncul, ada sahaja persoalan tentang kahwin yang ditanya. Saya tiada masa untuk fikir tentang kahwin.
“Gosip bercinta itu juga rekaan semata daripada orang ramai,” katanya yang semakin mendapat perhatian menerusi drama Trilogi Cinta musim kedua di TV2 dan Dendam Serakit sejak 27 September di TV3.
Fouziah yang kini ligat di lokasi penggambaran drama bersiri Julia arahan Jamal Khan itu juga bakal muncul dengan karakter wanita lemah-lembut menerusi slot Akasia di TV3 berjudul Julia yang sedang disiarkan ketika ini.
“Saya baru sahaja kembali bekerja selepas lebih dua minggu berehat di rumah kerana kematian bapa. Alhamdulillah, emosi saya makin stabil sekarang tetapi perasaan sedih itu tentulah masih ada.
“Mahu tidak mahu, saya perlu fokus dan mencari kekuatan agar dapat bekerja seperti sediakala,” katanya yang juga baru selesai menjalani penggambaran telefilem di Maghribi, beberapa minggu lalu.
Jika menerusi Trilogi Cinta, Fouziah terkenal dengan watak Norjinah, menerusi Dendam Serakit pula dia tercabar untuk menjiwai watak Sarakit kerana perlu mengungkapkan dialog yang menggunakan ayat dalam bahasa baku.
“Nama Sarakit itu sendiri sudah cukup berat buat saya, apatah lagi mengikut maklumat penduduk di sana, Sarakit adalah daripada keturunan diraja.
“Sukar sebenarnya untuk bercakap dialog baku memandangkan kita sudah terbiasa bercakap bahasa pasar,” katanya.
Dalam drama bersiri Julia yang telah pun mula menemui penonton pada 24 September lalu yang membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Fizo Omar, Nabila Huda, Izreen Azminda dan Azlee Khairi itu, Fouziah Gous membawa watak Nurain. Julia terbitan Primeworks Studios dan skrip oleh Sofia J Rhyland itu menyentuh tentang kekuatan sebuah janji sepasang kekasih Julia lakonan Nabila Huda dan Amir (Fizo Omar) yang berdepan banyak pengkhianatan.
“Dalam drama itu saya bawa watak Nurain, seorang wanita pembekal bunga yang meminati Amir. Mulanya berkawan tetapi lama-lama hubungan bertukar menjadi sayang,” katanya.
Julia arahan Jamal Khan menemui penonton setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7.00 petang.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment