Saturday, June 23, 2012

Kedut wajah serlah sisi kemanusiaan




SEORANG jurugambar bebas sedang asyik meneliti setiap gambar warga emas yang terpampang pada segenap dinding pameran Coming of Age: Forgotten Faces of A Greying Asia di Pusat Pameran Soka, Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM), Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Walaupun setiap gambar tidak mempunyai kapsyen atau keterangan, jurugambar tersebut pasti mempunyai tafsirannya tersendiri untuk menilai setiap gambar yang dihasilkan.
"Saya amat kagum dengan karya fotografi ini. Teknik pengcahayaan dan kawalan warna yang dihasilkan telah menggambarkan jalan cerita gambar tersebut malah keriangan dan kesedihan jelas terpancar pada wajah setiap warga tua," demikian ungkapan Jeffery Lum, 33, setelah meneliti karya fotografi jurugambar dari Singapura, David Tay Poey Cher.
Bagi Jeffery yang berpengalaman selama 12 tahun dalam seni fotografi bebas, beliau beranggapan David Tay mempunyai kemahiran komunikasi yang baik yang turut menyumbang kepada penghasilan gambar yang berkualiti.
Menggunakan subjek golongan warga emas, perspektif David Tay nyata berbeza dengan matlamat dan sasaran jurugambar lain di seluruh dunia yang sering menggunakan model wanita mahupun pemandangan yang cantik sebagai subjek utama.
Setiap karya fotografinya itu mempunyai nilai moral dan komersial tinggi yang turut mengajak masyarakat dunia mengenali kepentingan dalam menyayangi, menghargai dan berbakti kepada warga tua.
Pemberian bapa
Menyingkap kembali sejarah penglibatan David Tay dalam arena seni fotografi, segala-galanya bermula pada tahun 1960, apabila ayahnya telah memberikannya sebuah kamera jenis Rolleiflex f/2.8.
"Pada usia 16 tahun, saya mengimpikan untuk menunggang sebuah skuter. Namun, ayah saya sedar risiko bagi seorang remaja menunggang skuter lalu menawarkan untuk membeli sebuah kamera yang mempunyai harga yang setanding dengan sebuah skuter.
"Setelah memiliki kamera yang boleh dikatakan antara kamera termahal pada ketika itu, saya telah menyertai kursus permulaan bersama Persatuan Fotografi Singapura," jelasnya.
Menurutnya, setelah mahir menggunakan kamera tersebut, beliau telah mengembara di kawasan kampung-kampung di negaranya pada setiap hujung minggu untuk melihat senario realiti kehidupan masyarakat. Aktiviti kampung seperti mencangkul tanah dan menebas rumput telah dirakam melalui kamera kesayangannya itu.
Melalui pengembaraan itu, beliau ternyata terpegun dengan kehidupan orang kampung yang sentiasa gembira dan berwarna walaupun hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Bermula dari saat itu, David Tay gigih untuk menghasilkan setiap karya fotografi yang berunsurkan nilai-nilai kemanusiaan tanpa mengira umur, kaum, darjat mahupun pangkat.
Setelah hampir 50 tahun bergelumang dalam penghasilan seni fotografi, bapa kepada tiga orang anak itu kini melakukan pengembaraan solo ke beberapa buah negara Asia sempena pameran Coming of Age yang pertama dilancarkan di Singapura tahun lalu.
Menggunakan kamera Nikon dengan lensa zoom 24-70 mm sepanjang pengembaraannya, beliau juga menetapkan bukaan dan kelajuan pengatup kamera berskala manual tanpa bantuan flash. Dia sebaliknya hanya bergantung pada pencahayaan semula jadi.

PAMERAN Coming Of Age: Forgotten Faces Of A Greying Asia David Tay Poey Che memberi gambaran dan perspektif berbeza David Tay dalam setiap karya fotografinya.


Melalui pengembaraan pada tahun 2009 hingga 2010 itu, beliau telah menjelajah ke China, Vietnam, Thailand, Macau, Hong Kong, Malaysia, Brunei, dan India termasuk negara kelahirannya, Singapura, untuk mendapatkan gambar-gambar ekspresi wajah warga emas yang berbeza dari negara tersebut.
Jelasnya, inspirasi untuk menggunakan warga emas sebagai subjek utama dalam karya fotografinya tercetus apabila melihat satu kajian yang menunjukkan 20 peratus rakyat Singapura akan menjangkau umur 65 tahun ke atas menjelang tahun 2020.
"Apa yang cuba saya sampaikan adalah setiap manusia perlu menghargai dan menyayangi warga tua. Ia juga akan mendidik setiap muda-mudi agar bersedia untuk berada dalam kelompok usia emas pada suatu hari nanti," kata mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majalah SPH itu.
David Tay buat julung-julung kali telah mengadakan pameran Coming of Age: Forgotten Faces of A Greying Asia di ibu negara.
Pameran tersebut merupakan pameran yang ketiga selepas ia dilancarkan di Singapura pada Jun 2011 dan Festival Foto Antarabangsa Ping Yao di Shanxi, China pada September tahun yang sama.
Melalui pameran tersebut, beliau telah menampilkan 51 hasil karya fotografi potret warga emas di kebanyakan negara Asia.
Jalan cerita
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung yang ditemui ketika pameran itu, Naib Presiden Persatuan Fotografi Malaysia, Steven Leong Kit Foon berkata, secara peribadinya setiap gambar yang dihasilkan oleh David Tay bukan sekadar berkualiti, bahkan mempunyai jalan cerita yang tersendiri.
"Saya berpendapat, setiap karya yang dihasilkan oleh David menunjukkan sikap masyarakat di Asia yang amat menghargai golongan warga emas.
"Melalui pameran ini, saya dapat melihat kedutan kulit yang jelas pada wajah warga emas malah turut disokong oleh proses percetakan yang begitu menakjubkan," jelasnya.
David Tay turut menghimpunkan 83 karya fotografi warga emas yang terbaik di dalam sebuah buku yang turut bertajuk Coming of Age: Forggoten Faces Of A Greying Asia. Dijual pada harga RM158 senaskhah, hasil daripada jualan tersebut akan diagihkan kepada tabung pendidikan SGM.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi olehnya sepanjang pengembaraan dua tahun itu, beliau memberitahu, keadaan demografi sesuatu tempat atau negara itu memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan karya fotografi yang beremosi.
Menurut David Tay yang juga selaku Presiden Persatuan Fotografi Singapura (PSS), warga tua yang berada di kebanyakan negara yang kurang membangun seperti di kawasan pedalaman India dan Vietnam, mereka memberi kerjasama yang baik dan tidak kisah sekiranya lensa kamera diajukan kepada mereka.
Skil komunikasi
"Kemahiran komunikasi yang baik juga perlu untuk meminta izin daripada setiap warga emas bagi mengambil gambar mereka. Walaupun berada dalam usia emas, mereka kelihatan sangat gembira dan selesa apabila lensa kamera saya sering memerhati dan mengekori gerak-geri mereka.
"Berbanding di negara membangun dan maju, seperti China dan Singapura, warga emasnya lebih mementingkan kehidupan privasi dan enggan bekerjasama walaupun setelah meminta kebenaran daripada mereka," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Beliau yang hadir semasa pelancaran pameran tersebut pada 9 Jun lalu, nyata teruja dengan sambutan pengunjung yang kagum dengan hasil karyanya itu.
Di dinding pusat pameran itu juga terdapat banyak ungkapan daripada tokoh ternama dunia seperti penyair tekemuka, William Shakespeare dan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John Fitzgerald Kennedy dan setiap pengunjung yang hadir pasti beranggapan setiap ungkapan itu menunjukkan maksud setiap gambar itu.
"Ungkapan tokoh-tokoh itu merupakan cara saya bagi menaikkan mood setiap gambar walaupun tanpa kapsyen mahupun keterangan pada gambar itu.

GAMBAR tema pemeran dan buku Coming Of Age: Forgotten Faces Of A Greying Asia David Tay Poey Cherini dirakamkan semasa beliau mengembara ke sebuah perkampungan di Jinan, Shandong, China.


"Penggunaan ungkapan itu turut memberikan pengunjung bebas untuk membuat tafsiran tersendiri pada setiap gambar yang dipamerkan," katanya.
Antara ungkapan yang tersemat di dinding pusat pameran itu ialah, Nothing can dim the light which shines from within, loneliness is the ultimate poverty dan when grace is joined with wrinkles, it is adorable dan There is an unspeakable dawn in happy old age.
Bagi David Tay, antara karyanya yang paling meninggalkan kesan kepada dirinya sendiri ialah gambar seorang warga emas bernama Tan yang mempunyai masalah mental yang tinggal di sebuah rumah orang tua di Singapura.
Jika sekali pandang, Tan kelihatan seperti manusia normal dan hanya tersenyum lebar ketika lensa kamera diajukan kepadanya.
"Walaupun Tan tidak memberikan kerjasama yang baik sewaktu saya hendak mengambil gambarnya, saya perlu melayan beliau seperti manusia normal dan lihatlah hasilnya. Begitu bersahaja," katanya.
Pameran Coming of Age turut mendapat tajaan daripada Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC) dan syarikat pencetakan terkemuka dunia, Epson.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...