DALAM hitungan sejarah pengarahan filem seorang sutradara bernama Afdlin Shauki, mungkin Untuk Tiga Hari telah membidik cerita yang tersendiri.
Diselang seli jiwa dan keghairahan para peminat filem sedang membuat perhitungan untuk menonton filem karya anak tempatan sendiri, Untuk Tiga Hari datang dengan pelbagai ragam bahasa dan cerita.
Suka atau tidak, kita harus akur dengan satu kenyataan bahawa pawagam tempatan sedang sepi dengan filem bermutu. Untuk Tiga Hari muncul di kala gersang karya.
Mesej suami isteri
Membayangkan sebuah buku novel tulisan Ahadiat Akasyah, sebagai sutradara, Afdlin menganggap naskhah ini adalah sebuah kehidupan yang bergerak dengan cinta. Sebuah topik yang menarik untuk diketengahkan serta mempunyai pengajaran tersendiri.
Masuk hari kelima tayangan, Untuk Tiga Hari dihimpit sedikit kontroversi tentang hukum agama. Adegan perbualan watak bawaan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak menjadi topik bahas dan perbincangan. Banyak yang bersuara, malah kontroversi itu turut menjadi penarik penonton ke panggung. Bagi Afdlin, dia positif.
Sutradara merangkap pelakon ini membawa mesej tentang sucinya sebuah perkahwinan dan betapa besarnya kuasa jodoh di tangan Maha Esa. Keluar daripada gonggongan rempit dan hantu, kelainan Afdlin sepatutnya dinikmati khalayak.
"Apabila keluar cerita rempit dan hantu, tidak ada pula ada kontroversi. Ramai yang salah faham dengan filem ini tanpa menonton. Sepatutnya tonton dulu sebelum ulas. Jangan menghukum tanpa menonton," luah Afdlin tentang komen-komen yang diterimanya di laman sosial.
"Janganlah kerana salah faham, sebuah filem dengan cerita yang baik jadi terlepas tonton," sambung Afdlin yang melakukan banyak penyelidikan untuk filem Untuk Tiga Hari.
Masuk ke dalam sebuah komplikasi yang besar menyerang industri filem tempatan apabila naskhah anak tempatan kebelakangan ini mendapat respons yang hambar, Afdlin jujur memberi pendapatnya.
"Saya juga tidak tahu mengapa filem kita mendapat kutipan dan respons yang hambar. Saya takut ia terjadi kerana filem-filem yang tidak berkualiti banyak dikeluarkan, lalu khalayak sudah tidak mahu menonton filem kita. Ada orang yang tabur duit dan tidak kira kualiti," oleh Afdlin tentang kebenaran yang berlaku dalam industri.
Sedihnya Afdlin meluahkan bahawa kerancakan industri filem terjadi tahun lalu apabila filem tempatan dapat menjamah imbuhan yang banyak dalam kutipan. Namun implikasi munculnya filem-filem tidak berkualiti telah memburukkan kembali industri. Situasi ini berhenti kerana kehadiran filem tidak berkualiti.
"Saya pernah tertanya-tanya kenapa orang seperti Aziz M. Osman dan Othman Hafsham pernah berhenti membikin filem. Rupanya inilah halangannya dan kalau ini berterusan, saya juga mahu berhenti menghasilkan filem," utaranya yang menganggap filem Untuk Tiga Hari adalah filemnya yang paling kemas daripada sudut pembikinan.
SUTRADARA kreatif ini akan muncul dengan sebuah filem perihal K-Pop.
Belajar daripada Korea
Sempat ke Korea selama seminggu untuk melihat tempat penggambaran filem, dia berkongsi tentang industri filem Korea yang dahulu pernah dilanda gerhana. Bukan mengagungkan tetapi realitinya sesuatu hal yang baik tidak salah dijadikan panduan.
"Tujuh tahun lepas, 70 peratus orang Korea lebih menonton filem Hollywood berbanding tempatan. Tetapi kini puratanya menjadi 54 peratus orang mereka menonton filem tempatan. Filem Korea semakin bermutu dan mereka mendapat sokongan daripada kerajaan.
"Filem mereka memberikan seni dan budaya dan bagus daripada sudut kualiti. Industri filem diberikan dana yang besar untuk membina set yang besar," pujinya tentang perubahan angin filem tempatan Korea yang dibanggakan.
Sehubungan dengan itu, Afdlin bakal keluar dengan sebuah filem yang mempamerkan budaya K-Pop.
"Jangan ingat senang nak jadi K-Pop. Mereka bermula daripada usia muda dan sangat disiplin dalam kerjaya mereka. Saya sendiri melihat grup K-Pop ini sangat menghormati orang walaupun mereka sudah bergelar bintang," semangat Afdlin untuk mempamerkan budaya ini terlihat dengan misi baharunya.
"Inilah yang mahu saya pamerkan dalam filem baharu saya kelak. Tentang budak melayu yang nak jadi K-Pop. Moralnya ialah jangan malas untuk mencari identiti sendiri. Kita perlu pertahankan identiti kita yang unik," tambahnya yang bakal keluar juga dengan filem Ponti vs Omni pada November ini dan Papadom 2 tahun hadapan.
Lawak Ke Der
Rantaian Lawak Ke Der memecahkan suasana Istana Budaya sekali lagi pada 28 September hingga 3 Oktober ini. Sebuah slot yang membuat penonton tidak senang duduk dan tidak kering gusi. Dengan barisan pelawak seperti Jozan, Boboi dan Osbon, produk atas nama Lawak Ke Der ini sudah mendapat kepercayaan besar para penonton.
Menyentuh tentang industri lawak tempatan, ini satu hal yang membanggakan Afdlin kerana melihat progres yang sihat. Malah katanya tidak mustahil satu hari kelak, pelawak jadi jutawan.
Masuk ke pertanyaan umum, kenapa lawak perlu ada watak kanak-kanak, lelaki menyerupai atau menjadi wanita serta individu Cina berslanga Melayu, ujar Afdlin inilah elemen yang dekat dengan rakyat Malaysia.
"Semua negara ada watak atau karakter yang dekat dengan mereka. Bukan di Malaysia sahaja, di luar negara juga. Lawak itu subjektif tetapi yang penting adalah konteks dalam lucu yang dibawakan. Konteks yang dekat dengan kita (rakyat Malaysia) akan menghasilkan sebuah komedi yang bagus," nyata Afdlin tentang sifat komedi dan menganggap Upin dan Ipin adalah sebuah komedi situasi yang sangat berjaya.
Sehubungan dengan itu, Afdlin bakal keluar dengan sebuah program yang dinamakan Akademi Bintang. Akademi yang bakal menjadi tunjuk ajar seseorang sebelum bergelar artis.
LELAKI ini melafazkan niat untuk berhenti mengarah jika dunia perfileman negara masih dilanda kemarau penonton.
|
"Pakar motivasi, Dr. Azizan Osman yang akan melakukan pemasaran dan kewangan akademi ini dan saya sebahagian daripada Akademi Bintang. Akademi ini akan menawarkan kursus tiga dan lima hari. Akademi yang bakal menerangkan tentang segala kesalahan yang telah dibuat dalam pelaku dalam industri seni juga merangkumi perihal imej dan komunikasi. Susah untuk berada dalam industri kalau tidak ada tunjuk ajar dan pengurusan," terangnya yang tidak menafikan bahawa sesetengah artis muncul tanpa bekalan ilmu yang cukup di dada.
Usai menyebut tentang ilmu, penulis menambah tentang 'ilmu' dalam respons yang ditaburkan ke dalam media sosial. Sebuah platform yang kadangkala sepertinya semua pihak berilmu dan menghukum tanpa periksa. Memberi respons yang kadangkala menduga emosi dan sabar. Apatah lagi apabila terjadinya satu-satu kontroversi dalam dunia hiburan, pantas ada sahaja yang meletakkan diri sebagai hakim mahu pun juri.
Afdlin ketawa dan jawabnya ringkas menutup sesi temu bual: "Saya cakap dengan isteri saya, orang yang pakai smart phone ni sepatutnya kena smart."
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment