SELEPAS meledak dua gol pada pertemuan menentang Laos dalam aksi persahabatan pada Oktober lalu, Syahrul Azwari Ibrahim nyata masih tidak puas dengan prestasi yang dipamerkan.
Penyerang Harimau Muda berusia 18 tahun itu berazam untuk meneruskan prestasinya, sekali gus menjulang nama negara di persada antarabangsa.
Disenaraikan dalam skuad kendalian Ong Kim Swee ke Sukan SEA 2011 Indobesia, pemain kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu tidak mahu menoleh lagi ke belakang lagi.
Sebaliknya, Syahrul berikrar untuk memberikan sumbangan terbaik kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya di Laos dua tahun lalu.
Jelasnya, meskipun menyedari kurang pengalaman di pentas antarabangsa, ia sedikit tidak menghalang untuk dia terus mempamerkan aksi yang mantap dan sentiasa berusaha bagi mencapai kemenangan buat skuad negara di Jakarta nanti.
"Selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Loas pada Oktober lalu, saya masih berasa tidak puas sebaliknya berazam mahu meledak dengan lebih banyak jaringan.
"Sebagai pemain bola sepak, saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi saya pada tahap yang lebih tinggi. Saya mahu sifat sebenar sebagai seorang penyerang ada dalam karakter saya.
"Selepas disenaraikan dalam skuad bimbingan Ong Kim Swee, saya tidak mahu melepaskan peluang ini dan menganggap ini sebagai medan yang terbaik. Dalam masa yang sama, saya mahu membantu skuad negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada dua tahun lalu.
"Ada pihak yang mempersoalkan pengalaman saya beraksi di pentas antarabangsa tetapi ia tidak pernah menjejaskan semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik.
"Saya tidak mahu mempersia-siakan peluang ini dan harapan saya, saya mahu bantu pasukan dengan mempertahankan pingat emas nanti," katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Jakarta pada 2 November lalu.
Syahrul berkata, ketika ini dia sudah bersedia dari segi fizikal mahupun mental sekiranya diberikan peluang untuk beraksi menentang mana-mana pasukan.
No comments:
Post a Comment