Sunday, November 6, 2011

Paduan tenaga White Snake



SERAMAI 5,000 peminat datang menyaksikan persembahan White Snake termasuk penyanyi Hattan, Ali Terra Rosa, Joey BPR dan grup Kristal.

APABILA Kuala Lumpur disenaraikan dalam salah sebuah tempat konsert jelajah sebuah grup legenda dengan nama White Snake, ramai para peminat rock tersenyum. Malah, bersemangat apabila impian menonton sebuah lagi grup legenda bakal jadi nyata. White Snake bukan kecil nama mereka, malah penampilan David Coverdale sang vokalis terdahulu sebagai penyanyi grup Deep Purple juga merupakan punca konsert ini menjadi acara wajib tonton untuk para rockstar.
Acara konsert White Snake dalam rangka mempromosikan album Forevermore, album studio pertama grup tersebut, dipersembahkan di Stadium Putra, Bukit Jalil dan dibawakan oleh JS Concerts.
Konsert dimulakan dengan persembahan ratu rock, Ella yang muncul pada pukul 8.15 malam dengan membawakan tiga buah lagu iaitu Nuri, Dua Insan Bercinta dan Layar Impian.
Ella bukan muncul sendiri bagi mempamerkan jiwa rock tempatan tetapi juga menyelitkan pemain gitar handalan daripada kumpulan Wings iaitu Joe yang mendampingi Amir. Ella turut menjemput Rithan, gitaris dan vokalis grup Deja Voodoo Spells untuk sepanggung dengannya dan melemparkan peluru rock Malaysia buat pendengaran khalayak.
Tepat pukul 9 malam, lampu stadium dimatikan. Sebuah isyarat untuk tentera-tentera White Snake bakal muncul. Dimulakan dengan lagu Best Years yang diambil dari album ke-10 iaitu Good To Be Bad, lagu ini seperti sebuah intro menyatakan grup ini sedang melalui momen baik dalam hidup mereka.
Empat kali, David menjerit ‘Apa khabar?’, komunikasi dan celotehnya mendekatkan dirinya dengan khalayak yang melompat dan bergoyang ala rockers untuk setiap lagunya.
David berusia 60 tahun tetapi dia masih sangat bertenaga dan mempunyai vokal hebat menyampaikan lagu Give Me All Your Love, Love Aint No Stranger, Is This Love, Steal Your Heart dan lagu baharu, Forevermore.
Acara wajib sebuah konsert rock apabila dua gitaris beradu tenaga mempamerkan skil dan kehebatan masing-masing. Dua gitaris ini menyertai White Snake pada tahun 2003 untuk konsert Rock Never Stop Tour. Doug Aldrich yang pernah menyertai grup Dio dan Reb Beach dari grup Winger, mempersembahkan skil gitar solo dan duet mereka.
Bukan hanya gitaris tetapi suasana dalam stadium terpaku sebentar apabila pemain dram White Snake iaitu Brian Tichy yang pernah menyertai grup Foreigner mempamerkan skilnya. Dia berjaya merangsang khalayak dengan pukulan dram yang penuh bertenaga. Brian kemudian ‘bermain-main’ dengan emosi penonton apabila mempamerkan skil menggebuk dram menggunakan pisau dan kayu penyepit.
Emosi khalayak dihambat lagi dengan kemunculan David mempersembahkan lagu The Deeper The Love dan Fool For Your Loving. Kemudian diikuti dengan lagu hits White Snake iaitu Here I Go Again dan Still of The Night yang mengundang penonton bernyanyi bersama.
Tidak meninggalkan khalayak hanya dengan memori White Snake, Coverdale kemudian menyampaikan dua buah lagu popular Deep Purple, grup yang dianggotainya pada 1973 hingga 1976. Lagu Soldier of Fortune berserta Burn dan Stormbringer diberikan sebagai penutup dan momen itu akan disimpan kemas oleh para pencinta Coverdale dan White Snake.
Perkara paling signifikan yang dapat diserap daripada konsert ini adalah kualiti produksi baik dari segi sistem bunyi dan pencahayaan. Suara dan melodi White Snake yang dinikmati para penggemar tegar mereka mampu menendang kencang, namun sangat enak di telinga.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...