A. AIDA bertudung dan berkaca mata hitam ketika hadir untuk memfailkan tuntutan perceraiannya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Khamis lepas.
|
SUKAR untuk suami kepada pelakon dan penerbit popular, A. Aida memahami kehendak wanita itu namun, Suffian Sulaiman kelihatan pasrah.
Dalam nada reda Sufian berkata: "Tolong hormati permintaan dan kehidupan keluarga kami."
Suffian yang juga seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) itu enggan mengulas lanjut tindakan Aida yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur untuk memohon perceraian.
"Tanya dia (Aida) lah, dia artis. Rasanya saya tidak perlu bercakap banyak. Perkara itu pun sedang diuruskan oleh pihak peguam," pinta Suffian berhemah.
Khamis lepas, kira-kira pukul 2 petang, penerbit drama bersiri popular Halimah Jongang itu hadir ke Pejabat Pendaftar, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi memfailkan permohonan cerai terhadap Suffian.
Dia yang ditemani oleh peguam syarie Zulkifli Che Yong menjelaskan, keputusan untuk bercerai adalah muktamad.
Menurut penerbit berusia 42 tahun itu, permohonan cerai itu diambil disebabkan tiada persefahaman antara mereka berdua.
"Saya mahu meminta cerai dengan cara baik. Ia adalah keputusan muktamad saya selepas memikirkan sejak sekian lama. Semuanya disebabkan tiada lagi persefahaman antara saya dengan suami saya itu.
"Sebab-sebab lain, biarlah ia menjadi rahsia kami sahaja," katanya yang diberi ketetapan pada 8 Oktober depan bagi mendengar permohonan itu di mahkamah.
Penerbit drama Fatimah Juling itu juga menjelaskan, keputusan itu diambil setelah mendapat izin keluarga.
"Saya juga memberitahu hal yang sama kepada suami. Sekarang, saya terlalu sibuk dengan penggambaran drama Samarinda dan telemovie, perkara ini terlalu mengganggu dan saya mahu ia diselesaikan cepat-cepat," katanya tanpa mahu mengulas sama ada masih tinggal serumah atau sebaliknya dengan suami.
Ditanya sama ada suaminya mengetahui akan kedatangan dia ke mahkamah untuk bercerai, pemilik rumah produksi miliknya A. Aida Production Sdn. Bhd. berkata: "Sebagai isteri saya sentiasa memberitahu suami ke mana saya keluar."
A. Aida berkahwin dengan Suffian yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul, 4.
Sebelum ini, Aida pernah menjadi isteri kepada Ameng, vokalis kumpulan pada tahun 1994. Mereka kemudiannya berpisah pada tahun 2003. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha, 11.
Mengikut rekod, selepas setahun perpisahan itu, Ameng dan Aida rujuk kembali tetapi jodoh mereka tidak berpanjangan apabila berpisah untuk kali kedua pada Disember 2004.
Aida yang berasal dari Besut, Terengganu juga pernah bertemu jodoh dengan seorang anggota polis berumur 26 tahun yang sepuluh tahun lebih muda daripadanya. Perkahwinan kedua Aida itu tidak kekal lama.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment