SIRTE, Libya – Imej Muammar Gaddafi yang dipenuhi dengan darah dan diheret oleh tentera pemberontak telah tersebar ke seluruh negara selepas bekas pemimpin selama 42 tahun itu terkorban di kubu kuatnya di Sirte.
Namun punca utama kematiannya masih belum jelas, malah pelbagai versi mengenai kematiannya itu telah dikemukakan sehingga menimbulkan banyak persoalan termasuk siapa yang melepaskan tembakan sehingga membunuhnya.
Berdasarkan rakaman video, Muammar masih hidup ketika ditangkap dan beliau juga diheret secara kasar, malah rambutnya ditarik ketika memasuki trak.
Dalam rakaman itu juga, kedengaran suara meminta supaya Muammar dibiarkan hidup, namun seseorang telah melepaskan tembakan sebelum kamera yang dipegang itu terjatuh.
Menurut salah seorang sumber Reuters di Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya, Muammar dibelasah sebelum beliau dibunuh.
Ia berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kerajaan sementara Libya, Mahmoud Jibril bahawa Muammar terbunuh selepas berlaku pertempuran antara penyokongnya dan tentera pemberontak sejurus beliau ditangkap.
Menurut Mahmoud, tiada arahan dikeluarkan supaya Muammar dibunuh.
Sementara itu, kumpulan tentera pemberontak ketika menceritakan detik-detik kematian Muammar berkata, bekas pemimpin Libya itu yang dikelilingi oleh penyokong setianya keluar dari tempat persembunyian di Sirte menuju ke barat, sebelum solat subuh.
Salah seorang daripada mereka, Saleem Baker memaklumkan, Muammar dan beberapa orang kanannya melarikan diri dengan bersembunyi di balik pokok sebelum menyembunyikan dalam saliran.
“Pada mulanya kami melepaskan tembakan namun ia tidak berguna, dan kemudiannya salah seorang orang kuatnya mengangkat senjata sebagai tanda menyerah diri. Namun apabila dia melihat muka saya, dia mula melepaskan tembakan ke arah saya.
“Kemudian saya rasa Muammar meminta dia berhenti menembak, selepas penyokongnya itu menjerit, tuan saya di sini, tuan saya di sini dan dia cedera,” katanya.
Ketika ditangkap, Saleem memaklumkan Muammar sudah cedera akibat ditembak di kaki dan belakang.
Walau bagaimanapun Muammar meninggal dunia, namun kematiannya itu cukup menggembirakan rakyat Libya apabila mereka berpesta dan berarak sepanjang jalan, tanda berakhirnya era rejim pemerintahannya.
baca kisah Libya di sini...
No comments:
Post a Comment