Saturday, March 3, 2012

Kebangkitan selepas enam tahun






BERKEPUL-KEPUL macam asap dan hilang dengan sendirinya. Itu ironi nama Evanescence yang mewakili perjalanan lima anak seni, Amy Lee (vokalis), Terry Balsamo (gitaris), Troy McLawhorn (rhythm gitar), Tim McCord (pemain bass) dan Will Hunt (pemain drum).
Pengertian Evanescence yang lebih jelas digambarkan oleh Amy sebagai sebuah epik, dramatik dan rock gelap bagaimanapun membuat pendengar dan peminatnya khayal dengan untaian lagu mereka sejak band itu ditubuhkan pada tahun 1995 dan kekal hingga kini.
Mereka membawa aliran muzik yang bersilih ganti bermula daripada klasikal, metal, rock dan kini muzik elektronik.
"Tidak menjadi hal kalau ada peminat memanggil nama band kami dengan pelbagai slanga, asalkan mereka maksudkan Evanescence, itu kami," ujar Amy ketika ditemui di Hotel Hilton Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ditemani oleh empat rakan lelakinya yang ada bersilih ganti sejak penubuhan Evanescence, dalam nada ketawa, dia menjelaskan tidak pernah sekalipun dibuli oleh empat teman sealirannya itu.


DARI kiri: Terry Balsamo, Tim McCord, Amy Lee, Troy McLawhorn, dan Will Hunt yang menganggotai Evanescence.



"Saya rasa seperti saya yang selalu membuli mereka. Tapi jujur saya katakan seronok untuk kekal bersama dan apabila ada masa terluang kami keluar bersama-sama," cerita Amy lagi.
Album ketiga
Berbeza daripada album pertama dan kedua mereka, Fallen dan The Open Door yang dipasarkan pada tahun 2002 dan 2006, judul nama band itu iaitu sendiri dipilih sebagai judul untuk memanifestasikan keseluruhan isi album ketiga itu.
"Evanescence dipilih kerana saya merasakan ini ialah karya terbaik saya sepanjang berkarier. Album ketiga ini bukti kesepakatan kami sebagai satu unit dalam aliran muzik ini," tambahnya.
Mengambil tempoh yang panjang iaitu selama enam tahun untuk menyudahkan album ketiga mereka, ujar Amy sewaktu ditanya relevannya mengambil masa terlalu lama untuk membikin sesebuah album, dia memberitahu sepanjang tempoh tersebut, dia juga sedang mencari identiti dirinya sepanjang tempoh itu.
"Saya banyak memerhatikan persekitaran sekeliling, mencari hala tuju band ini dan hala tuju hidup saya.
"Senang cakap, saya sebenarnya memfokuskan kehidupan peribadi sebagai seorang wanita yang juga inginkan sebuah perkahwinan dan kehidupan normal, jadi tempoh enam tahun itu menjadi saksi segalanya," singkap vokalis berusia 31 tahun itu yang telah berkahwin dengan seorang pakar terapi bernama Josh Hartzler pada tahun 2007.
Sambutan yang diterima daripada pendengar dan peminat setia band kelahiran Arkansas, Amerika Syarikat itu kata Amy cukup menggalakkan. Apatah lagi sejak kelahiran album ketiga yang dirasakan dinamik dan bermutu tinggi.

EVANESCENCE yang pertama kali membuat konsert di Malaysia telah menerima sambutan hangat daripada peminat mereka.


"Sejak dilancarkan pada Oktober tahun lepas, sambutan yang diterima amat baik sekali. Kami berasa bangga kerana peminat masih menerima muzik kami walaupun sudah lama kami tidak muncul dengan album.
"Kami bangga album ini begitu dinamik sekali gus membawa muzik kami ke tahap lebih tinggi," ujar Amy sambil mengakui Evanescence merupakan antara album terbaik yang pernah dihasilkan oleh mereka.
Hadiah Nobel Keamanan
Ditanya juga sekiranya terlintas di fikiran band itu untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis muda yang sedang meningkat naik kini, Amy sekadar ketawa.
"Kami belum terfikir lagi untuk membuat sebarang kolaborasi, semahunya jika perkara itu terjadi saya mahukan sesuatu yang unik, biar ia menjadi satu pengalaman manis sekali gus didedikasikan buat peminat," katanya yang tidak menolak sekiranya ada yang sudi bergabung tenaga suatu masa nanti.
Evanescence sempat juga berkongsi perasaan terharu apabila diundang untuk membuat persembahan ketika konsert sambutan Hadiah Nobel Keamanan i ke-18 di Oslo, Norway pada penghujung tahun lalu.


EVANESCENCE suatu ketika dahulu turut dianggotai Rocky Gray (dua dari kiri) selain (dari kiri) Troy, Amy, Terry dan Tim.



"Pengalaman yang sangat di luar jangkaan, menarik dan mengujakan. Dalam pada kami membuat persembahan, konsert itu memberikan banyak kesedaran termasuk pentingnya menjaga bumi agar menjadi sebuah tempat yang terbaik untuk didiami," cerita Amy.
Konsert yang berlangsung sehari selepas penyampaian anugerah kepada Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf, aktivis Liberia, Leymah Gbowee dan aktivis demokrasi Yemen, Tawakkul Karman turut disertai band Sugarland, Matthew Morrison dan beberapa penyanyi lain.
Malah, konsert itu turut disiarkan di 130 buah negara secara langsung di saluran CNN International.
Jaga suara
Tidak banyak yang perlu dikorbankan oleh Amy sepanjang menjadi vokalis band yang diasaskan bersama bekas gitaris Evanescence, Ben Moody untuk mengekalkan momentum suaranya.
"Setiap hari saya membancuh teh herba dengan sedikit campuran madu dan halia. Semuanya buatan sendiri," dedah Amy.
Tidak hairanlah, Amy pernah dilabelkan memiliki suara bernada tinggi yang melebihi tahap forseto sehingga mampu memecahkan gelas kaca.
"Vokal saya hampir mencapai tahap tertinggi, sangat tinggi!, " katanya yang percaya kuasa vokal yang dipunyainya merupakan anugerah yang sehingga kini sukar dipercayai.
Menjawab mengenai imejnya yang sering dilihat mengenakan pakaian berwarna gelap, ulas Amy: "Muzik rock lebih daripada sekadar berpakaian, lebih daripada warna kegelapan."

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...