HOS Take Me Out, Nazrudin Habibur Rahman dan Julie Woon bersama barisan peserta.
TARIKH 11 November mungkin antara pilihan pasangan mengabdikan cinta dalam ikatan tulus sebuah perkahwinan. Mungkin ada yang tidak tahu, pada 11 November setiap tahun adalah hari untuk masyarakat di Korea bertukar-tukar coklat untuk meraikan cinta.
Sementara di negara China pula tarikh 11 November didedikasikan khas buat insan yang hatinya masih belum terisi cinta yakni Hari Bujang.
Namun, tarikh 11 November tahun ini dipilih stesen televisyen popular ntv7 untuk menyajikan rancangan realiti pencarian cinta romantis, Take Me Out versi Malaysia.
Rancangan realiti yang akan bersiaran setiap hari Jumaat pukul 8.30 malam itu akan memberi ruang kepada sang arjuna dan si dara mencari cinta sejati.
Rancangan 15 episod itu akan dihoskan oleh Nazrudin Habibur Rahman dan Julie Woon untuk menemukan cinta 30 gadis di pentas Take Me Out.
Take Me Out Malaysia cuba mengekalkan format asal sebaris dengan versi asalnya yang dimiliki Fremantle Media. Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, rancangan baharu itu akan memberikan pelbagai kejutan kepada penonton.
“Saya sendiri teruja apabila mendengar ada antara gadis dan jejaka yang mengalirkan air mata di dalam rancangan ini,” katanya ketika sidang akhbar di studio rakaman KRU Productions Sdn. Bhd. di Cyberjaya baru-baru ini.
Tambahnya, sesi temu duga bersama gadis-gadis dan jejaka yang bakal terbabit dalam rancangan itu telah diadakan terlebih dahulu.
“Ini demi memastikan mereka benar-benar mahu terlibat dalam rancangan ini dan betul-betul mencari cinta sejati,” katanya yang meletakkan syarat setiap peserta mestilah berumur 18 tahun ke atas dan sudah tentu masih solo.
Namun, pihak produksi tidak menjanjikan bahawa setiap peserta akan memperoleh pasangan menerusi rancangan itu.
Jaga sensitiviti
Dari segi sensitiviti kepelbagaian kaum pula, ujar penerbit kandungan, Sean J, pihaknya punyai satu badan khas yang memantau dan menyelia kandungan agar tidak mengganggu norma masyarakat.
“Selain memantau setiap episod, kami juga tidak menggalakkan pasangan bukan muslim dan muslim untuk keluar bersama, diharapkan perkara ini tidak menjadi isu,” tuturnya.
Tambah Sean J lagi, krew produksi Take Me Out telah menjalankan kajian di negara jiran Indonesia yang terlebih dahulu membeli rancangan itu berbanding Malaysia memandangkan faktor sosiobudaya yang hampir sama.
“Selama dua tahun kami membuat kajian terperinci apa yang patut dan tidak patut dibuat sepanjang rancangan berlangsung, bagaimanapun kami akan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
“Tapi kita tidak boleh kawal perasaan cinta untuk hadir dalam diri setiap insan, kita boleh meneka tapi kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku dalam setiap episod,” terangnya lagi.
Mencari cinta
Formatnya masih sama seperti siaran yang telah dijayakan di Australia, Indonesia, Filipina, Jepun, Korea, Denmark, Belanda, Sweden, Sepanyol dan United Kingdom.
Setiap minggu empat jejaka akan cuba mengagumkan barisan 30 gadis yang berbeza latar belakang dan personaliti. Gadis-gadis tersebut akan berada di podium dengan lampu yang bernyala.
Sang jejaka akan diberikan peluang tiga kali untuk memikat gadis-gadis di hadapannya dengan pandangan pertama, video khas sang jejaka dan bakat terpendam.
Jika gadis-gadis itu tertarik pada jejaka di hadapan mereka, lampu akan dibiarkan menyala jika tidak lampu akan dipadamkan. Jika semua lampu dipadamkan maka sang jejaka terpaksa berputih mata.
Jika lebih dari seorang gadis membiarkan lampunya bernyala, sang jejaka pula akan membuat keputusan untuk memilih dua orang gadis yang mencuri hatinya dan bertanyakan soalan kepada mereka untuk tentukan mana satu idaman hati.
Setiap kali seorang gadis meninggalkan pentas bersama jejaka pilihannya, dia akan digantikan dengan seorang gadis baharu.
Perkembangan si gadis yang dibawa keluar dan aktiviti bersama pasangan masing-masing akan dipertontonkan menerusi Take Me Out Extra iaitu diari 30 minit pada setiap hari Ahad pukul 3 petang yang disiarkan bermula 13 November.
Krew Take Me Out masih terus mencari wanita dan jejaka bujang yang ingin menyertai rancangan itu. Bagi yang berminat untuk menyertai rancangan ini, maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.ntv7.com.my/takemeout.
No comments:
Post a Comment