ALOR SETAR — Seorang ustaz mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian pelajar Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lepas.
Hanif Mohd Ali, 28, mengaku melakukan perbuatan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara 6 petang dan 12 tengah malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.
Sebelum ini, Hanif dituduh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ketika mahkamah memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab berkata, keterangan pihak pendakwaan cukup untuk mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Mohd Zaki berkata, keputusan hukuman terhadap Hanif akan ditetapkan esok kerana pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, pula memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh walaupun dia mengaku bersalah kerana mengambil kira kepentingan awam dalam kes itu.
"Mangsa seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, baru tiga bulan menuntut di sekolah dan masih boleh dilentur. Tertuduh telah menyalah guna kuasa, mangsa sepatutnya dididik bukan didera, tiada agama yang membenarkan penderaan untuk mendidik.
"Mangsa dikatakan mencuri namun hukuman terhadapnya tidak setimpal. Mangsa diikat, dipukul dan dicekik hingga kekurangan oksigen dalam otak yang menyebabkan kematiannya,” katanya.
Noorin berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan hukuman setimpal adalah perlu bagi menunjukkan kebencian terhadap kesalahan yang telah dilakukan.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment